21 November 2013

Panas! Selangor Melepas, Safee Sali Buat Pusingan U.....

FAS akur keputusan Safee

Safee Sali

PERSATUAN Bola Sepak Selangor (FAS) akur dengan keputusan penyerang kebangsaan, Safee Sali yang memutuskan untuk kekal bersama Johor Darul Takzim (JDT) meskipun sudah menyatakan persetujuan awal untuk kembali kepangkuan Gergasi Merah Kuning, dua minggu lalu.

Biarpun kecewa dengan tindakan Safee membuat pusingan U itu, namun Timbalan Presiden FAS, Datuk Abdul Mokhtar berkata, beliau memahami senario bola sepak tempatan hari ini dan justeru itu beliau mengucapkan selamat maju jaya kepada pemain tersebut.

“Dalam pertemuan saya dengan Safee, dia bersetuju kembali ke Selangor dengan gaji bulanan yang dipersetujui kedua-dua pihak.

“Semasa Safee bertemu saya pertama kali, Safee telah menyatakan kekecewaan beliau disebabkan beliau harus bermain di dalam Liga Perdana jika kekal bersama Johor untuk musim baru.

“Di atas faktor tersebut, Safee hendak kembali ke Selangor dan kami dengan hati terbuka menerima beliau. Dan mengikut perancangan sebenar, kami akan membawa Safeee ke pejabat FAS untuk satu majlis ringkas menandatangani kontrak sebagai memeterai perjanjian lisan kedua-dua pihak selepas pasukan kebangsaan selesai perlawanan dengan Qatar dalam kempen Piala Asia.

“Tetapi apabila kami dimaklumkan menerusi pihak ketiga bahawa pengurusan JDT mahu mengekalkan Safee untuk bermain dalam Liga Super, FAS tiada pilihan lain dan demi kepentingan beliau sendiri kami melepaskan Safee,” katanya dalam satu kenyataan kepada media hari ini.

Dalam laporan media tempatan hari ini, teka-teki mengenai status Safee sama ada berhijrah ke pasukan lain atau kekal bersama JDT pada musim depan akhirnya terjawab apabila Laman rasmi Persatuan Bola Sepak Negeri Johor (PBNJ), Johor Southern Tigers mengesahkan bahawa beliau akan kekal bersama skuad Harimau Selatan mengharungi kempen Liga M.

Malah Safee yang dipetik dalam laman berkenaan juga amat teruja untuk kembali berkhidmat bersama skuad bimbingan Cesar Ferrando Jiminez tatkala bekas pemain Arema FC itu mahu melangsaikan tugas yang perlu diselesaikan selepas gagal mempamerkan aksi memberangsangkan sepanjang kempen Liga Super musim ini.

Tambah Mokhtar, sikap profesional harus digambarkan menerusi rundingan dan perjanjian sebelum mengikat kontrak. “Kalau mengikut undang-undang kontrak, perjanjian lisan juga dianggap memeterai kontrak.

"Apa pun, saya berharap semua pihak khususnya penyokong memahami situasi terkini dan tidak mencetuskan polemik serta spekulasi dan menunding jari kepada pengurusan FAS atas keputusan Safee," katanya yang berhasrat membawa pulang Safee ke Selangor berasaskan anggapan penyerang berusia 29 tahun itu mampu mengembalikan sentuhannya dalam suasana yang hanya boleh disediakan pengurusan FAS.

“Idea kami pada awalnya menjadikan Safee sebagai penyerang utama sambil memberi dia ruang membimbing penyerang musa yang ada dalam senarai barisan FAS pada 2014.

“Kami juga mengenang jasa Safee bersama Selangor selama lima tahun pada 2006-2011 dan di atas sebab itu kami percaya dia masih mempunyai pengikut yang ramai yang percaya kepada kewibawaannya selain hakikat bahawa FAS memerlukan khidmatnya untuk bersing di peringkat Liga M dan Piala AFC.

"Apa pun, kami mengucapkan selamat maju jaya kepada Safee," ujarnya.

Tiada ulasan:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...