04 Oktober 2013

PRK SUNGAI LIMAU : PENTEMPURAN SENGIT KETURUNAN TUN MAHATHIR DENGAN PAS.....

Admin dapat maklumat UMNO mati-matian akan cuba untuk menang dalam PRK kali ini.  Tun M terlalu yakin untuk menang samada cara mana.....yang mana MB mukriz hanya serba salah......kerana beliau sedar mejoriti 2,774 adalah terlalu besar......

Sekiranya UMNO menang saham mukriz akan lebih besar dalam umno yang sedang bertempur dalam pemilihan....maklumat yang diterima dari kem umno berlaku perkara2 seperti PRK Bukit Selambau.....nanti admin akan ceritakan lebih lanjut.......

Sungai Limau: PAS hilang maruah jika tewas




Menteri Besar Kedah, Datuk Mukhriz Mahathir mahu buktikan kemenangan Umno bukan kebetulan.Kemenangan dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Limau sangat penting untuk Umno dan PAS, malah Menteri Besar Kedah, Datuk Mukhriz Mahathir cuba untuk memastikan ia bukan sekadar kebetulan sementara lawannya pula mahu menilai popularitinya.

Namun jika kekalahan yang diterima PAS, ia bakal memberikan impak yang lebih besar kepada parti komponen Pakatan itu selepas kehilangan negeri Kedah dalam pilihan raya umum lalu.

Ia bukan lagi dianggap kehilangan satu kerusi sahaja bahkan akan membuktikan prestasi PAS memang sedang menurun selepas pemergian Pesuruhjayanya, Tan Sri Azizan Razak.


Ia bakal menjadi trauma dan beban besar kepada Pesuruhjaya PAS Kedah yang baru, Datuk Mahfuz Omar.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengumumkan PRK DUN Sungai Limau akan berlangsung pada 4 November dan hari penamaan calon pada 23 Oktober ini.

Pengerusinya, Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof berkata tiada hari pengundian awal dan terdapat 27, 222 orang pengundi yang akan mengundi di kawasan itu.

Pengerusi Eksekutif Ilham Centre, Mohd Hisomudin Bakar, berkata selepas PAS kehilangan Kedah dalam Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) lalu, dua isu penting dijadikan sebab bagaimana ia boleh berlaku.

"Satu kerana perpecahan dalaman antara Azizan dan musuhnya dalam PAS, yang kedua kerana kegagalan PAS Kedah dalam melaksanakan dasar negeri yang dilihat tidak melata.

"Jika PAS kalah lagi dalam pilihan raya ini, Mahfuz yang mengambil alih jawatan dari Azizan bakal berhadapan dengan trauma besar," katanya.

Ilham Centre terlibat dalam membuat kajian lapangan sebelum membuat cadangan manifesto Pakatan Rakyat menjelang PRU13 Mei lalu dan Kedah adalah antara negeri yang dikaji Ilham Centre.

Sejak 2012, Hisomudin berkata, pihaknya sudah mengesan bibit ketidakpuasan hati golongan yang pertama kali menyokong Pakatan Rakyat di Kedah pada pilihan raya 2008 terhadap kerajaan negeri.

"Perpecahan dalaman menolak penyokong atas pagar ini lari dari Pakatan Rakyat di Kedah walaupun penyokong tegarnya kekal," katanya kepada The Malaysian Insider.

Oleh itu, PRK itu sangat penting bagi kepimpinan baru PAS Kedah untuk menang.

PRK Sungai Limau diadakan berikutan kematian bekas Adunnya, Tan Sri Azizan Razak yang juga bekas Menteri Besar Kedah.

Dalam pilihan raya lalu, PAS dan Pakatan Rakyat Kedah kehilangan negeri Kedah apabila hanya berjaya mendapat 15 kerusi manakala BN memperoleh 21 kerusi DUN.


Pesuruhjaya PAS Kedah, Datuk Mahfuz Omar galas tanggungjawab berat.Jika PAS kalah kerusi Sungai Limau kali ini, ia bukan sahaja kehilangan kerusi tetapi kehilangan harga dirinya.

"Bagi saya kerja penting yang perlu dibuat oleh Datuk Mahfuz selaku pesuruhjaya baru PAS adalah menyatukan jentera PAS Kedah supaya bekerja bersungguh-sungguh untuk memenangi pilihan raya ini.

"Buat masa sekarang, saya tidak nampak Mahfuz menyatukan PAS Kedah selepas berpecah sebelum ini," kata Hisomudin.

Satu lagi faktor penting dalam pilihan raya ini adalah faktor keluarga besar Azizan.

Bekas Setiausaha Akhbar Azizan semasa beliau menjadi Menteri Besar, Helmi Khalid, berkata keluarga besar Azizan sentiasa menjadi faktor penting pilihan raya di DUN ini.

Azizan mula bertanding pada pilihan raya 1995 di DUN yang pada ketika itu dikenali dengan nama Sala dan menang. Sebelum itu, pada pilihan raya umum 1990, sepupu Azizan, Azahari menang kerusi itu.

Sebelum Azahari, bapa saudara Azizan yang dikenali sebagai Pak Teh Mat menjadi wakil rakyat atas tiket Barisan Nasional.

Secara ringkasnya, Sala atau kini namanya Sungai Limau sentiasa di tangan keluarga besar Azizan.

Selain keluarga besar Azizan, satu lagi keluarga besar di sini adalah keluarga allahyarham Yahya Junid pengasas Sekolah Menengah Agama Taufikiah Al Halimiah.

Kini anaknya, Najib Fahmi menjadi Setiausaha sekolah agama itu.

Menjelang pilihan raya umum lalu, Najib yang juga bekas aktivis PAS Kedah dan bekas Setiausaha PAS kawasan Jerai, adalah musuh peribadi Azizan.

Beliau membantu calon BN Parlimen Jerai, Datuk Seri Jamil Khir melawan calon PAS dan menang. Namun usaha beliau mengalahkan Azizan gagal.

Azizan memenangi kerusi tersebut pada PRU13 lalu dengan majoriti 2,774 undi menerusi pertandingan empat penjuru.

Beliau memperolehi 13,294 undi menewaskan calon Barisan Nasional (BN), Mohd Fazillah Mohd Ali dengan 10,520 undi dan dua lagi calon bebas iaitu Abdullah Hashim dan Sobri Ahmad yang masing-masing hilang wang pertaruhan.

Abdullah Hashim yang diletakkan Najib gagal untuk mendapatkan balik wang pertaruhannya kerana kalah teruk.

"Berdasarkan kerja baik Azizan selama ini, saya yakin PAS boleh kekalkan kerusi ini dalam pilihan raya kecil nanti," kata Ketua Pengarah Pilihan Raya PAS, Dr Mohamad Hatta Ramli ketika dihubungi The Malaysian Insider.

Katanya, PRK itu juga bakal menilai kesepakatan dalam Pakatan Rakyat ekoran cadangan kajian kepada tahaluf siasi (kerjasama politik) yang dikemukakan ulama PAS.

Sementara itu, keputusan kepada pertandingan di Sungai Limau sangat diperlukan oleh Mukhriz yang baru mengambil alih kerajaan negeri Kedah sebagai Menteri Besar.

Beliau yang mahu mencuba nasib bertanding kerusi Naib Presiden Umno, mahukan kemenangan dalam pilihan raya ini untuk buktikan Umno semakin kuat di Kedah dan kemenangannya dalam pilihan raya lalu bukan kebetulan sahaja.

"Kemenangan di Sungai Limau akan akan menjadi 'testimonial' kepada Menteri Besar Kedah yang baru, Datuk Mukhriz Mahthir," kata Setiausaha Badan Perhubungan PAS Kedah, Ustaz Musodak Ahmad.

Ini kerana, katanya, pertandingan ini adalah yang pertama untuk Mukhriz selepas dilantik sebagai Menteri Besar dan beliau sangat memerlukan kemenangan ini.

Katanya, ia juga bakal memberikan nota penting untuknya bagi penyertaan dalam perebutan jawatan Naib Presiden Umno.

Kesimpulannya, walaupun ia hanya satu kerusi dan tidak akan mengubah status qou kerajaan negeri Kedah tetapi kesannya bakal mendalam kepada kedua-dua pihak yang bertentangan ini.

Tiada ulasan:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...