26 Ogos 2013

PKR Tidak Halang Azmin Tanding Jawatan Presiden



PKR tidak halang Azmin tanding jawatan presiden, kata Nurul Izzah



Azmin Ali belum buat keputusan untuk bertanding jawatan Presiden PKR. 

Nurul Izzah Anwar menegaskan beliau tiada masalah jika Timbalan Presiden PKR, Mohamed Azmin Ali mahu bertanding jawatan presiden parti yang kini disandang ibunya Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.

Terdapat ura-ura Azmin mahu bertanding jawatan presiden PKR berikutan kekosongan selepas Dr Wan Azizah bersara tidak lama lagi.

"Itu haknya untuk bertanding selepas tempoh yang disandang pengerusi sekarang tamat," kata Nurul Izzah kepada The Malaysian Insider ketika ditemui di Majlis Rumah Terbuka Parlimen Lembah Pantai sambil menjelaskan ibunya memegang jawatan itu selama tiga penggal.


Katanya, perkara berkenaan tidak menjadi perhatian buat masa ini kerana parti baru sahaja selesai menjalani pilihan raya umum ke 13 (PRU13).

"PKR adalah parti yang mengamalkan demokrasi maka sesiapa sahaja berhak untuk bertanding.

“Seseorang pemimpin itu dinilai dari segi karakter dan pencapaiannya maka biar ahli yang memutuskannya," katanya.

Akhbar milik Umno, Utusan Malaysia baru-baru ini melalui kolumnisnya Awang Selamat melihat Azmin sebagai calon yang layak membawa perubahan dalam PKR bagi memecahkan kepompong keluarga Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam parti itu.

Katanya, Azmin dilihat lebih layak selepas Dr Wan Azizah hanya menjadi boneka kepada Anwar dan Nurul Izzah.

Sementara itu, Azmin menepis spekulasi mengatakan beliau akan bertanding jawatan Presiden PKR menentang Dr Wan Azizah dalam pemilihan parti itu yang dijadualkan awal tahun depan.

Bercakap kepada The Malaysian Insider, Ahli Parlimen Gombak itu menegaskan fokus utamanya kini adalah bekerja untuk memastikan anak muda akan tertarik kepada PKR sekaligus mengukuhkan kedudukan mereka dalam tempoh lima tahun akan datang.

"Itu (soal bertanding jawatan Presiden) kita bincang kemudian . Saya mahu fokus kerja supaya PR boleh gunakan lima tahun akan datang untuk menarik anak muda menyokong PR," katanya kepada The Malaysian Insider semalam ketika ditemui dalam majlis rumah terbukanya di Ampang, merujuk kepada 

Pakatan Rakyat

.

"Kita mahu membina kekuatan parti dan penjenamaan semula parti supaya ia lebih menarik," katanya.

Azmin menang jawatan timbalan presiden PKR dalam pemilihan parti itu pada 2010 mengalahkan Mustafa Kamil Ayub yang juga bekas Naib Presiden parti itu.

Bekas menteri Umno Datuk Zaid Ibrahim yang juga salah seorang lagi pencabar menarik diri pada saat-saat akhir.

Pada persaingan jawatan timbalan presiden itu, Azmin memenanginya dengan memperoleh 19,543 undi daripada 218 cabang PKR yang melakukan pengundian.

Tiada ulasan:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...