12 Januari 2012

KONVENSYEN PR BAWA TEMA " BERSIHKAN MALAYSIA"


PETALING JAYA, 11 JAN : Konvensyen Pakatan Rakyat yang diadakan pada Sabtu bakal mengangkat tema 'Bersihkan Malaysia' untuk mengajak rakyat membawa perubahan dalam pentadbiran di negara hari ini.

Menurut Naib Presiden Pas, Datuk Mahfuz Omar, kelainan yang akan ditampilkan pada konvensyen kali ini ialah setiap segmen akan diwakili pelbagai kelompok untuk memberi peluang kepada mereka berkongsi permasalahan yang dihadapi masing-masing.

"(wakil-wakil) ini akan tampil memberikan pandangan, tanggapan, luahan mereka terhadap permasalahan yang menghantui mereka di dalam pemerintahan BN. Ini saya katakan kita nak berkongsi dengan semua orang supaya setiap orang itu memberikan input untuk Pakatan Rakyat melihat secara yang lebih besar. Bagaimana kita nak membangunkan negara kita ini berdasarkan setiap kelompok ni memberikan input yang terbaik kepada negara," katanya pada sidang media sempena konvensyen Pakatan Rakyat pada Sabtu ini.

Konvensyen selama sehari itu akan diadakan di Stadium Sultan Abdul Halim Mu'adzam Shah Suka Menanti, Alor Setar, Kedah.

Gagasan itu juga akan membentangkan manifesto mereka melalui beberapa kertas kerja.

Difahamkan, exco Kerajaan Negeri Kelantan, Datuk Husam Musa akan membentangkan kertas kerja mengenai pembaharuan memulihkan perkhidmatan awam manakala Ketua Pemuda DAP Anthony Loke pula mengenai ‘federalisme’.

Menteri Besar Selangor Tan Sri Khalid Ibrahim pula akan menyampaikan kertas kerja mengenai anti-monopoli manakala Ketua Biro Felda PKR, Suhaimi Said akan membentangkan kertas kerja mengenai reformasi Felda.

Sementara itu, mengulas mengenai kejadian letupan di perkarangan kompleks mahkamah Kuala Lumpur pada hari Isnin lalu, Mahfuz mahu pihak polis melakukan siasatan yang menyeluruh dan memastikan kejadian sama tidak berulang.

" Kami cukup kesal dengan apa yang berlaku dan kami minta pihak polis harus melakukan siasatan yang menyeluruh ke akar umbi untuk mengenal pasti punca-punca yang boleh berlaku dan mereka yang terlibat dalam letupan tersebut, kerana bagi kami ini satu tindakan yang tidak sihat yang dilakukan pihak-pihak yang tidak bertanggungjawab terhadap keselamatan dan keamanan,"katanya

Tiada ulasan:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...