10 Januari 2012

KHIR TOYO: MORAL ANWAR BUKAN LAGI SENJATA POLITIK


KUALA LUMPUR, 9 JAN : Mantan Menteri Besar Selangor Dr Khir Toyo menggesa UMNO-Barisan Nasional supaya tidak terlampau ghairah dengan isu moral Datuk Seri Anwar Ibrahim, sebaliknya memberi tumpuan meringankan beban ekonomi rakyat.

Beliau berkata keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur membebaskan Anwar daripada tuduhan liwat akan meniupkan semangat baru kepada Parti Keadilan Rakyat dan Ketua Pembangkang itu sendiri.

"Pembebasan Datuk Seri Anwar Ibrahim memberikan kelebihan kepada PKR dan menjadikan parti itu lebih kuat untuk lebih yakin dalam menghadapi pilihan raya umum akan datang.

"Barisan Nasional (BN) harus membuat kajian yang lebih terperinci kerana soal moral Anwar sekarang sudah tidak menjadi isu politik dan adalah lebih baik mereka memberi tumpuan bagaimana untuk kembalikan kepercayaan rakyat.

"Rakyat kini hanya mahukan pemimpin yang boleh mengurangkan kos kehidupan mereka, di mana pada ketika ini semua harga barang semakin meningkat dan rakyat terbeban," kata beliau.

Khir berkata Umno tidak harus masuk perangkap pembangkang dengan terlalu memberi fokus kepada Anwar sehingga alpa memberikan tumpuan agenda membela rakyat.
Dr Khir sendiri menghadapi masa depan mencabar setelah beliau disabit kesalahan mendapatkan untuk dirinya serta isteri tanah dan lot banglo ketika beliau Menteri Besar empat tahun lalu.

Beliau dijatuhkan hukuman penjara setahun dan aset terbabit dilucutkan daripada milik beliau. Adun Sungei Panjang itu kini dalam proses membuat rayuan terhadap keputusan itu.

Ditanya kenyataannya bulan lalu bahawa beliau akan mejelaskan langkah seterusnya setelah disabit dengan kesalahan itu selepas 9 Januari, Khir berkata beliau akan memanggil sidang akhbar dalam tempoh dua hari.

Tiada ulasan:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...