13 Januari 2012

Anwar bebas: Sejauh mana imej BN pulih?

Walaupun sudah beberapa hari Datuk Seri Anwar dibebaskan dari pertuduhan meliwat Saiful Bukhari Azlan — bekas pembantu peribadinya, perbincangan mengenai keputusan bersejarah tersebut masih lagi rancak.

Hebatnya impak keputusan mahkamah tersebut sehingga menyebabkan isu seperti pemecatan Exco Selangor, Datuk Dr Hasan Ali tenggelam dan gagal dimanipulasikan oleh media-media yang tidak mesra kepada Pakatan Rakyat (PR).

Kegembiraan penyokong Anwar dan Pakatan Rakyat (PR) boleh dilihat dilaman-laman sosial seperti Facebook, Twitter dan YouTube.

Gambar dan video dihari perhimpunan Bebas Anwar 901 dinaikkan menggambarkan satu temasya rakyat menyambut kemenangan.

Kegembiraan bebasnya Anwar dari pertuduhan liwat tidak menggembirakan semua pihak. Apatah lagi bagi bekas “anak-anak buah” ahli parlimen Permatang Pauh yang telah menyebrang menyertai Umno dan Barisan Nasional.

Senator Ezam Mohd Nor, mantan Ketua Angkatan Muda PKR yang telah menyertai Umno kecewa dengan keputusan mahkamah membebaskan Anwar.

Ezam yang masih tidak dapat mengubah gaya pidatonya yang mirip Anwar Ibrahim itu, menyatakan beliau tetap percaya bahawa bekas Timbalan Perdana Menteri itu adalah peliwat walaupun keputusan mahkamah tidak memihak kepada Saiful Bukhari.

Sebenarnya Ezam tahu, apabila Anwar bebas dari pertuduhan liwat, ianya memberikan kekuatan kepada ahli parlimen Permatang Pauh itu untuk terus mengasak BN.

Jika BN tersungkur dari kuasa, Ezam sudah “letih” untuk menjadi pemimpin pembangkang sepertimana satu ketika dahulu.

Strategi BN

Jika kita lihat kenyataan atau penulisan dari media Pro BN, strategi yang dimainkan dalam isu pembebasan Anwar ini adalah bebas pertuduhan tidak bermakna Anwar tidak meliwat.

Lihatlah blog-blog Pro Umno. Majoritinya bernada sama. Mereka berhujah, mahkamah terpaksa membebaskan Anwar kerana tidak mempunyai bukti kukuh untuk menyabitkan bekas Timbalan Presiden Umno itu.

Akan tetapi, ini tidak bermakna Anwar tidak meliwat. Kita boleh melihat ada juga penulisan-penulisan yang berbunyi, “Anwar bebas mahkamah dunia tetapi tidak mahkamah Allah”.

Isu kebebasan sistem kehakiman juga dicanangkan apabila mahkamah membebaskan Anwar.

Menurut Datuk Seri Najib Razak dan beberapa pimpinan tertinggi Umno, keputusan kes Liwat II yang menyebelahi Anwar adalah bukti kerajaan tidak campurtangan dalam sistem kehakiman negara.

Secara tidak langsung, Najib mengesahkan bahawa selama ini, memang terdapat campurtangan eksekutif dalam sistem kehakiman negara.

Imej BN pulih?

Dalam isu kebebasan sistem kehakiman ini, target BN adalah pengundi atas pagar.

Mereka percaya, pengundi atas pagar akan menyokong BN oleh kerana terdapat bukti Najib serius dengan program transformasinya dan tidak campurtangan dalam keputusan mahkamah dalam kes berprofil tinggi seperti ini.

Sejauh mana ini boleh membantu? Mungkin segelintir kecil pengundi atas pagar akan terpengaruh dengan propaganda ini.

Akan tetapi, majoriti pengundi atas pagar adalah jenis pengundi yang mementingkan polisi dan dasar dan tidak mudah digula-gulakan dengan isu sebegini.

Sebenarnya, keputusan mahkamah 901 lebih membahayakan Umno. Pengundi-pengundi Melayu di kubu kuat Umno — kawasan pendalaman akan tergugat.

Bagi mereka (baca: pengundi Melayu kawasan pendalaman), keputusan mahkamah bukti Anwar tidak bersalah.

Persoalan mengenai Anwar bebas kerana pendakwa tidak cukup bukti dan belum tentu Anwar tidak meliwat tidak masuk dalam kamus pemikiran golongan ini.

Simpati terhadap Anwar dan keluarganya pasti meningkat. Keputusan mahakamah juga menjadi bukti Anwar mangsa kepada konspirasi politik.

Keadaan ini lebih membahayakan Umno kerana “fix deposit” sokongan politik mereka tergugat.

Tiada ulasan:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...