Pakej RM20 Juta Beli Ahli Parlimen Pakatan Rakyat
SHAH ALAM 12 JULAI: Pakej lumayan bernilai RM20 juta merupakan pendedahan siri ke empat bagi membeli Ahli Parlimen Pakatan Rakyat yang didedahkan Ahli Parlimen PKR Tanah Merah, Amran Abdul Ghani.
Ia bukan sahaja berbentuk wang tunai tetapi meliputi pemberian aset perniagaan dan ‘percutian’ bagi tempoh meredakan keadaan.
Selain itu RM10 juta kononnya akan dibelikan gudang di sekitar Kuala Lumpur yang kemudiannya disewakan kepada orang lain sebagai pencen manakala selebihnya dinyatakan supaya beliau membawa isteri ke Indonesia selama dua atau tiga tahun untuk meredakan keadaan dengan syarat lapan orang Ahli Parlimen Pakatan Rakyat keluar meninggalkan parti.
Dakwa Amran, tawaran ini berlaku ketika Datuk Seri Najib Razak bakal menjadi Perdana Menteri melalui perjumpaan yang diatur oleh pihak tertentu.
“Kalau seorang menarik diri perkara ini tidak jadi. Pemberian RM20 juta seorang ini terjadi apabila kelapan-lapan orang ini melompat supaya kononnya apabila Najib menjadi Perdana Menteri, Perak dapat dirampas dan BN memperoleh semula majoriti dua pertiga (di Parlimen),” katanya di Lobi Bangunan Annex di sini.
Pengakuan Amran mengukuhkan lagi pendedahan yang dibuat sebelum ini oleh Ahli Parlimen Indera Mahkota, Azan Ismail yang ditawarkan RM5 juta untuk meninggalkan PKR.
Lebih menarik kata Amran, tawaran tersebut mereka akan menjadi ahli parlimen bebas tetapi menyokong BN.
Kenyataan ini sebenarnya mengukuhkan lagi bukti bahawa BN sudah lama merancang rampasan tampuk pentadbiran Pakatan Rakyat Perak yang berjaya direalisasikan pada Februari 2010.
Sementara itu, Ahli Parlimen Ketereh, Aziz Kadir yang turut bersama dalam sidang media berkenaan mengakui dihubungi oleh individu yang dikenali sebagai ‘Zamil’.
Katanya, beliau dihubungi beberapa kali oleh individu berkenaan namun tidak melayan panggilan berkenaan.
Sebelum ini Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Samad yang turut serta dalam sidang media hari ini mendedahkan Ketua Parti Kita Kedah, Zamil Ibrahim merupakan antara individu dalam klip video proses perbincangan tawaran supaya Ahli Parlimen Pakatan Rakyat meninggalkan parti.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan