15 Julai 2011

Ramadhan: PUM sokong penuh usaha Kedah

Harakahdaily
SHAH ALAM, 15 Julai: Persatuan Ulama Malaysia (PUM) menyokong penuh usaha Kerajaan Negeri Kedah untuk menguatkuasakan larangan pusat hiburan beroperasi sepanjang bulan Ramadhan.

Setiausaha agungnya, Dr Mohd Roslan Mohd Nor berkata, pihaknya juga menyarankan semua negeri-negeri lain mencontohi usaha yang akan dilaksanakan oleh Kerajaan Negeri Kedah.

Katanya, kehadiran bulan Ramadhan yang bakal tiba hendaklah disambut dengan memperbanyakkan amalan ibadah dan bukannya dengan hiburan-hiburan semata-mata.

“Dalam bulan Ramadhan banyak ganjaran pahala yang dijanjikan oleh Allah kepada hambaNya. Sehubungan itu adalah disarankan agar kita mengambil peluang yang ada mendekatkan diri kepada Allah,” ujarnya dalam kenyataan yang dikeluarkan di sini.

PUM juga, ujarnya turut kesal sekiranya ada usaha-usaha memperlekehkan larangan tersebut kerana larangan itu tidak bermaksud buruk dan ianya baik untuk semua kaum dan agama.

Sehubungan itu, tambahnya wajar usaha seperti itu disokong dan dilaksanakan.

Beliau berkata, PUM juga menyarankan agar media elektronik menghormati dan mengambil usaha sempena kedatangan bulan Ramadhan untuk menyajikan input-input berguna kepada masyarakat.

Menurutnya, walaupun mesej yang ingin disampaikan sedikit sahaja tetapi jika impaknya besar sudah memadai.

Sebagai contoh, katanya iklan-iklan yang memaparkan peri pentingnya puasa kepada kesihatan dan juga badan.

Jelasnya, di luar negara mesej-mesej seperti itu sudah lama diguna pakai dalam memberikan makluman kepada masyarakat.

Tiada ulasan:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...