10 Julai 2011

Bersih 2.0 mahu Suhakam siasat tindakan polis



Pemimpin Bersih 2.0 (dari kiri) Maria Chin Abdullah dan S Ambiga berbual dengan Mohamad Sabu dengan diperhatikan oleh Lim Kit Siang setelah menziarahi keluarga Baharuddin pagi tadi.

KUALA LUMPUR, 10 Julai — Pengerusi Bersih 2.0 Datuk Ambiga Sreenavesan mahu Suhakam mengadakan siasatan segera berhubung kekerasan polis terhadap mereka yang menyertai perhimpunan anjuran pihaknnya di ibu negara semalam.
Beliau berkata, kejadian semalam tidak wajar berlaku dan ini merupakan masa untuk Suhakam bertindak.

“Apa yang berlaku semalam tidak patut terjadi. Saya telah pun berbincang dengan Suhakam dan mereka akan buat tindakan lanjut,” katanya selepas menziarahi mangsa yang mati akibat sesak nafas semasa himpunan Allahyarham Baharuddin Ahmad.

Ambiga turut menyifatkan Baharuddin, ahli PAS kawasan Setiawangsa sebagai seorang hero kerana mati ketika berjuang.

Selain itu, Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu yang cedera di lutut kanannya memberitahu, himpunan semalam disifatkan berjaya dengan kehadiran dalam jumlah yang besar walaupun pihak polis menutup hampir semua jalan ke ibu negara.

“Polis bertindak kasar dengan memukul, menendang sehingga ada yang terbunuh akibat sesak nafas dengan gas pemedih mata, ia menunjukkan tahap polis kita seperti di dunia ketiga,” katanya yang datang dengan berkerusi roda.

Tambah beliau, suasana huru-hara yang disaksikan semalam sudah pasti dapat dielakkan jika pihak polis memberi peluang kepada mereka untuk berjalan dan berhimpun secara aman.

“Kalau mereka bagi peluang berjalan, dua atau tiga jam dah boleh selesai. Ini juga menunjukkan pentadbiran (Datuk Seri) Najib (Razak) sangat primitif dan tidak bertamadun. Ia disaksikan oleh dunia yang mana orang ramai yang tidak bersenjata, berhimpun,” katanya.

Mengenai kecederaan pada lututnya, Mohamad atau lebih mesra dengan panggilan “Mat Sabu” berkata, kecederaan yang dialami tidak serius tetapi menyukarkannya untuk berjalan.

Katanya,”kalau saya duduk begini (di atas kerusi roda) tak sakitlah. Tapi kalau saya berjalan rasa sakit kerana legimen rosak. Untuk sembuh ambil masa sehingga dua, tiga minggu juga.”

Mohamad berkata beliau akan berbincang dengan peguam mengenai tindakan selanjutnya yang akan diambil.

Laporan semalam menyebut beliau ditahan setelah berlaku pelanggaran membabitkan kereta polis semasa dalam perjalanan ke Masjid Negara.

Beliau juga menambah, pihaknya akan terus berjuang untuk mendapatkan pilihan raya yang bersih dan menyerahkan kepada Bersih untuk langkah seterusnya. Selain beliau turut ditahan ialah Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang dan dua naib presiden PAS iaitu Datuk Mahfuz Omar dan Salahuddin Ayub.

Naib Presiden PKR Tian Chua dan ahli jawatankuasa eksektutif DAP Ngeh Koon Ham serta Ahli Parlimen Subang R Sivarasa juga ditahan.-tmi

Tiada ulasan:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...