Percayalah, Putrajaya akan batal pindaan Akta Kerja
Oleh Khalid Jurait
Ahli-ahli MTUC sewaktu protes menentang pindaan Rang Undan-undang Kerja 3 November, 2011.
ANALISIS, 5 Dis — Ini bukan gimik dan ia juga bukan sebagai provokasi. Akan tetapi semua pihak akan mendapat keuntungan daripada keputusan yang dibuat, dalam erti kata ‘win-win situation’.
Semua akan mendapat faedah daripada keputusan ini sama ada dibuat secara paksa atau tidak.
Kerajaan tidak ada pilihan! Ini kerana golongan pekerja atau buruh ini faktor sangat kukuh yang boleh menumbangkan kerajaan. Terbukti di mana-mana negara luar atau sejarah silam.
Statistik Unit Perancang Ekonomi menunjukkan bahawa golongan pekerja bawahan keseluruhannya ialah 85 peratus manakala daripada kumpulan Pegawai Kanan dan Pengurus 8.5 peratus dan profesional pula 6.5 peratus.
Andainya di saat-saat akhir dalam pilihan raya umum yang diadakan tidak lama lagi, keputusan mengejut kerajaan menarik balik pindaan ini pastinya akan memberi satu talian hayat yang amat kukuh bagi parti pemerintah (BN).
Percayalah, ia akan berlaku.
Ini sudah pasti kerana ia merupakan talian hayat buat meningkat sokongan mengundi secara total. Ini disebabkan para pekerja dan buruh itu terdiri daripada semua rakyat tidak kira dari kalangan ahli keluarga Umno sendiri, PAS, PKR, MIC, MCA, DAP, PPP dan segala macam parti dalam komponen BN atau Pakatan Rakyat.
Berapa keratkah kalangan ahli keluarga sanak saudara pemimpin pelbagai parti ini yang menjadi pengurus, dan berapa ramai yang hanya ‘makan dan tidur’ dan tidak bekerja?
Isu pindaan Rang Undang-undang Kerja yang diluluskan oleh Dewan Rakyat 6 Oktober lalu sememangnya amat berisiko bagi kerajaan sekarang untuk tumbang.
Pindaan baru ini memang jelas mengembalikan era zaman ‘Kunta Kinte’. Pekerja dengan mudahnya ‘dijual’ kerana dipindahkan dari satu majikan kepada majikan yang lain oleh orang tengah iaitu sistem kontraktor bagi tenaga kerja.
Kelulusan mewujudkan sistem kontraktor bagi tenaga kerja sebagai orang tengah antara pekerja dengan majikan ini, menyebabkan semua pekerja tidak dapat pembelaan kebajikan dan hak-hak mereka dengan telus dan berkesan.
Selain bertentangan dengan prinsip-prinsip Pertubuhan Buruh Antarabanagsa (ILO) sebarang perjanjian yang dimeterai oleh pekerja tidak kukuh, hanya orang tengah (kontraktor bagi tenaga kerja) yang berurusan dengan pekerja secara rasmi atau hitam putih, bukan terus dengan majikan. Pada hal kontraktor bagi tenaga kerja ini majikan prinsipal.
Tatkala sokongan kaum Cina amat rendah buat BN, maka undi penentu ialah kaum Melayu dan India.
Tetapi bukankah dua etnik inilah yang paling ramai mempelopori kerja makan gaji sebagai buruh atau kelas pertengahan?
Maka kerajaan tidak ada pilihan. Suara dua kaum utama ini perlu didengar.
Bahkan pula, rata-rata pihak pemimpin kesatuan sekerja ‘cerdik’ mengambil kesempatan iaitu dengan tegasnya mengistiharkan bahawa mereka akan melobi semua ahlinya untuk menyokong mana-mana parti politik yang senada dengan mereka dalam membela nasib pekerja.
Maka isu ini sebagai ‘bola tanggung’ bagi pihak pembangkang. Ini kerana seperti disebutkkan tadi, para pekerja bukan sahaja terdiri daripada anak-anak dan ahli keluarga pembangkang, tetapi juga ahli keluarga saudara mara parti pemerintah juga.
Bagi pengundi atas pagar, apatah lagi.
Mereka tidak gusar membuat keputusan dalam keadaan tertekan. Pastinya semua masih ingat ketika harga minyak RM2.70 seliter dahulu. Bahkan ahli Umno sendiri yang tertekan demi survival hidup. Maka mereka sanggup ‘membelot’ dan memangkah pembangkang di atas kertas undi.
Dari data tahun 2010, jumlah buruh tempatan secara keseluruahnnya ialah 10,864,300 manakala buruh asing pula 1,542,500 orang. Jika separuh dari lebih 10 juta orang pekerja tempatan ini berperanan di atas kertas undi, landskap politik negara akan berubah.
Dahulu pun, Indonesia berubah tampuk pemerintahan di kala krisis ekonomi. Begitu juga di Mesir dan negara-negara lain. Isunya ialah masalah kehidupan berkaitan ekonomi.
Walaupun jika cuba dinafikan ia akan berlaku di Malaysia, akan tetapi kesan jelas dari pengamalan sistem kontraktor bagi tenaga kerja yang diluluskan ini akan menekan kehidupan dan ekonomi seharian majoriti rakyat. Ini pasti berlaku.
Saya optimis, kerajaan akan sudi pandang ke belakang walaupun sukar. Sejarah menunjukkan perjuangan buruh di serata negara dunia ini memang sukar berpihak kepada parti pemerintah.
Paling tidak, ada kesannya. Tidak kira cepat atau lambat, pasti berpihak kepada pekerja.
Rujuk kes perjuangan Kesatuan Sekerja Guppy Plastic Industries. Walaupun mereka kalah pada 31 Mei 2006 akan tetapi rayuan telah dibuat pada 19 Julai 2006. Pengakhirannya, Hakim Mahkamah Tinggi Mohamad Ariff Md. Yusof mengistiharkan kemenangan mereka pada 14 Disember 2009 dan mendapat pampasan serta ganti rugi.
Lambat laun semua pihak akan akur juga suara pekerja.
Sesungguhnya pekerjalah yang membangunkan negara. Maka apakah parti pemerintah dan parti pembangkang buat? Mereka dua kelompok ini hanyalah ‘pengurus’ dalam mentadbir negara dalam erti kata sebagai periksa dan seimbang. Itu saja. Riuh rendah konflik, kontroversi dan polemik memang lumrah mereka, tetapi pembangunan negara tetap digerakkan oleh pekerja.
Kesimpulannya ialah, sesiapa yang menjuarai isu ini ibarat mendapat pedang sakti yang menguasai medan tempur dalam perjuangan. Khas untuk pilihan raya ke-13 ini.
Impak pindaan akta ini umpama letusan gunung berapi, dan bukannya empangan yang pecah. Empangan yang pecah boleh dibaiki dan dibina semula. Gunung berapi yang meletus tidak boleh dibaiki dan diubah langsung. Ia kekal.
Ia juga seperti jaringan gol ‘sudden death’ dalam perlawanan bola sepak atau serupa jaringan penalti Baddrol Bahtiar 5-4 di Sukan SEA tempoh hari.
Keputusan yang dibuat pasti mencorakkan sejarah negara. Semoga semua pihak berperanan membela pekerja-pekerja yang banyak berjasa kepada negara.
Janganlah jadikan hal isu pindaan Akta Kerja 1955 ini sebagai isu kecil walhal ia tampak bak nila yang setitis tetapi sudah cukup merosakkan susu sebelanga.
Maka tidak salah untuk kerajaan menundukkan ego demi kebajikan rakyat dan pasti menaikkan sokongan pengundi. Bukankah kegusaran terpancar dalam Perhimpunan Agung Umno baru-baru ini?
Juga, tidak rugi juga pembangkang membantu meningkatkan suara hati pekerja kerana mereka juga sedang mencari tongkat sakti untuk memerintah. Pasti juga pelbagai pertubuhan bukan kerajaan dan MTUC akan dijulang jika bersama-sama membantu menjadi orang tengah dalam kemelut isu ini. Ini lah yang dikatakan semua pihak dalam ‘keadaan menang-menang’.
Semoga sumbangan tulisan yang sekelumit ini membuka mata semua pihak memperincikannya untuk tindakan, dan seterusnya memberi sumbangan yang besar kepada para pekerja semua khasnya dan negara kita Malaysia amnya.
Mudah-mudahan kita seluruh rakyat Malaysia dapat menyambut suatu perayaan khas tatkala beberapa hari sebelum saat mengundi pada pilihan raya umum ke-13 ini dek kerana Rang Undang-undang Kerja 1955 ini ditarik balik! Saya pasti.-tmi
Tiada ulasan:
Catat Ulasan