07 Disember 2011

Unjuran KDNK ASEAN, Asia Timur berkurangan

Masalah kewangan zon euro heret krisis ekonomi global

BANK Pembangunan Asia mengurangkan unjuran pertumbuhan ekonomi Asia Timur baru muncul termasuk China bagi 2012 berikutan masalah kewangan zon euro yang berpotensi mengheret ekonomi global kembali ke dalam krisis.

Bankzberpangkalan di Manila mengurangkan unjuran pertumbuhan keluaran dalam negara kasar (KDNK) kepada 7.2 peratus berbanding 7.5 peratus pada September untuk 10 negara ASEAN termasuk China, Hong Kong, Korea Selatan dan Taiwan.

Dalam kes terburuk jika berlaku kesan krisis Amerika Syarikat dan Eropah, pertumbuhan negara Asia Timur termasuk Jepun berkemungkinan berkurangan 1.2 peratus kepada 4.2 peratus berbanding unjuran sebelum ini iaitu 5.4 peratus.

“Senario terburuk bagi AS dan zon euro adalah kembali kepada kemelesetan yang mana menekan ekonomi global ke dalam krisis,” demikian menurut ADB dalam data terbaru mengenai ekonomi baru muncul Asia Timur.

Dengan krisis menular keluar dari Eropah, bank itu berkata, unjuran berhati-hati untuk negara ekonomi baru muncul di rantau Asia Timur tidak termasuk Jepun yang kini turut berada dalam keadaan mudah berjangkit berbanding unjuran yang dilakukannya pada September lalu.

“Unjuran optimistik tetapi berhati-hati bagi ekonomi baru muncul pada masa ini adalah berdasarkan kepada wujudnya risiko penurunan ketara berbanding beberapa bulan lalu.

“Pemulihan ekonomi global akan terjejas jika zon euro dan AS kembali kepada kemelesetan sekali gus menyebabkan satu lagi krisis ekonomi global,” kata bank itu.

Bank itu menambah risiko penurunan ketara termasuk kemelesetan terburuk di Eropah dan AS mewujudkan perlindungan ketara dan inflasi berterusan.

Jika masalah zon euro bertukar menjadi krisis besar-besaran kepada ekonomi global, kesan kepada Asia Timur akan lebih serius tetapi masih dalam kawalan sekiranya kerajaan bertindak tegas dan secara kolektif.

“Ekonomi baru muncul Asia Timur perlu bersedia untuk menghadapi krisis berpanjangan dan pemulihan selepas krisis dengan melaksanakan maklum balas makro ekonomi jangka pendek yang sesuai, selain meneruskan pembaharuan struktur jangka panjang,” kata laporan itu.

Perbelanjaan kerajaan boleh membantu mengekalkan momentum pertumbuhan sementara bank pusat pula perlu cekap menguruskan kewangan bagi memastikan kadar inflasi terkawal.

“Dengan krisis hutang zon euro berterusan dan risiko pemulihan global lemah semakin meningkat, dasar makroekonomi mesti kekal berhati-hati,” katanya.

– AFP

Tiada ulasan:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...