09 Disember 2011

Akta Perhimpunan Awam: Wakil PBB mengutuk KERAS

Himpunan: Imej negara terjejas teruk di mata dunia

KUALA LUMPUR, 8 Dis: Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPP Malaysia) menganggap kritikan yang dibuat oleh pelapor khas Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) terhadap Rang Undang-Undang Perhimpunan Aman 2011 merupakan suatu tamparan keras kepada kerajaan Malaysia yang bersikap degil dan enggan mendengar pandangan rakyat.

“Bagi DPP Malaysia, kerajaan perlu merasa malu kerana wakil khas PBB sendiri menegur sikap berkeras kerajaan Malaysia dalam membenarkan rakyat berhimpun,” kata ketua penerangannya, Riduan Mohd Nor.

Beliau mengulas pelapor khas PBB, Maina Kiai yang menyatakan RUU Perhimpunan Aman sebagai menyekat kebebasan bersuara rakyat dan sekatan yang dikenakan adalah tidak wajar mengikut undang-undang antarabangsa.

Maina Kiai mengkritik RUU Perhimpunan Aman kerana memberi ‘kuasa berlebihan’ kepada pihak polis untuk membenarkan atau mengharamkan sesuatu perhimpunan aman, serta kecewa kerana Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam) tidak dirujuk dalam merangka rang undang-undang tersebut.

Selain beliau, kata Riduan seorang lagi pelapor PBB turut menyanggah dasar kerajaan terhadap RUU Perhimpunan Aman dengan menyatakan bahawa penyertaan politik dan sosial melalui protes aman merupakan satu pengalaman pendidikan kanak-kanak, belia dan pelajar, malah ia juga satu pelaburan kepada masyarakat secara keseluruhannya.

“Dalam ucapan seorang lagi pelapor bagi hak kebebasan bersuara iaitu Frank La Rue, beliau menganggap semua individu berhak bersuara secara bebas dan ia merupakan satu ujian kepada tahap demokrasi di mana-mana negara dan menggesa agar rang undang-undang ini dikaji semula,” ujarnya kepada Harakahdaily.

Bagi DPP Malaysia, ujarnya kerajaan perlu sedar apabila banyak pihak mengkritik dan menentang sesuatu dasar, dan secara fokusnya adalah Akta Perhimpunan Aman, menandakan ada sesuatu yang tidak kena pada undang-undang tersebut.

Tambahnya, Akta Perhimpunan Aman yang telah diluluskan oleh kerajaan di Parlimen kini bukan lagi dimusuhi oleh rakyat Malaysia pelbagai peringkat, malah mendapat kecaman masyarakat antarabangsa.

“DPP Malaysia mengingatkan jika kerajaan terus berdegil meneruskan pelaksanaan Akta Perhimpunan Aman ini, imej Malaysia di mata dunia akan terjejas teruk,” ujarnya lagi.

Kata beliau, kerajaan perlu sedar bahawa Indeks Persepsi Rasuah negara sudah menjunam untuk tahun ketiga berturut-turut, Indeks Kebebasan Akhbar pula turut merosot bukan sekian tahun, serta pelbagai lagi bukti menandakan bahawa tahap demokrasi negara telah jatuh merudum teruk.

Justeru, ujarnya tiada lagi alasan buat kerajaan untuk meneruskan pelaksanaan Akta Perhimpunan Aman dan ia perlu ditarik balik dengan segera.

“Nampaknya semakin lama, semakin kuat bantahan rakyat terhadap dasar kerajaan ini.

“Mungkin kerajaan mahu menunggu himpunan bantahan terbesar rakyat seumpama Bersih 2.0 atau ditumbangkan rakyat dalam PRU ke 13, baru mereka sedar kesilapan mereka selama ini,” katanya.HD

Tiada ulasan:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...