21 November 2011

Sindiket Syabu terbesar bernilai RM27 juta tumpas

KUALA LUMPUR: Sindiket dadah terbesar tahun ini kali ini melibatkan syabu siap diproses bernilai RM27 juta telah berjaya ditumpaskan dengan penahanan lapan ahli dua sindiket warga Iran dalam serbuan berasingan di Lembah Klang.

Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Bukit Aman percaya kedua-dua sindiket ini berbeza dan tiada kaitan namun menggunakan modus operandi sama iaitu menyeludup dadah melalui Pelabuhan Klang menggunakan kontena.
Dalam serbuan pertama di Jalan Ulu Klang pada 11 Nov, Pengarah jabatan itu Datuk Noor Rashid Ibrahim berkata dua lelaki Iran ditahan bersama syabu seberat 14.2 kg disimpan dalam sebuah kontena berisi palet batu marmar.

"Kedua-duanya ditahan sebelum itu di kawasan Jalan Kampung Pandan di sini yang kemudian membawa polis ke kawasan kontena dan menemui dadah diselitkan di celah-celah kepingan batu marmar disorok dalam lapisan polyboard " katanya.


Noor Rashid memberitahu satu sidang akhbar di sini hari ini, dalam serbuan terbaharu di Taman D'Alpinia, Puchong, dekat sini petang Sabtu lepas, polis berjaya menahan enam warga Iran bersama syabu seberat 124.9 kg yang disorok dalam ruangan sulit bawah tiga kotak kayu.


"Dalam setiap kotak itu kami mulanya menemui meja hiasan, lampu perhiasan, pasu bunga, bingkai cermin serta lain-lain barangan namun selepas bahagian bawah diperiksa, berhasil menemui dadah tersebut.

"Ketiga-tiga kotak besar itu diletakkan di perkarangan luar rumah lot hujung yang disewa suspek dan dijadikan stor simpanan dadah sebelum diedarkan," katanya.

Menurutnya, wang tunai berjumlah RM 137,400 dipercayai hasil jualan dadah dirampas di rumah tersebut selain beberapa kenderaan mewah seperti Lexus, Mercedes Benz, BMW dan MG Rover disita.

Beliau berkata tindakan ini (sita) bagi membantu siasatan ke atas harta suspek di bawah Akta Dadah Berbahaya (Perlucuthakan Harta) 1988 Akta 340.

Noor Rashid percaya kedua-dua sindiket membawa masuk dadah yang siap dibungkus itu untuk pasaran tempatan dan kemungkinan untuk edaran rangkaian serantau.

"Operasi ini berjaya hasil tindakan susulan dan pemerhatian ke atas beberapa kontena yang selesai diperiksa di pelabuhan sebelum dibawa keluar arah sekitar Lembah Klang dan polis masih menyiasat dari mana, bila dan bagaimana dadah itu dibawa masuk," katanya.

Beliau berkata kesemua suspek yang berumur antara 29 dan 51 tahun ditahan reman selama tujuh hari bagi membantu siasatan. - BERNAMA

Tiada ulasan:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...