24 November 2011

MTUC: ADAKAN PERHIMPUNAN DESAK KERAJAAN BATAL AKTA KERJA


MTUC adakan perhimpunan desak kerajaan batal pindaan Akta Kerja 2 Dis

KUALA LUMPUR, 24 Nov — Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) akan mengadakan perhimpunan besar-besaran di Shah Alam, Selangor pada 2 Disember ini — tindakan susulan bagi menggesa Putrajaya agar menarik balik pindaan kontroversial Akta Kerja 1955.
Perhimpunan dua jam itu akan merumuskan pendirian seterusnya dan deklarasi bagi menggesa kerajaan membatalkan peruntukan berkaitan dengan sistem kontrak bagi tenaga kerja.

Pengerusi MTUC Bahagian Selangor dan Wilayah Persekutuan N. Gopal Kishnam ketika dihubungi The Malaysian Insider malam tadi berkata masa dan lokasi telah pun diputuskan semalam.

“Kita memutuskan untuk mengadakan pada hari kerja, selepas waktu kerja di dewan Seksyen 19 Shah Alam,” kata beliau.“Kami memutuskan untuk mengadakan 2 Disember, selepas waktu kerja supaya orang ramai termasuk pemimpin-pemimpin kesatuan boleh berhimpun selepas waktu kerja,” katanya memberi sebab kepada pemilihan tarikh itu.

Sebelum ini beliau berharap agar perhimpunan itu dapat diadakan pada 3 Disember sebagai simbolik kepada dua piket sebelum ini yang berlangsung pada 3 Oktober dan 3 November lalu.

“Kami menjangkakan kehadiran sekitar 3,000 orang, kami juga menjemput pertubuhan dan pemimpin sivil agar sertai perkhimpunan ini... MTUC akan menyampaikan mesej yang jelas mengenai pindaan terbaru membabitkan Akta Kerja ini,” kata beliau lagi.

Majlis Am MTUC telah memutuskan untuk mengadakan tindakan susulan ini, kali ini dipanggil sebagai perhimpunan bagi meneruskan tekanan ke atas kerajaan supaya membatalkan pindaan Akta Kerja khususnya peruntukan berkaitan dengan sistem kontraktor bagi tenaga kerja, Ahad lalu.

Bagaimanapun tarikh khusus dan tempat diputuskan semalam.

Kata beliau, MTUC memutuskan bahawa kerajaan wajar mengambil tindakan membatalkan pindaan undang-undang perburuhan itu.

“Tiada jalan lain kecuali kerajaan menarik balik rang undang-undang ini... pendirian MTUC,” kata beliau awal minggu ini.

Piket pertama diadakan di pekarangan bangunan Parlimen beberapa hari sebelum Rang Undang-undang Kerja (Pindaan) 2011 diluluskan oleh Dewan Rakyat dan piket susulan peringkat nasional secara serentak di 18 lokasi di seluruh negara sebulan kemudian,

Rang undang-undang itu kini menunggu giliran Dewan Negara untuk meluluskannya.

Tiada ulasan:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...