20 November 2011

Akta kebebasan berhimpun dijangka ke Parlimen minggu ini

KUALA LUMPUR, 20 Nov — Putrajaya akan membentangkan satu akta baru berkaitan kebebasan mengadakan perhimpunan secara aman susulan keputusan memansuhkan Seksyen 27 Akta Polis, sebagaimana dijanjikan September lalu, di Parlimen minggu ini.
Antara lain peruntukan penting yang akan dibawa undang-undang itu — yang bakal dikenali sebagai akta kebebasan berhimpun — memerlukan “persetujuan” pelbagai pihak apabila satu-satu perhimpunan awam atau perarakan hendak diadakan.

“Dalam lain perkataan, akta ini akan menyediakan peruntukan mengenai masa, hari dan tempat satu-satu perhimpunan atau perarakan boleh diadakan . . . misalnya perarakan atau perhimpunan hanya boleh diadakan pada hujung minggu atau hari-hari tertentu, di tempat yang khusus agar tidak mengganggu orang ramai,” kata sumber kepada The Malaysian Insider.

The Malaysian Insider difahamkan perkara itu telah diputuskan oleh mesyuarat Kabinet Jumaat lalu.

Sebelum ini ada cadangan bahawa perhimpunan awam boleh diadakan di tempat-tempat khusus seperti stadium.

Difahamkan undang-undang baru itu, yang mirip akta kebebasan perhimpunan awam yang diguna pakai di beberapa negara maju antaranya di United Kingdom (UK) dan Finland, akan dibentangkan untuk bacaan kali pertama oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak sebaik sahaja Bajet 2012 diluluskan. Bajet 2012 dijadual untuk diluluskan Rabu ini.

Di UK, undang-undang kebebasan awam dikenali sebagai Public Order Act manakala di Finland ia dinamakan sebagai Assembly Act.

“Saya difahamkan Datuk Seri Najib akan membentangkan untuk bacaan kali pertama pada 24 November (Khamis ini), jika tiada apa-apa perubahan, kita boleh lihat satu lagi akta baru berkaitan transformasi politik, yang diumumkan beliau September lalu,” kata seorang Ahli Parlimen kepada The Malaysian Insider.

Presiden Majlis Peguam Lim Chee Wee (gambar) juga mengesahkan pihaknya telah diajak terlibat

dalam perbincangan berkenaan akta itu.

“Akta baru ini digubal ekoran keputusan kerajaan mahu memansuhkan Seksyen 27 Akta Polis,” kata beliau ketika dihubungi The Malaysian Insider.

“Khabarnya akta baru ini mempunyai elemen-elemen yang memberi ruang lebih luas untuk mengadakan perhimpunan aman. Ia dibayangkan sebagai sambungan kepada pengumuman perdana menteri tentang pemansuhan ISA, kebebasan media yang lebih,” kata satu lagi sumber.

Bagaimanapun beberapa ahli Parlimen yang dihubungi berkata belum ada agenda berkaitan rang undang-undang berkaitan dalam aturan mesyuarat setakat minggu lalu.

“Mungkin ia akan dimasukkan dalam aturan mesyuarat minggu depan (minggu ini),” kata seorang wakil rakyat dengan merujuk kepada sidang Dewan Rakyat yang bersambung esok.

Pada 15 September lalu, ketika menyampaikan perutusan khas sempena Hari Malaysia, Perdana Menteri mengumumkan kerajaan akan mengkaji semula Seksyen 27 Akta Polis dengan mengambil kira peruntukan Perkara 10 Perlembagaan Persekutuan tentang kebebasan berhimpun dengan prinsip menentang sekeras-kerasnya demonstrasi jalanan.

Ketika itu Najib memberitahu kebenaran berhimpun akan diberi selaras dengan kaedah-kaedah yang akan ditetapkan kelak dengan mengambil kira norma-norma di peringkat antarabangsa.

Akta Kediaman Terhad dan Akta Buang Negeri telah dimansuhkan bulan lalu manakala pemansuhan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) akan dibentangkan di Parlimen Mac depan selepas dua undang-undang yang bakal menggantikannya siap digubal.

Mengulas lanjut perkembangan ini, Lim berkata, perkembangan itu adalah satu “isu yang penting” dan pihaknya yakin bahawa “skim baru ini selari dengan amalan-amalan terbaik peringkat antarabangsa.”

“Perkembangan baru ini merupakan satu langkah yang betul dalam arah tuju mentransformasikan Malaysia sebagai sebuah negara yang liberal dan progresif, yang mengiktiraf, melindungi dan menguatkuasakan kebebasan untuk berhimpun,” kata Lim lagi.

“Majlis Presiden menghargai keterbukaan dan pendekatan berunding yang diambil oleh peguam negara dan perdana menteri, yang melibatkan pelbagai pihak,” katanya lagi.-TMI

Tiada ulasan:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...