21 September 2011

Mat Sabu dihadapkan ke Mahkamah Butterworth pagi ini


GEORGE TOWN 20 Sept. - Polis Pulau Pinang hari ini menahan Timbalan Presiden Pas Mohamad Sabu untuk diambil keterangan berhubung kenyataannya mengenai tragedi Bukit Kepong, sebelum dibebaskan malam ini.

Ketua Polis Negeri, Datuk Ayub Yaakob berkata, Mohamad dibawa ke Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pulau Pinang selepas beliau menyerah diri susulan waran tangkap yang dikeluarkan terhadapnya.

"Beliau telah bekerjasama dengan pihak polis dan setelah tiba di Lapangan Antarabangsa Pulau Pinang kira-kira 7.30 petang tadi, Mat Sabu telah dibawa ke IPK polis negeri," katanya kepada pemberita, di sini hari ini.

Mohamad yang lebih dikenali sebagai Mat Sabu dilihat tiba di pekarangan IPK polis negeri kira-kira 8.30 malam dan dibenarkan ikat jamin 45 minit kemudian setelah percakapannya dirakam.

Ayub berkata terdahulu polis menghubungi Mat Sabu mengenai waran tangkap terhadapnya itu.

Mengulas lanjut, Ayub berkata pemimpin Pas itu akan dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di Butterworth esok bagi menghadapi pertuduhan mengikut Seksyen 500 Kanun Keseksaan yang dibaca mengikut Seksyen 499 kanun yang sama.

Ayub berkata pihaknya menerima 1,013 laporan polis berhubung kenyataan yang dibuat Mat Sabu, termasuk oleh anggota keluarga mereka yang terkorban dalam tragedi Bukit Kepong itu.

Antara lain, Mat Sabu dalam ceramahnya di Tasek Gelugor pada 21 Ogos lepas menyifatkan pengganas komunis yang menyerang Balai Polis Bukit Kepong di Muar, Johor pada 1950 adalah wira sebenar dan bukan 25 anggota polis serta keluarga mereka yang terkorban dalam kejadian tersebut.

Mat Sabu menerima kecaman hebat apabila klip rakaman video ceramahnya itu disebarkan menerusi Internet dan mendapat liputan akhbar, yang mengakibatkan ratusan laporan polis dibuat terhadapnya. - Bernama

BERITA KAITAN: PR GESA NAJIB GUGUR DAKWAAN

Polis tahan Mat Sabu, Pakatan gesa Najib gugur dakwaan

KUALA LUMPUR, 20 Sept – Pakatan Rakyat menyifatkan langkah pihak berkuasa mahu mengenakan tuduhan ke atas Timbalan Presiden PAS Mohamad Sabu sebagai tindakan bercanggah dengan pembaharuan politik diumumkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak, Khamis lalu.

Sehubungan itu mereka menggesa pentadbiran Najib menggugurkan tindakan perundangan yang akan dibawa ke atas Mohamad esok.

Petang tadi, Mohamad yang turut dikenali sebagai Mat Sabu (gambar) ditahan untuk diambil keterangan di ibu pejabat kontinjen Pulau Pinang sebelum dibebaskan dengan jaminan polis.

Ketua Polis Pulau Pinang Datuk Ayub Yaakub dipetik berkata, Mohamad ditahan sejurus tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang dari Kuala Lumpur pada pukul 7.30 petang tadi.

Mohamad dilaporkan tiba di ibu pejabat kontinjen pada 8.30 malam dan meninggalkan premis itu setengah jam kemudian.

Beliau dijangka didakwa di Mahkamah Sesyen Butterworth esok berhubung kenyataan kontroversi mengenai serangan komunis terhadap Balai Polis Bukit Kepong dalam ceramahnya di Pulau Pinang bulan lalu.

Naib Presiden PAS Datuk Mahfuz Omar berkata apa yang diperkatakan oleh Mohamad mengenai isu tersebut cuma satu pandangan sebagai pemimpin politik.

“Jika pentadbiran Najib merasakan ini satu kesalahan, maka saya fikir kerajaan kena mengambil tindakan ke atas beberapa pihak lain yang turut memberi pandangan, yang dikatakan mengguris perasaan banyak pihak.

“Ini termasuklah Ahli Majlis Profesor Negara Prof Dr Zainal Kling dan bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad yang mengatakan negara ini tidak dijajah, ia menafikan peranan pejuang-pejuang negara,” kata beliau merujuk kepada pandangan dibuat mereka sama ada negara ini tidak dijajah atau sebaliknya.

“Jika pandangan Mohamad Sabu dikatakan mengguris hati ramai orang, saya juga merasakan pandangan Prof Zainal dan Dr Mahathir juga telah mengguris ramai orang... apakah tindakan juga diambil ke atas mereka,” kata Ahli Parlimen Pokok Sena ini.

Terdahulu Mohamad dipetik Bernama Online berkata, beliau akan didakwa di Mahkamah Sesyen Butterworth dan telah dimaklumkan oleh peguamnya Mohamad Hanipa Maidin petang tadi.

“Peguam saya telah beritahu saya bahawa pihak polis ada menghubunginya bagi tahu saya akan didakwa esok.

“Ini ada kaitan dengan ceramah saya tempoh hari mengenai Mat Indera. Mereka minta saya hadir 9 pagi. Saya dan peguam saya akan hadir,” katanya.

Ceramah Mat Sabu mengenai Mat Indera di Tasik Gelugor, Pulau Pinang pada 21 Ogos telah mencetuskan kontroversi apabila Mat Indera yang dianggap ramai sebagai komunis, dijulang menjadi hero sebenar dan bukannya 25 anggota polis dan keluarga mereka yang terbunuh dalam serangan komunis di Balai Polis Bukit Kepong, Muar, Johor pada 1950.

Selain itu, Mohamad juga dilaporkan turut mendakwa Datuk Onn Jaafar dan Tunku Abdul Rahman Putra al-Haj tidak layak dianggap sebagai pejuang kemerdekaan kerana menganggap mereka sebagai pegawai British.

Mohamad akan didakwa mengikut Seksyen 505 Kanun Keseksaan yang merujuk kepada perbuatan mengedar atau membuat kenyataan menghasut atau melakukan jenayah.

Jika sabit kesalahan, Mohamad boleh dihukum penjara sehingga dua tahun denda atau kedua-duanya sekali.

Dalam pada itu Naib Presiden PKR N Surendran menggesa pentadbiran Najib dan Peguam Negara menggugurkan tuduhan ke atas Mohamad.

Katanya, tindakan itu menunjukkan penyalahgunaan kuasa polis dan prosedural pendakwaan serta melanggar hak asasi kebebasan bersuara.

“Kami menggesa kerajaan dan Peguam Negara tidak meneruskan tuduhan ke atas Mohamad dan untuk menunaikan pendirian Perdana Menteri mahu menjadikan Malaysia sebagai negara demokrasi terbaik,” katanya lagi.

Dalam pada itu Naib Presiden PAS Salahuddin Ayub dan Ketua Penerangan PAS Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man yang dihubungi mengesahkan Mohamad menemui polis untuk mengambil waran tahanan untuk hadir di mahkamah.

“Beliau tidak ditahan, cuma hadir di IPK Pulau Pinang untuk mendapatkan waran sebab esok beliau, dimaklumkan kena hadir di mahkamah,” kata Tuan Ibrahim.

“Mohamad tidak ditahan, ia prosedur biasa sebelum dihadapkan di mahkamah,” kata Salahuddin.

- Cuba kita tengok semula ucapan video Mat Sabu di Tasek Glugor di bawah, Mat Sabu tak pernah kata pun kita sokong komunis tetapi itulah umporno spin citer kononnya kita sokong komunis.

Itulah wajah umporno sejak dulu kini dan selamanya...spin citer nombor satu....memang umporno nak jadikan negara darurat supaya mereka terus kekal berkuasa...ini semua hanya untuk modal politik murahan umporno untuk PRU 13 bulan sebelas....ayuh tumbangkan umnporno b-end dalam PRU 13...

Tiada ulasan:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...