22 September 2011

IMF: Ekonomi global 'berbahaya'


WASHINGTON - Ekonomi global telah memasuki fasa baharu yang disifatkan sebagai berbahaya berikutan pemulihan yang terlalu lemah berbanding ramalan beberapa bulan lalu, kata Dana Kewangan Antarabangsa (IMF).

Kebimbangan ekonomi negara-negara barat akan mengalami kemelesetan sehingga bakal memberikan kesan serius kepada seluruh dunia, menyebabkan IMF mengurangkan unjuran pertumbuhan bagi ekonomi global kepada 4.0 peratus bagi 2011 dan 2012.

''Ekonomi global dalam kedudukan bahaya, Pemulihan terlalu lembap dan risiko (kemelesetan) telah meningkat dengan ketara,'' kata Ketua Ekonomi IMF, Olivier Blanchard.

Menurut beliau, polisi-polisi lebih kukuh perlu bagi memulihkan unjuran dan mengurangkan risiko.

Ekonomi global yang menyaksikan peningkatan pada 2010 selepas Great Recession pada 2008-2009, diheret semula akibat masalah hutang dan defisit di negara-negara maju, khususnya Amerika Syarikat dan Zon Eropah.

Ekonomi negara-negara baru muncul yang pulih dipacu oleh China dan India tidak akan terlepas daripada kelembapan ekonomi, demikian menurut pemberi pinjaman yang berpusat di Washington.

''Banyak ekonomi baru muncul perlu melakukan perubahan lebih cepat bagi memperkukuhkan fundamental fiskal sebelum faktor-faktor kitaran atau limpahan (masalah) daripada ekonomi-ekonomi negara maju 'berjangkit' kepada mereka,'' katanya.

Ketidakpastian fiskal dan kewangan pada Ogos lalu, mengganggu pasaran kewangan apabila para pelabur melihat kebuntuan politik di Washington atas hutang Amerika Syarikat (AS) dan defisit-defisit dan pengembangan krisis hutang Greece dalam zon Eropah

''Pasaran menjadi lebih skeptikal mengenai kemampuan kebanyakan negara untuk menstabilkan hutang awam,'' ujar Blanchard.

AS, adalah ekonomi terbesar dunia yang kini terjejas teruk dengan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) dianggarkan 1.5 peratus pada tahun ini dan 1.8 peratus pada 2012.

Bagi kesemua 17 negara Zon Euro, KDNK dijangka berkembang perlahan kira-kira setengah mata kepada 1.1 peratus pada 2012.

Ekonomi Jepun pula yang susut 0.5 peratus tahun ini, dijangka akan naik semula 2.3 peratus pada 2012.

Bagi ekonomi-ekonomi membangun dan baru muncul, IMF berkata, kekangan kapasiti, kawalan polisi lebih ketat dan permintaan asing yang rendah akan mengakibatkan pertumbuhan perlahan pada kadar 6.1 peratus pada 2012.

China pula akan terus menjadi peneraju ekonomi dengan pengembangan 9.0 peratus pada tahun depan.

Tiada ulasan:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...