28 Mei 2011

6 Pelajar KUIN boleh merayu - MB Kedah

KUALA LUMPUR, 27 Mei: Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Ustaz Azizan Abdul Razak berkata kesemua enam pelajar yang dikenakan tindakan tatatertib oleh pihak pentadbiran Kolej Universiti Insaniah (KUIN) Kedah boleh membuat rayuan jika tidak berpuas hati.

Bercakap pada satu sidang media hari ini beliau menjelaskan rayuan tersebut boleh dibuat kepada Reaktor KUIN Prof. Datuk Dr. Jamil Bin Osman.

"Kalau pihak terlibat rasa tidak puas hati dengan keputusan panel tatatertib atau pentadbiran, dia boleh rayu kepada reaktor.

"Kalau reaktor pun dia tak puas hati juga, dia boleh rayu kepada Menteri Besar sebagai pengerusi kepada universiti," katanya.

Dalam perbicaraan tatatertib pada 25 Mei lalu, enam mahasiswa kolej itu dijatuhkan hukuman gantung pengajian dan seorang darinya dikehendaki membayar denda.

Mohd Faiz Mohd Arshad digantung dua semester manakala Mohd Aiman Che Ab Razab, Zukhilatif Marzukhi, Mohd Azlan Mat Zain dan Ahmad Remi Md Arof, digantung satu semester dan diberi surat amaran.

Seorang lagi, Mohamad Farhan Bin Mohamad Baharin juga diberi surat amaran dan didenda RM100.

Kesemua mereka didakwa di bawah kesalahan Akta Universiti Kolej Universiti (Auku) kerana menyertai demonstrasi, memberikan ucapan di hadapan orang ramai menggunakan pembesar suara (speaker corner), dan serta mengadakan kenyataan akhbar dan kepada orang awam berhubung bantahan pembukaan Sekolah Insan Bestari menggunakan bangunan tahfiz.

Menjelas lanjut tindakan KUIN terhadap pelajar-pelajar itu Uztaz Azizan berkata tindakan yang diambil adalah mengikut lunas dan prosedur undang-undang universiti itu.

"Mana-mana universiti di duani ini pun dia ada dia punya akta, perlembagaan universiti.

"Kalau ada benda-benda yang dirasai oleh pihak pentadbiran bercanggah dengan undang-undang, maka tindakan diambil mengikut perbicaraan yang adil dan ada bukti," katanya lagi.

Turut ditanya tindakan beberapa pertubuhan pelajar termasuk Solidariti Mahasiswa Malaysia (SMM) yang menghantar memorandum mahu Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang campur tangan.

"Insaniah bukan hak PAS, Presiden PAS bukan ada locus standi dalam bab ni. Insaniah hak kerajaan negeri," jelasnya.

Tiada ulasan:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...