19 April 2011

Siapa bersalah - kita kah atau orang lain?

Siapa bersalah - kita kah atau orang lain?...bhg 1
Oleh: Aspan Alias

Utusan Malaysia menyarankan supaya jangan dipedulikan kaum Cina kerana tidak menyokong BN dalam mana-mana pilihanraya akhir-akhir ini. Betul kah dan bijakkah saranan itu? Apa kah yang boleh kita dapat dengan menyarankan seruan yang bersifat perkauman itu? Kalau kita tidak mendapat penghormatan dari kaum Cina, apakah kesilapan kita sebenarnya? Sudahkah kita kaji dan melakukan ‘soul searching’ kenapa keadaan sebegini berlaku?

Kalau dahulu kaum Cina memberikan kita sokongan yang sangat kuat kenapa sekarang mereka tidak lagi memberikan dukongan seperti yang pernah mereka berikan mereka dahulu? Adakah itu kesilapan mereka atau kesilapan itu datangnya dari kita sendiri? ‘There must be a cause for a cause’. Mesti ada sebab yang besar kenapa kita sudah kehilangan sokongan dari mereka.

Ugutan dari Utusan baru-baru ini bukannya perkara baru. UMNO sendiri sewaktu keadaan lemah menggunakan isu perkauman untuk mendapatkan sokongan kembali orang Melayu. Kalau saya kaji dari komen yang saya dapati melalui blog saya ini, saya banyak mendapat komen rasis yang datangnya dari penyokong BN, seolah-olah negara ini hanya orang Melayu yang punya.

Jika dahulu Cina mengakui yang orang Melayu merupakan kaum pribumi yang mesti dibantu semasa DEB dahulu kenapa sekarang mereka sudah tidak lagi menghayatinya? Kalau dahulu kaum Cina mengakui yang meningkatkan penyertaan Bumiputra di dalam bidang ‘commerce’ dan ‘industry’ merupakan tanggungjawab bersama untuk mempastikan kita mencapai ‘natinal unity’ kenapa mereka tidak lagi mempunyai semangat itu?

Elok kita buat olahan bagaimana semasa pemerintahan 3 PM negara yang pertama dahulu kesatuan di antara kaum lebih baik dari keadaan selepas itu. Kita tidak boleh hanya menjerit dan memaki mana-mana pihak tanpa mengambil tanggungjawab terhadap sebahagian dari kesalahan atau kesilapan itu. Ini adalah isu keyakinan terhadap kepimpinan dan negara yang pada asasnya adalah kepimpinan Melayu.

Asas penubuhan Perikatan dan selepas itu BN semua parti yang mewakili semua kaum berada di dalam komponen itu. Asasnya adalah untuk dipertanggungjawabkan kepada parti-parti yang mewakili kaum-kaum itu untuk menarik sokongan terhadap BN melalui sokongan kaum mereka terhadap parti mereka. Kaum Cina mempunyai MCA dan Gerakan di dalamnya da India diwkili oleh MIC. BN Sarawak kaum Cina diwakili oleh SUPP dan Bumiputra Sarawak diwakili oeh PBB.

Di anatara kaum-kaum Bumiputra Sarawak dulu ada PBDS yang mewakili kaum Dayak dan ada parti-parti yang mewakili kaum Iban dan sebagainya. Malah semua kaum diwakii di dalam komponen BN itu dan itulah kekuatan yang di alami oleh BN selama ini dan komponen itu menjadi komponen yang kuat.

Tetapi oleh kerana kelalaian pimpinan BN terutamanya parti yang menunjangi BN itu, iaitu UMNO (Melayu) itu sudah sampai ketahap kufur nikmat yang tidak dapat disorokan lagi maka secara beransur-ansur keyakinan rakyat berbilang kaum terhadap UMNO, MCA dan PBB dan yang lain mula terhakis.

Kekuatan BN semasa dulu adalah di dasarkan kepada kejujuran dan ketelusan untuk menjaga rakyat yang berbilang kaum dan inginkan pembelaan itu. Rakyat tidak mempersoalkan tentang keluhuran komponen itu diwujudkan dan rakyat faham bahawa semua pemimpin semasa itu merupakan pemimpin yang menumpukan kepada pembangunan rakyat dan negara bersama dengan niat untuk mencapai penyatuan kaum yang berbagai.

Kerajaan BN dan rakyat faham dan berkeyakinan terhadap kepimpinan semua ketua-ketua parti dan pemimpin-pemimpin ini tidak banyak dipersoalkan oleh ahli-ahli yang menganggotainya.

Apabila semangat untuk menumpukan sepenuhnya kepada rakyat sudah terhakis maka rakyat pun merasakan mereka sudah tidak lagi menjadi penting kepada kerajaan dan pimpinan yang ada. Segaka dasar-dasar yang cantik-cantik tinggal sebagai dasar sahaja tanpa perlaksanaan yang betul. Segala keputusan yang penting-penting hanya dibuat secara unilateral oleh pihak yang memerintah dan meminta rakyat menerimanya bulat-bulat.

Segala keluhan rakyat tidak sampai kepengetahuan pucuk pimpinan kerana pimpinan yang di peringkat pertengahan tidak ada kepimpinan dan takut untuk menyuarakannya kepada pimpina yang tertinggi. Sejak 3 dekad yang lalu kerajaan hanya memusatkan pembangunan fisikal yang tidak banyak memberikan keuntungan secara direct kepada rakyat yang ramai. Pimpinan berpendirian yang pembangunan negara (nation building) itu hanya pembangunan fisikal dan ekonomi semata-mata.

Kita lupa yang pembangunan fisikal itu hanyalah merupakan sebahagian kecil dari ‘ingredient’ untuk pembangunan negara (nation building) itu. Itulah kita dapati sekarang ini yang pembangunan yang ‘lop-sided’ ini telah membawa padah kepada negara terutamanya terhadap matlamat utama kita, iaitu pencapaian penyatuan rakyat dan kaum itu tadi.

Pimpinan kita telah mengambil kebaikan dan sifat ‘senang berunding’ rakyat berbilang kaum ini sebagai kelemahan rakyat yang boleh diperlakukan apa sahaja terhadap mereka. Perasaan tidak senang hati ini bukan sahaja di alami oleh orang Cina tetapi juga di alami oleh orang-orang Melayu.

Orang Cina merasakan parti mereka MCA dan Gerakkan di Semenanjung ini tidak lagi sebuah parti yang baik kerana terlalu banyak perkara-perkara yang tidak menyenangkan mereka. Meeka pun berpecah belah di antara mereka. Tetapi oleh kerana orang Cina ini merupaka satu kaum yang realistic dan praktikal maka mereka bertindak untuk bersatu di luar MCA dan Gerakkan dan mereka memilih untuk bersatu di dalam DAP.

Orng Melayu pula merasakan UMNO sudah tidak lagi seperti UMNO yang dahulu maka mereka bertindak untuk bersatu di luar UMNO dan memilih PAS dan sebahagiannya menyertai PKR. Ramai di kalangan orang Melayu merasakan amat susahuntuk bersatu di dalam UMNO kerana tidak tahan dengan budaya baru anutan pimpinan UMNO dan setengah ahli-ahlinya.

Mereka menganggap UMNO tidak lagi parti nationalis yang menyebabkan mereka menyertainya dahulu, tetapi UMNO sudah menjadi parti kapitalis yang seolah-olah parti untuk ‘the rich and the famous’ semata-mata. UMNO sudah dipersepsikan oleh rakyat sebagai parti taukey-taukey sahaja….tidak ada lagi kemelayuan dan semangat nationalis di dalamnya.

Sekarang ini dari segi teknikalnya UMNO sudah mati kerana di cawangan-cawangan parti ini tidak ada lagi kegiatan kepartian yang berjalan. Jika di peringkat akar umbi sudah tidak berfungsi dan seolah-olah sudah mati bagaimana ianya boleh menyuburkan dan merendangkan pohonnya? Kita perlu ingat cawangan-cawangan UMNO sekarang ini tidak ada langsung kegiatan untuk menunjukan kehaziran mereka kepada rakyat ramai. Bagaimanakah mereka hendak menjalankan tugas dengan baik di peti-peti undi semasa pilihanraya nanti?

Sebaleknya rakyat lebih nampak kehaziran parti-parti pembangkang yang tidak putus-putus mendekati rakyat di kampong-kampong. Tetapi kita sentiasa mengambil sikap negatif. Apabila rakyat lebih hampir dengan parti-parti lawan kita kita mula menuduh kita difitnah dan sebagainya dan tidak pula senang hati dengan sokongan parti lawan. Pemimpin-pemimpin di cawangan-cawangan merasakan sokongan di dalam pilihanraya itu hanya untuk UMNO dan BN sahaja dan parti-parti lain tidak berhak untuk mendapatkan sokongan itu.

Pemimpin-pemimpin UMNO di Bahagaian-Bahagian dan cawangan-cawangan hanya perlu memeluk tubuh dan mendapat sokongan rakyat secara otomatik…betulkah cara itu?

Siapa yang bersalah - kita atau orang lain? - bhg 2 (akhir)

Banyak kali saya menulis tentang masalah yang sebenarnya dihadapi oleh UMNO parti yang menunjangi BN. Sebagaimana yang saya sebut semalam UMNO di peringkat akar umbi dari segi teknikalnya telah mati dan tidak berfungsi. Kenapa keadaan jadi begini saya mempunyai pandangan dan telah pun saya tulis agak kerap kali dalam isu ini.

Kekuatan UMNO di peringkat akar umbi dahulu bukannya hidup dengan sendirinya. Kekuatannya letak di atas kesungguhan pemimpin-pemimpin cawangan melaksanakan tugas dan tanggungjawab mendekati rakyat. Pemimpin-pemimpin di peringkat cawangan mendapat galakan dari barisan pimpinan Bahagian-Bahagian dan kerjasama di antara pimpinan Bahagian sesungguhnya amat rapat.

Cawangan-cawangan mengadakan berbagai-bagai aktiviti parti yang melibatkan ahli-ahli dan orang ramai di cawangan dan kariah masing-masing. Tetapi semuanya itu sudah menjadi sejarah kerana cawangan-cawangan hanya mempunyai satu aktiviti dalam setahun; iaitu untuk mengadakan mesyuarat agong cawangan. Itu pun lebih dar 60 peratus mesyuarat itu tidak mendapat korum yang cukup untuk mesyuarat itu. Bagaimana minit-minit mesyuarat ditulis sama-sama kita tahu bagaimana mereka lakukan. Itulah UMNO sekarang ini.

Oleh kerana UMNO menegah mana-mana ahli membawa kes perbalahannya ke mahkamah maka banyak di antara cawangan yang bermesyuarat tidak mencukupi korum itu di biarkan sahaja dan di anggap sebagai sah. Maka ketua-ketua cawangan tidak mengambil isu sah atau tidak sahnya cawangan di sisi undang-undang sebagai perkara penting.

Semuanya ini adalah hasil dari kepimpinan yang tidak ‘legitimate’. Ramai di antara pemimpin cawangan dan bahagian itu mendapat jawatan melalui kuasa wang ringgit. Apabila mereka yang mendapat jawatan dengan kuasa wang ringgit ini mereka menjadi pemimpin yang keliru.

Budaya mencari rezki dalam parti inilah yang menyebabkan sikap pemimpin-pemimpin cawangan hanya bergerak jika digerakan dengan wang ringgit. Jika hendak mengumpulkan ahli terpaksa menyewa bas dan kereta untuk membawa mereka ke tempat program parti itu dan sudah kemestian juga diberikan elaun untuk berada di tempat keramaian itu.

Penyakit dan budaya ini sudah tidak lagi dapat diperbaiki kerana budaya membeli undi dengan wang ringgit itu akhirnya membuahkan keadaan yang melemahkan parti. Ramai ketua-ketua bahagian yang rapat dengan saya mengakui yang mereka tidak dapat menggerakan kerja parti kerana semuanya itu memerlukan wang ringgit yang banyak. Setiap pergerakan mesti ditolak dan dikuatkan dengan wang. “Mati saya macam ni!” kata seorang ketua bahagian dari Selangor. “Semuanya duit, duit, duit” sambungnya lagi.

Oleh kerana permainan politik wang yang sudah tidak terkawal maka mereka ini jugalah yang memilih pemimpin-pemimpin di peringkat pusat yang juga bermain dengan wang ringgit. Ada setengah pemimpin memenangi jawatan MKT demgam berbelanja jutaan ringgit sedangkan mereka bukanlah jenis dan contoh yang baik untuk menduduki kerusi tertinggi yang menentu arah tuju serta dasar parti.

Sharil Samad yang boleh kita anggap mempunyai kepimpinan tidak berjaya menduduki MKT kerana tidak membeli undi-undi perwakilan. Saya pernah bertanya kepada beberapa orang perwakilan kenapa tidak memberikan Sharil undi sedangkan beliau adalah seorang tokoh yang baik dalam parti. Mereka menjawab, “Saya tak undi Sharil, sebab apabila bersalam dengan kami tapak tangannya licin saja bang!. Dia tak hulur, macam mana nak undi dia. Saya bagi undi kepada Azeeez Rahim sebab sampai juga sikit-sikit dia punya duit. Nak jadiperwakilan dulu bang banyak belanja keluar. Kenalah cari balek duit tu”

Bayangkan perwakilan boleh memilih Azeez Rahim dari Sharil. Bagaimana kita hendak ‘reconcile’ keadaan ini? Sampai bila pun kita tidak dapat nak memberikan rasionalnya kenapa perwakilan memilih Azeez dari Sharil. Jika saya menjadi perwakilan, walaupun saya tidak begitu setuju dengan Sharil, saya akan tetap mengundi beliau kerana beliau mempunyai kepimpinan yang terserlah, setidak-tidaknya beliau di terima rakyat di kawasannya Johor Baru.

Tetapi kepimpinan bukannya menjadi perhitungan perwakilan kita. Mereka hanya memberikan pertimbangan kepada siapa yang paling banyak ‘mengulurkan’ wang ringgit. Ada perwakilan yang telah dapat mengumpulkan kutipan dari mereka yang bertanding sehingga puluhan ribu ringgit jumlahnya. Maka inilah yang UMNO dapat dari budaya buruk yang sudah tertanam begitu lama ini.

Oleh kerana itu orang Melayu bertanya, “inikah jenis dan kualiti pemimpin yang hendak kita letakan kepercayaan untuk masa depan anak-anak dan cucu mereka?” Tetapi pimpinan UMNO tetap tidak menyedari masalh ini. Itulah sebabnya jika kalah pilihanraya orang Melayu yang ramai ini dipersalahkan, bukannya pemimpin yang tidak tulin tadi.

Jika benihnya tidak baik bagaimana hendak mendapat pohon yang baik dan berbuah dengan baik? Jika dari atas rasuah politik bermaharajalela bagaiman kita hendak mengharapkan pimpinan di bawah tidak rasuah? Makanan yang baik ialah makanan yang di masak sendiri bukannya makanan yang dibeli dari luar.

Apabila pemimpin-pemimpin rasuah tidak akan ada lagi keputusan yang baik yang datang dari pimpinan. Itulah formula yang tepat, Seperti pelajaran matematik, jika tidak diikuti formula yang betul jawapannya tidak akan betul.

Percayalah, rakyat sudah hilang keyakinan kerana tidak mempercayai ketelusan kepimpinan kita. Sakit hati mendengar komen seperti ini, tetapi apakan daya, yang benar itu tetap benar yang salah itu tetap salah. Tidak adil jika kita mendesak dan memaksa rakyat untuk menyokong kita. Kalau kita tidak mahu berkorban untuk menolak rasuah dan bermain politik wang itu. Jangan kita mengharapkan rakyat mahu mengorbankan masa depan anak-anak dan cucu-cucu mereka semata-mata untuk kita terus melakukan kesalahan moral dan jenayah terhadap mereka.

Kelemahan inilah yang dilihat dengan jelas oleh kaum lain, maka mereka sudah tidak lagi menghormati kita. Mereka tidak percaya lagi yang kita mampu memperbaiki diri kita lagi. Pada pandangan mereka kita sudah terlalu jauh menyimpang yang tidak mungkin berpatah balik. Kita tidak boleh mengharapkan bangsa lain boleh dipujuk dengan retorik seperti bangsa kita.

Malahan ramai di antara orang Melayu pun sudah tidak lagi termakan dengan retorik pembangunan dan bermacam pelan pembangunan yang di umumkan pemimpin kita. Ramai di antara cerdik pandai Melayu telah berpindah haluan dengan menyokong PAS kerana mereka sudah jemu dengan kesalahan yang tidak kunyung diperbaiki.

Rakyat sedar yang segala pelan mega pembangunan itu akhirnya membebankan mereka dengan peningkatan kos kehidupan yang sekarang pun sudah tidak mampu ditahan oleh rakyat yang ramai.

Rakyat sedang dalam keperitan. Mereka bukannya buta mata. Mereka bertanya kenapa seorang yang miskin, apabila mendapat jawatan politik itu dengan sekelip mata manjadi manusia yang kaya-raya.

Kita tidak payah meminta rakyat memberikan bukti rasuah itu, kerana rakyat tahu apa yang dilakukan mereka. “We know what they did last summer” kata seorang kenalan yang begitu serius membahaskan isu kepimpinan ini.

Saya tidak memerlukan sesiapa percaya dengan pandangan ini. Hanya saya berharap sesiapa yang tidak bersetuju itu hanya mengingati apa yang saya kata ini. Suatu hari akan sampai bukti kebenarannya. Ia akan sampai, kalau tidak cepat, lambat. Sampai tetap sampai. Insyaallah.

Tiada ulasan:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...