TERKINI
KUALA LUMPUR, 18 April — Penganalisis bisnes meramalkan pilihan raya umum ke-13 akan diadakan akhir tahun ini ekoran kemenangan majoriti dua pertiga Barisan Nasional (BN) Sarawak kelmarin.
OSK Research juga mengekalkan pendiriannya bahawa BN akan mencatatkan prestasi baik di kawasan-kawasan yang ia tewas di Semenanjung pada pilihan raya umum 2008, yang akan memberikan sentimen kepada pelabur-pelabur pasaran saham.
“Dengan BN kekal kuat dalam kuasa di Sarawak, kami terus menjangkakan pilihan raya umum akan diadakan akhir 2011,” kata OSK dalam laporan strateginya hari ini.
“Kami juga terus mempertahankan pandangan kami bahawa pilihan raya umum harus menyaksikan pergerakan sentimen di Semenanjung Malaysia kembali kepada BN,” kata laporan itu lagi.
HwangDBS Vickers Research dalam laporan pasaran hari ini berkata ia menjangkakan pilihan raya umum paling awal akan diadakan akhir tahun ini.
Bagaimanapun kedua-dua firma penyelidikan itu menekankan bahawa BN telah kehilangan keseluruhan asas di Sarawak dengan Pakatan Rakyat menambah kerusi Dewan Undangan Negeri hampir dua kali ganda.
“BN perlu menilai sebab-sebab mengapa DAP berjaya untuk melakukan tembusan agak besar di kawasan-kawasan bandar,” kata HwangDBS Vickers.
Pasaran saham syarikat dijangka akan memperoleh manfaat ekoran kemenangan BN kelmarin.
“Dengan kemenangan BN, kami menjangkakan kesinambungan dalam pelan pembangunan negeri perikatan itu,” kata HwangDBS Vickers.
Pasaran saham syarikat-syarikat yang ada hubung kaitan dengan BN mengalami peningkatan pagi ini dengan Cahya Mata Sarawak, yang dikuasai keluarga Ketua Menteri Tan Sri Abdul Taib Mahmud naik enam peratus untuk mencecah RM2.39 pada pukul 10 pagi.
Naim Holding naik 4.5 peratus sehingga ke paras RM3.05 dan Dayang Enterprise pula mengalami kenaikan 3.6 peratus untuk mencecah RM2. -TMI
Tiada ulasan:
Catat Ulasan