04 Mac 2015

MALAYSIA NEGARA TERBAIK DIPERINGKAT DUNIA INGAT TIADA MASALAH AIR DAH


Air: NS, Johor berjaga-jaga, catuan mungkin perlu - SPAN

KUALA LUMPUR: Negeri Sembilan dan Johor kini diletak dalam keadaan berjaga-jaga selepas paras air di empangan dan sungai di negeri terbabit dilapor semakin menyusut berikutan cuaca panas dan kering yang mula melanda negara ketika ini.

Pengerusi Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN), Datuk Ismail Kasim, berkata situasi ini juga memaksa kemungkinan catuan air membabitkan kawasan tertentu di Johor akan dilaksana.

Bagi Negeri Sembilan, katanya, kerajaan negeri itu menerusi Syarikat Air Negeri Sembilan (SAINS) sudah merangka pelan mitigasi jangka panjang yang dijangka mampu menyelesaikan masalah kekurangan sumber air di Empangan Gemencheh.

Antara langkah mitigasi diambil termasuk mendapatkan bekalan air terawat sebanyak 9 juta liter sehari (JLH) dari Melaka untuk Pekan Tampin dan Batang Melaka melalui sistem paip sedia ada.

"Bagi tujuan itu, SAINS akan memasang paip bersaiz 900 milimeter sepanjang 5.25 kilometer (km) untuk menyambung ke sistem agihan sedia ada daripada LRA Gemencheh.

"Kerja-kerja pemasangan paip ini akan dimulakan dan dijangka mengambil masa tiga bulan," katanya.

Selain itu, katanya, SAINS akan membekalkan air terawat sebanyak 18 JLH ke kawasan terjejas daripada Loji Rawatan Air (LRA) Sawah Raja sedia ada di Rembau serta membina stesen pam dan paip sepanjang 15 km untuk mengepam air mentah dengan kapasiti 54 JLH daripada Sungai Jelai di Johol ke Empangan Gemencheh.

"Kerja-kerja pembinaan sudah pun bermula dan dijangka siap sepenuhnya dalam tempoh masa 10 bulan iaitu sebelum Disember tahun ini," katanya.

Bagi Johor pula, antara sungai yang mencatatkan paras merosot dan menghampiri paras kritikal ialah Sungai Sembrong Kiri di Kluang, yang membekalkan air mentah ke LRA Sembrong Timur seterusnya membekalkan air terawat ke Daerah Kluang.

"Pada masa ini, pengeluaran LRA Sembrong Timur berkurangan daripada 32 JLH kepada 26 JLH," katanya.

Ismail berkata, operator air negeri iaitu SAJ Holdings (SAJH) juga terus memantau rapi keadaan bekalan air dan berusaha mengagihkan semula bekalan daripada sistem agihan lain yang berhampiran.

"Sekiranya keadaan benar-benar mendesak, catuan air akan dipertimbangkan," katanya sambil menambah beberapa empangan di Johor juga turut menyusut, antaranya Empangan Sungai Lebam.

Beliau berkata, bagi mengatasi kekurangan sumber air bagi jangka masa panjang di negeri itu, Kerajaan Persekutuan melalui Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air (KeTTHA) sedang membina Empangan Sungai Kahang. ~BH

Tiada ulasan:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...