04 Mac 2015

RASUAH: LEBIH RAMAI ANGGOTA PENGUATKUASA DI KEDAH DITAHAN SPRM

Lebih ramai anggota penguatkuasa di Kedah ditahan SPRM



Suruhannjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) meneruskan 'Ops Licin 2' dengan menahan lebih ramai anggota penguatkuasa yang bertugas di kawasan sempadan Kedah dan Thailand hari ini.

Sehingga 5 petang ini, SPRM mengatakan ia telah menahan 25 anggota penguatkuasa terdiri daripada polis dan Unit Pencegahan Penyeludupan (UPP).

Di dalam operasi yang dijalankan hari ini, tujuh daripada anggota penguatkuasa terbabit ditahan di Pejabat SPRM Kedah selepas dibawa dari Ibu Pejabat Polis Daerah Padang Terap, manakala dua lagi ditahan di Balai Polis Kota Putra, juga di Padang Terap.

"Enam daripada sembilan yang ditahan merupakan anggota polis berpangkat koperal dan masing-masing seorang konstabel, sarjan dan sarjan mejar. Seorang lagi yang ditahan merupakan anggota Pasukan Gerakan Am (PGA) dan ditahan di Kem PGA, Ulu Kinta, Perak," menurut SPRM petang ini.

Ops Licin 2 dilaksanakan oleh SPRM sejak semalam bagi mengesan anggota penguatkuasa yang terbabit meminta dan menerima rasuah, dipercayai bagi melindungi aktiviti penyeludupan serta penjualan minyak petrol dan diesel secara haram di sempadan Malaysia-Thailand.

Semalam, 15 anggota penguatkuasa ditahan SPRM membabitkan 13 daripada UPP dan PGA serta masing-masing seorang bekas komander UPP dan orang awam.

Dalam pada itu menurut SPRM, kesemua yang ditahan semalam telah dibebaskan selepas kenyataan mereka direkodkan oleh agensi itu.

Di Kedah menurutnya, kesemua lapan termasuk bekas penguatkuasa UPP itu telah dibebaskan dengan jaminan iaitu penguatkuasa dibebaskan dengan jaminan mulut manakala bekas penguatkuasa pula dibebaskan dengan seorang penjamin serta wang tunai RM10,000.

Manakala di Perak pula, enam anggota PGA terbabit juga telah dibebas dengan jaminan mulut manakala seorang orang awam dibebas dengan jaminan wang tunai sebanyak RM2,500 dan seorang penjamin. - MalaysiaGazette

BERITA YANG BERKAITAN DIPETIK DARI BERNAMA:

10 lagi pegawai polis ditahan dalam operasi anti rasuah


Sepuluh lagi pegawai polis kini ditahan berkaitan melindungi aktiviti penyeludupan dan penjualan minyak petrol dan diesel secara haram di sempadan Malaysia-Thailand. – Gambar fail The Malaysian Insider, 3 Mac, 2015.

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) hari ini menahan 10 lagi pegawai polis bagi membantu siasatan kes berkaitan melindungi aktiviti penyeludupan dan penjualan minyak petrol dan diesel secara haram di sempadan Malaysia-Thailand.

Mereka berumur antara 25 hingga 58 tahun. Dengan tangkapan terbaru itu, jumlah mereka yang ditahan menerusi Ops Licin 2 adalah seramai 25 orang.

Menurut kenyataan SPRM, tujuh daripada mereka ditahan di Pejabat SPRM Kedah selepas dibawa dari Ibu Pejabat Polis Daerah Padang Terap manakala dua lagi di Balai Polis Kota Putra, Padang Terap.

"Mereka yang ditahan antara 11.30 pagi dan 2 petang tadi terdiri daripada enam anggota polis berpangkat koperal dan masing-masing berpangkat konstabel, sarjan dan sarjan mejar.

Beliau berkata seorang lagi dari kumpulan itu merupakan anggota pasukan gerakan am (PGA) yang ditahan di Kem PGA Ulu Kinta, Perak.

Ops Licin 2 dijalankan sejak semalam bagi mengesan anggota penguat kuasa yang terbabit meminta dan menerima rasuah, dipercayai bagi melindungi aktiviti penyeludupan dan penjualan minyak petrol dan diesel secara haram di sempadan Malaysia-Thailand.

Semalam SPRM menahan 15 individu termasuk 13 pegawai penguat kuasa Unit Pencegah Penyeludupan (UPP) dan PGA dan masing-masing seorang bekas pegawai UPP dan orang awam.

Kesemua mereka yang ditahan semalam dibebaskan hari ini selepas kenyataan mereka diambil.

"Di Kedah, kesemua lapan orang termasuk bekas penguat kuasa UPP dibebaskan dengan jaminan. Pegawai penguat kuasa bebas dengan jamin mulut manakala bekas penguat kuasa dengan seorang penjamin dan wang tunai RM10,000.

"Di Perak, enam anggota PGA dibebaskan dengan jamin mulut. Seorang awam yang ditahan semalam di Perak juga dibebaskan dengan jamin wang tunai RM2,500 dengan seorang penjamin," kata SPRM.

Menurut SPRM, orang awam yang ditahan disiasat di bawah Seksyen 16(a)(B) Akta SPRM 2009 manakala pegawai penguat kuasa disiasat di bawah Seksyen 17 (a) Akta SPRM 2009.

Sementara itu Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata pihaknya akan menunggu maklumat hasil siasatan terperinci daripada SPRM terhadap kesemua anggotanya.

"Kita tunggu siasatan SPRM selesai dan selepas itu, kita akan ambil tindakan sewajarnya," katanya tanpa mengulas lanjut. – Bernama, 3 Mac, 2015


Tiada ulasan:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...