12 Januari 2014

TS KHALID DIIKTIRAF IKON REFORMASI SELANGOR


MB: Kerajaan PR komited laksana reformasi pentadbiran


Oleh: Lizawati Madfa

PETALING JAYA 12 JAN : Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim yakin bahawa visinya untuk mereformasikan budaya pentadbiran selaras dengan kehendak rakyat.

Abdul Khalid berkata, sejak berlakunya tsunami politik Pilihan Raya Umum ke-12 pada 2008, pimpinan Pakatan Rakyat (PR) terus bekerja keras bagi membuktikan kerajaan baru yang dipilih rakyat jauh lebih baik daripada Barisan Nasional (BN).


Atas dasar itu, katanya, pelbagai program kebajikan dilaksanakan bagi memenuhi keperluan rakyat yang sebelum ini diabaikan termasuk pemulihan projek perumahan terbengkalai seperti di Bukit Botak, Selayang.

“PR dipilih rakyat atas dasar reformasi yang dibawanya untuk mengamalkan sistem pentadbiran lebih telus, berintegriti, adil dan bebas daripada amalan rasuah.

“Namun rakyat kini bukan mahu dengar sahaja, mereka mahu lihat reformasi itu dizahirkan dan itulah yang kita lakukan,” kata Abdul Khalid.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan sewaktu Majlis Ulang Tahun ke 53 Rotary Club Petaling Jaya (RCPJ) yang diadakan di Hotel Empire di sini, malam tadi.

Terdahulu, Abdul Khalid menerima dua anugerah khas RCPJ iaitu President’s Award for Humanitarian Service dan Paul Harris Fellow.

Presiden RCPJ, Kapten H.S Dharan, berkata pemilihan Menteri Besar dibuat berdasarkan kejayaannya menjadi ikon reformasi di Selangor.

“Menteri Besar membuktikan bahawa beliau seorang pemimpin yang mampu melakukan perubahan reformasi, evolusi dan inovasi dalam meningkatkan kualiti hidup rakyat kepada tahap lebih baik.

“Bukan sahaja negeri semakin maju malah rakyat juga tidak dipinggirkan dalam arus kemajuan,” kata Dharan dalam ucapannya.

Hadir sama ialah isteri Menteri Besar, Puan Sri Salbiah Tunut serta anggota Exco Kerajaan Negeri, Elizabeth Wong dan Dr. Daroyah Alwi.

Tiada ulasan:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...