27 Januari 2014

MENTERI KANKUNG PUJI BARANG DI KELANTAN MURAH !!!

KPDNKK puji peniaga Kelantan

Ahmad Bashah (tiga, kanan) memeriksa harga telur di sebuah pasar raya di Kota Bharu, semalam.

KOTA BHARU - Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) menyambut baik usaha sesetengah pengusaha pasar raya di Kelantan kerana menjual barangan kawalan dengan harga lebih rendah daripada yang ditetapkan kerajaan.

Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah berkata, berdasarkan lawatan semalam, beliau bangga kerana ada di antara harga barangan kawalan dijual sangat murah ketika musim perayaan Tahun Baharu Cina.

“Saya dimaklumkan pengusaha di sini mengambil pendekatan menawarkan harga lebih rendah kerana keuntungan yang diperoleh daripada harga itu sudah mencukupi. Lagipun barangan yang diperoleh daripada pembekal juga murah.

“Saya ucapkan terima kasih kepada mereka. Ini sangat membantu kerana musim perayaan ini keperluan agak tinggi dan tindakan diambil peniaga adalah membantu kerajaan dan pengguna,” katanya kepada media, semalam sempena Lawatan Skim Kawalan Harga Musim Perayaan Tahun Baru Cina 2014 di Pasar Raya Billion,di sini. Turut sama, Pengarah Pejabat PPDNKK Kelantan, Sharuddin Jali.

Skim kawalan harga berkuat kuasa di seluruh negara bermula semalam sehingga 9 Februari.

Katanya, berdasarkan pemantauan yang dibuat semalam, harga udang putih yang ditetapkan kerajaan ialah RM38 sekilogram, tetapi dijual di pasar raya RM33.88, manakala kubis bulat dicadangkan RM3.30 satu kilogram namun pengguna boleh membelinya dengan harga RM1.99 sahaja.

Barangan lain yang didapati murah ialah bawang putih, dicadangkan RM5 sekilo tetapi dijual RM 2.99.

“Saya berharap semua peniaga boleh mengambil tindakan yang sama, harga kawalan kita letak tetapi bukanlah kita mahukan peniaga tetapkan harga paling maksimum. Kalau boleh jual dengan murah itu memadai,” katanya.

Skim kawalan tersebut melibatkan 13 barangan sebagai usaha menyekat peningkatan harga melampau menjelang Tahun Baharu Cina antaranya, ayam hidup, ayam standard, telur ayam gred A, B, C, ikan bawal putih dan beberapa barangan lain.

Mengenai tindakan peniaga yang mengambil kesempatan menyorok bekalan minyak masak ketika musim perayaan, beliau menjelaskan kementerian mengarahkan penguat kuasa memantau perkara itu sepanjang masa.

Dalam masa sama, beliau beri jaminan bekalan minyak masak mencukupi untuk menampung permintaan pengguna ketika musim perayaan.

Tambahnya, beliau juga mahukan orang ramai dapat menyalurkan maklumat yang tepat kepada kementerian sekiranya terdapat peniaga mengenakan harga luar biasa untuk tindakan selanjutnya.

Tiada ulasan:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...