12 Januari 2014

Isu kalimah Allah agenda politik BN

Isu kalimah Allah agenda politik - Aziz Bari



KUALA LUMPUR - Pakar Perlembagaan, Prof Dr Aziz Bari mempersoalkan siapa sebenarnya keliru dalam isu kalimah Allah yang telah ditimbulkan sejak kebelakangan ini.

Beliau pada program wacana "Polemik Kalimah Allah dan Rampasan Bible, antara undang-undang dan sensitiviti agama" anjuran PAS Lembah Pantai semalam di KL Selangor Chinese Assembly Hall (KLSCAH) menjelaskan golongan yang keliru adalah mereka yang tidak mengetahui apa itu Islam secara mendalam.

"Saya tidak nampak siapa yang keliru dalam isu ini, penjelasan daripada penganut Kristian dan mereka yang hadir mendengar wacana tidak ada seorang pun yang keliru.

"Malah di luar sana kebanyakkan mereka boleh menerima kerana tidak ada satu pun ancaman yang timbul.

"Kalau tidak ada yang keliru, jadi mereka yang memperbesarkan isu ini sebenarnya keliru. Kalau golongan yang faham sebenarnya erti Islam tidak timbul perasaan keliru tetapi jika sebaliknya inilah yang terjadi," jelas beliau di hadapan kira-kira 200 yang hadir.

Beliau yang turut mempertikaikan pandangan sesetengah pihak mengatakan wujud ancaman kepada umat Islam di negara ini apabila kalimah Allah diguna oleh masyarakat Kristian.

Katanya, masyarakat Islam merupakan golongan majoriti di negara ini dan berpegang kepada Perlembagaan Persekutuan, adalah suatu yang mustahil jika golongan Kristian yang minoriti mampu mengancam keamanan negara ini.

"Wujud ancaman, saya tidak nampak langsung ancaman kepada umat Islam di negara ini. Kita berada dalam kelompok majoriti dan bagaimana golongan minoriti dapat mengancam kita.

"Semua kenyataan tersebut tidak boleh diterima akal, negara mempunyai undang-undang dan kita berpegang kepada Perlembagaan Persekutuan yang menyatakan Islam adalah agama rasmi, jadi bagaimana Kristian boleh timbulkan ancaman.

"Saya tegaskan Perlembagaan yang ada tidak pernah gagal dalam pelaksanaannya, tetapi yang gagal adalah kita yang tidak dapat memahami roh dalam Perlembagaan tersebut termasuk juga gagalnya kita memahami apa Islam sebenarnya," sambung beliau.

Menurut beliau, isu yang telah ditimbulkan ini telah memberikan publisiti negatif kepada negara di peringkat antarabangsa kerana gagal mewujudkan suasana hormat menghormati antara pelbagai kaum dan anutan agama.

Malah jelasnya lagi, isu tersebut sengaja disebarkan bagi tujuan keuntungan kepada pihak tertentu sahaja.

"Negara ini telah mendapat publisiti negatif secara percuma kerana kita gagal mewujudkan suasana harmoni dan saling menghormati antara pelbagai kaum dan agama.

"Agenda ini hanya untuk keuntungan kepada pihak tertentu sahaja, yang bertujuan untuk kepentingan politik serta mengalihkan isu yang lebih penting seperti bebanan hidup yang dihadapi oleh rakyat.

"Sebelum ini isu 13 Mei dihangatkan bagi menakutkan orang Melayu terhadap kaum Cina, kemudiaan Syiah pula diperluaskan dengan menuju kepada pimpinan PAS sebagai menarik undi Melayu dan sekarang cuba menakutkan Melayu dengan Kristian, jadi agenda-agenda sedemikian kita perlu berhati-hati agar tidak termasuk dalam perangkap," jelasnya.

Beliau yang meminta agar semua pihak membuat tindakan susulan untuk merungkaikan kekeliruan dan salah faham yang sengaja disebarkan oleh pihak tertentu untuk mendapat keuntungan politik semata-mata.

"Isu seperti ini memang diberi perhatian oleh masyarakat Melayu dan saya berharap usaha yang bersungguh-sungguh perlu dibuatkan bagi memberi penjelasan kepada orang Melayu agar mereka lebih faham dan tidak termakan dengan komen atau pandangan sempit serta negatif yang tidak selaras dengan masyarakat majmuk negara ini.

"Sebagai umat Islam yang sepatutnya menegakkan yang makruf dan menegahkan yang mungkar, sepatutnya mereka perlu hayati konsep Islam itu yang dibawa oleh Rasulullah SAW sebelum ini untuk kesejahteraan seluruh masyarakat dunia dan bukan untuk golongan tertentu sahaja," sambung beliau.

Beliau yang pada masa yang sama turut memberitahu apa yang diperkatakan bukan bermaksud menentang keputusan istana tetapi bagi meredakan kekeliruan yang wujud dalam masyarakat negara ini terutamanya golongan Melayu.

Turut menjadi panel pada wacana semalam adalah Ahli Parlimen Parit Buntar, Datuk Dr Mujahid Yusof Rawa yang juga merupakan Ahli Jawatankuasa PAS Pusat serta Setiausaha Agung National Evangelical Christian Fellowship Malaysia (MECF), Eugene Yapp. - Harakahdaily

2 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

Seperti video lucah, kalau tak rampas dari sekarang ianya akan merusakan akhlak umat manusia. Atau biarkan kerana umat manusia boleh membezakan yang mana baik atau tidak

Tanpa Nama berkata...

Salam,
Anon kat atas tu tak ada benda lain yg dia ingat. Bab lucah je yg dia tahu. Dia ni lah salah seorg dari golongan yg keliru tu...

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...