10 Oktober 2013

HOT! FAKTA TERBARU...TERENGGANU PECAH REKOD DUNIA...

Terengganu kini bukan sahaja terkenal dengan kerepok lekor dan songket, ia kini juga terkenal sebagai negeri yang bergelar ‘Darul Runtuh' . Kalau kajian dibuat tentu kejadian projek-projek awam runtuh ini telah memecahkan rekod dunia bagi negara membangun yang kaya raya.....lebih memalukan Terengganu negeri tanpa pernah dilanda gempa bumi, taufan dan tsunami 


'Keruntuhan' & ketelusan pentadbiran di T'ganu

Oleh : Raja Kamarul Bahrin Shah & Dr Syed Azman Syed Ahmad Nawawi|

ULASAN Amat tidak bertanggungjawab! Seluruh rakyat Malaysia dikejutkan dengan bumbung dan siling Masjid Kampung Tebauk, Bukit Tunggal, Terengganu yang runtuh awal pagi baru-baru ini.


Insiden yang amat memalukan ini dipercayai berlaku jam 4 pagi dan melibatkan kira-kira 40 peratus bahagian masjid itu yang siap dibina dua tahun lepas serta melibatkan kos RM6 juta dan boleh memuatkan 1,000 jemaah.

Isu keruntuhan ini bukan laporan pertama mengenai masjid bumbung runtuh di negeri ini. Pada 20 Mei lepas, 12 jemaah masjid yang baru sahaja solat Isyak nyaris maut setelah bumbung hadapan Masjid Kampung Binjai Kertas, Hulu Terengganu runtuh.

Pada 3 Oktober 2009, bumbung bahagian hadapan Masjid Kampung Batu Putih, Kerteh, Kemaman juga runtuh menyebabkan tiga mangsa cedera.


Selain itu, pada 2 Jun 2009, bumbung Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin yang menelan belanja RM292.9 juta telah siap dibina pada Mei 2008 dan digunakan dalam penganjuran Sukan Malaysia turut roboh.

Sebahagian struktur bumbung stadium berkenaan sekali lagi roboh pada 20 Februari 2013 yang menyebabkan tiga pekerja parah manakala dua lagi cedera ringan.

Inilah fenomena keruntuhan yang berlaku di negeri ‘Darul Iman' sejak beberapa tahun kebelakangan ini, Walaupun ‘phenomena' ini telah berlaku sejak beberapa tahun yang lepas, tidak ada langkah-langkah yang positif dan pro-aktif di ambil untuk menghalang berulangnya peristiwa-peristiwa sebegini.

(1) Perkara ini bukan hanya di sebabkan masalah-masalah teknikal tetapi termasuk soal ‘nilai' (values) yang didokongi oleh pihak berkuasa dalam mengawasi dan memantau pembinaan projek-projek ini.

(2) Pengawasan di tapak amatlah lemah dan banyak kerosakan boleh dielakkan. Profesional-profesional yang berkelayakan yang sepatutnya mengawasi kerja tidak diberi tanggungjawab dan kuasa di tapak.

(3) Peraturan-peraturan professional dan jabatan-jabatan kawalan ada kalanya tidak diikuti dan dipatuhi menyebabkan kelonggaran dan kerendahan faktor-faktor keselamatan dan mutu pembinaan.

Contoh-contoh keruntuhan dan kerosakan sepanjang dua penggal pentadbiran yang ada adalah seperti disenaraikan di bawah:-

1. Dewan Saidina Abu Bakar SMK Wakaf Tapai, Marang
Tarikh : 12 April 2008 Harga: RM2 juta

2. Bumbung Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Gong Badak
Tarikh : 2 Jun 2008 Harga: RM292 juta
Punca : "Semua Buat Silap" - Ahmad Said

3. Kolam Renang Batu Burok, Bocor
Tarikh : 5 Jun 2008 Harga: RM18 juta

4. Siling Bumbung Lapangan Terbang Sultan Mahmud (LTSM) tanggal
Tarikh : 29 Jun 2008 Harga (terminal) RM123 juta

5. Pusat Latihan Antarabangsa (ITC), Kemaman
Maklumat - runtuh sebahagian balkoni di tingkat lapan

6. Menara Komunikasi jalur lebar di Kampung Chegar Batang, Besut
Maklumat - tumbang
Tarikh : 6 Ogos 2009 Harga: RM15 juta

7. Bumbung Masjid Kampung Batu Putih, Kerteh, Kemaman
Tarikh : 3 Oktober 2009 Harga: RM2.1 juta

8. Bumbung Kaca Terminal Bas Kuala Berang
Tarikh : 21 Disember 2009
Harga : Sekitar RM700,00 (RM4.2 juta kos keseluruhan projek)

9.Bangunan Institut Oseanografi dan Institut Akuakultur
Tropika Universiti Malaysia Terengganu (UMT), Kuala Terengganu
Maklumat - runtuh sebahagian semasa dalam pembinaan
Tarikh : 29 Mac 2010

10. Pondok Rehat Di Kawasan Lanskap pasar Besar Kedai Payang
Tarikh : 9 Januari 2011
Rekod bangunan paling cepat runtuh setelah siap dibina

11. Papan Tanda Atau Sign Board Gergasi Pusat Penyelidikan
Universiti Malaysia Terengganu di Bukit Kor, Marang
Tarikh : 19 Julai 2012

12. Tangki Air Sekolah Menengah Paka
Tarikh : 24 Julai 2012

13. Sengkuap bumbung pentas astaka di Taman Bandar Chukai
Tarikh : 30 Disember 2012

14. Kerangka Stadium Sultan Mizan runtuh semasa dibaik pulih
Tarikh : 20 Februari 2013

15. Masjid Kampung Binjai Kertas, Kuala Berang
Tarikh : 20 Mei 2013 Harga: RM1.4 juta

Contoh klasik kegagalan mempelajari dari kesilapan yang lepas adalah keruntuhan bumbung-bumbung Stadium Sultan Mizan - Kuala Terengganu yang telah runtuh pada tahun 2009 dan setelah satu siasatan "Investigation Committee" kerajaan yang diketuai oleh JKR (Jabatan Kerja Raya) dan nasihat-nasihat perunding, keruntuhan kedua, bumbung kedua Stadium yang sama berlaku lagi pada 2013 - iaitu 4 tahun kemudian.
Persoalannya, kenapakah keruntuhan ini begitu mudah boleh berlaku di Terengganu di bawah pentadbiran yang ada sedangkan beratus-ratus juta ringgit wang rakyat telah dibelanjakan?

Apakah kerana ‘kontraktor kroni' yang tidak berwibawa langsung telah dikurniakan kontrak secara ‘know who' dengan begitu mudah? Dan apakah ada unsur-unsur rasuah dan salahguna kuasa berlaku secara berleluasa di bawah pentadbiran yang ada ini di negeri ini?

Namun sehingga kini tidak ada yang dipelajari dari ‘siasatan' demi ‘siasatan' yang telah dijalankan terutamanya oleh pihak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Yang terbaru dan terkini adalah bahaya yang dihadapi dalam kerja-kerja penambakan yang sedang berjalan di muka Kuala Sungai Terengganu di Bandar Kuala Terengganu dimana kajian Kesan Alam Sekitar dan Kajian Terperinci "Hydrologi Study" yang masih belum diluluskan oleh pihak berkuasa.

Kerja-kerja ini dianugerahkan kepada pemborong secara reka-bina (design and built) tanpa apa-apa tawaran terbuka dipanggil.

Sehingga segala peraturan-peraturan sedia ada dipatuhi dan "rule of good governance" dapat di laksanakan, ‘keruntuhan' di negeri Terengganu akan terus berlaku.

Menteri besar serta pimpinan kerajaan negeri perlu mengambil tanggungjawab sepenuhnya terhadap tragedi demi trajedi keruntuhan yang amat memalukan ini.

Imej rakyat dan negeri Terengganu amat tercemar akibat dari pelbagai kejadian keruntuhan yang berlaku sejak kebelakangan ini. Terengganu kini bukan sahaja terkenal dengan kerepok lekor dan songket, ia kini juga terkenal sebagai negeri yang bergelar ‘Darul Runtuh'

1 ulasan:

otaklunyai berkata...

kena bala nih... dulu ada orang dgn megahnya runtuhkan Rumah Allah, Masjid Bujal sebab nak tujuk kuasa... lepas tu org2 BESAR yg bertanggungjawab dan ada kuasa hanya diam dan dok makan kenyang jer... sekarang turunlah bala yg semua org terkena musibahnya... Sila ambil iktibar wahai tuan2 yg berkuasa...

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...