21 Julai 2013

TEKSI1M Perancangan Yang Tunggang-langgang - Kata Persatuan Badan Bertindak



Persatuan anggap TEKS1M tambahkan beban pemandu teksi

Persatuan Badan Bertindak Pemandu Teksi Bermeter (BBPTB) hari ini menyifatkan Teksi 1Malaysia (TEKS1M) bukan sahaja tidak membantu, malah tambah membebankan pemandu teksi.

Pengerusinya, Amran Jan bimbang dengan TEKS1M berikutan Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) tidak mendedahkan butiran mengenai syarat perjanjian jual beli.

"Urusan atau perjanjian sewabeli teksi ini berlaku antara pemandu teksi dengan siapa atau syarikat mana?

"Konsortium Teksi ataupun SPAD Sdn Bhd? Dan, berapa lama tempoh bayarannya, adakah lima, tujuh atau sembilan tahun? Berapa pula bayaran bulanannya?" katanya.

Pada kenyataan media hari ini, Amran juga mempersoal syarat TEKS1N pembelian Proton Exora untuk dijadikan teksi kerana ia membebankan pemandu teksi.

"Dengan harga RM64,000 sebuah dan berenjin Campro ini, mampukah pemandu teksi menanggungnya?

"Sedangkan Proton Saga BLM berharga RM36,000 pun, ramai gagal di tenggah jalan sebab tak mampu tanggung kos penyelenggaraan yang tinggi," katanya.

Beliau juga membidas pengumuman kerajaan yang memberi permit teksi mengikut program itu kerana ia tidak meningkatkan pendapatan mereka.

Katanya, pemberian permit tidak memberi impak daripada segi meningkatkan pendapatan pemandu teksi yang hanya memperoleh kira-kira RM1,500 sebulan.

"Perancangan tunggang-langgang begini dilihat hanya menambah beban pemandu teksi dan pastinya, menambah satu lagi kroni yang akan mengaut keuntungan di atas penat jerih pemandu.

"Dengan pendapatan semasa pemandu sekitar RM1,500 sebulan, kehidupan akan jadi lebih sengsara!" katanya. - .

Tiada ulasan:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...