26 Julai 2013

Pelajar Kuin bantah dipindah, serah memo pada MB...Berita Tak Masuk Utusan, TV3....


Kolej Universiti Insaniah (Kuin) yang dibiayai kerajaan negeri Kedah sekali lagi menjadi tumpuan apabila pelajarnya membantah keputusan untuk memindahkan fakulti mereka ke tempat lain tanpa notis yang betul.



Seramai 504 daripada 1,200 pelajar terbabit menandatangani
petisyen membantah langkah memindah Fakulti Muamalat (Pentadbiran Islam dan Perbankan) dari Kuala Ketil ke Mergong, kerana mereka tidak menerima sebarang notis bertulis mengenai pemindahan tersebut.

Beberapa wakil pelajar berkumpul untuk menyerahkan memorandum mengenai perkara itu kepada Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhkriz Mahathir.

Zulkifli Osman, seorang jurucakap dari pejabat menteri besar, menerima memorandum tersebut.


Katanya, satu jawapan akan dihantar kepada Kuin tidak lama lagi berhubung bantahan pelajar terbabit.

"Langkah itu telah mengganggu emosi kami, menggangu pengajian
kami dan melibatkan situasi kewangan kami," kata para pelajar fakulti tersebut, yang mahu dikenali sebagai Mahasiswa Prihatin 3K.

"Kami memilih untuk terus berada di Kuala Ketil dan jika Kuin bertegas untuk memindahkan kami, sila beri kami notis bertulis yang betul, jika tidak, ia memberi gambaran buruk tentang pengurusan mereka," kata seorang pelajar dari Sabah, yang merupakan salah seorang wakil yang menyerahkan memorandum kepada Muhkriz, di pejabatnya di Wisma Darul Aman, Alor Setar.

Sementara itu, Bernama melaporkan, ketika bercakap kepada pemberita selepas merasmikan program Bubur Lambuk anjuran Telekom Malaysia (TM) di Alor Setar, Mukhriz berkata kerajaan negeri akan cuba mencari pendekatan yang terbaik bagi menyelamatkan kemelut kewangan yang dihadapi Kuin.


Katanya pendekatan itu bukan sekadar menyelamatkan Kuin malah
bagi memastikan kebajikan semua warga Kuin mendapat pembelaan sewajarnya.

"Kerajaan negeri sedang melihat pilihan-pilihan yang ada supaya Kuin dapat diselamatkan, infrastruktur dan secara fizikal keseluruhannya," kata Mukhriz kepada pemberita selepas merasmikan program Bubur Lambuk anjuran Telekom Malaysia (TM) di Alor Setar hari ini.

Menurutnya apapun pendekatannya, ia tetap mengutamakan kepentingan mahasiswa

iaitu mereka dapat mengikuti pengajian dengan sempurna.

"Kita akan pastikan kepentingan mahasiswa terbela dan ijazah yang diterima laku di pasaran," kata Mukhriz yang menambah ramai mahasiswa dan staf Kolej Universiti itu mengadu menghadapi masalah tempat tinggal.

Beliau berkata walaupun kerajaan membelanjakan RM330 juta bagi membina Kuin masalah kemudahan seperti rumah dan masjid masih gagal dibangunkan.

Katanya masalah itu memberi kesan secara langsung ke atas mahasiswa selain Kuin sendiri gagal berfungsi dengan sempurna sebagai universiti milik kerajaan negeri. ~MK

Tiada ulasan:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...