23 Julai 2013

Satu Lagi Projek Besar Gagal Di Bawah Pemerintahan BN


 LKIM wajar dedahkan kerugian projek MITP

Lim Guan Eng mendesak Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) untuk mendedahkan nilai kerugian berikutan projek Malaysia International Tuna Port Sdn Bhd (MITP) bernilai RM243.38 juta di Batu Maung, Pulau Pinang diisytihar gagal.

Ketua Menteri Pulau Pinang itu, berkata persoalan itu timbul berikutan projek usahasama membabitkan LKIM dan BlindForce Sdn Bhd itu didakwa tidak mengalami kerugian selepas ditamatkan.

Lebih menghairankan, katanya, kerajaan dikatakan terpaksa menanggung kerugian apabila mengeluarkan surat sokongan meluluskan pinjaman membiayai projek berkenaan.

“Macam mana kerajaan persekutuan tidak kerugian apabila projek dibiayai MITP melalui pinjaman RM240 juta dalam bentuk bon dari OSK Investment Bank Berhad dan RHB Investment Bank Berhad.

"Bon RM240 juta mendapat surat sokongan kerajaan persekutuan,” kata Setiausaha Agung DAP itu pada kenyataan media, hari ini.

Lim berkata, OSK Investment Bhd yang mengeluarkan bon itu pula menuntut RM208.62 juta termasuk faedah menjadikan keseluruhan hutang yang terpaksa ditanggung kerajaan ialah RM83.45 juta.

Beliau juga mendakwa persoalan berkaitan status perjanjian projek itu berikutan Tan Sri Muhyiddin Yassin masih lagi Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani juga gagal dijawab.

Konsesi bagi membangunkan kompleks perikanan tuna secara penswastaan di Batu Maung, Pulau Pinang ini diluluskan kerajaan pada 22 September 2004.

Perjanjian konsesi penswastaan secara Bina-Operasi-Pindah selama 32 tahun termasuk tempoh pembinaan selama dua tahun ditandatangani antara LKIM dan MITP.

Ia melibatkan pegangan ekuiti sebanyak 60 peratus dan LKIM bagi pihak kerajaan sebanyak 40 peratus.


Projek Pelabuhan Tuna Masih Terbengkalai



SHAH ALAM 12 Jan - Tidak ada pembangunan dijalankan di Pelabuhan Antarabangsa Tuna Malaysia melibatkan Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) bernilai RM243.38 juta, kata Tony Pua.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara menyifatkan ia sebagai skandal terbaru PKFZ ‘dalam pembikinan’ . Dalam sesi lawatan bersama ahli Jawatan Kuasa Kira-Kira Parlimen ke pelabuhan yang terletak di Batu Maung Pulau Pinang hari ini, beliau berkata tidak ada apa-apa pembangunan dalam fasa ketiga yang bernilai RM200 juta.

Beliau dalam tinjauannya berkata apa yang ada hanyalah dua bangunan kecil kepunyaan Malaysian International Tuna Port Sdn Bhd (MITP) daripada perjanjian konsesi seluas 20 hektar bagi membina pelabuhan Tuna yang dikatakan bertaraf antarabangsa.

“Cuma yang ada, hanyalah dua bangunan asal milik LKIM yang diserahkan kepada MITP dibawah perjanjian konsesi selama 32 tahun dengan Pelabuhan Tuna itu,” kata Tony Pua dalam ‘twitter’nya.
Ujarnya lagi, projek yang dianugerahkan ketika Tan Sri Muhyiddin Yasin sebagai Menteri Pertanian ketika itu, kini hanya tinggal sebuah sahaja syarikat yang beroperasi menangkap ikan tuna selepas diswastakan kepada MITP.

Pada 2 November lalu, Ahli Parlimen Kuala Selangor, Dr Dzulkefly Ahmad dalam sidang media di lobi parlimen mendedahkan kerajaan bakal menanggung kerugian RM83.45 juta dan tanah seluas 20 ekar.
Ia merujuk kepada projek usahasama LKIM dengan Bindforce Sdn Bhd, bagi menubuhkan MITP yang bernilai RM243.38 juta.

Beliau yang merujuk kepada laporan Ketua Audit Negara menjelaskan projek yang dikatakan projek usahasama swasta, tetapi kerajaan pula terpaksa menanggung kerugian akibat ‘letter of undertaking.

Bindforce memegang ekuiti 60 peratus bernilai RM29.05 juta manakala LKIM memegang 40 peratus dengan nilai RM11.62 juta.

Ia akan dibangunkan atas tanah seluas 20 ekar yang diberi sewa oleh LKIM dengan perjanjian konsesi swasta secara Bina Operasi Pindah (BOT) selama 30 tahun yang dibuat pada 16 September 2004.
Kos pembinaan dibiayai oleh MITP melalui pinjaman RM240 juta dalam bentuk bon dari OSK Investment Bank Berhad dan RHB Investment Bank Berhad.

Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani (MOA) pula didakwa mengeluarkan surat sokongan kepada OSK Trustee Berhad pada 15 September.
OSK Trustee pada 6 Januari 2010 kemudiannya didakwa mengisytiharkan ‘event of default’ terhadap MITP.

LKIM sebelum itu mengeluarkan ‘Letter of Undertaking’ menyatakan perjanjian akan dikuatkuasa jika terdapat ‘event of default(boleh tarik diri tanpa bayar ganti rugi) di pihak MITP.
Sehubungan itu, OSK juga turut menuntut sejumlah RM208.62 juta termasuk faedah.
Dengan milikan 40 peratus ekuiti, kerajaan terpaksa menanggung RM83.45 juta dari tuntutan OSK tersebut.

“Tanggungan pinjaman bon RM83.45 juta, surat sokongan merupakan liabiliti kepada kerajaan pusat, dan tanah 20 ekar LKIM tidak dapat dituntut semula kerana dicagar MITP dan kini MITP tidak aktif,” katanya.

Tindakan tersebut juga jelasnya menjadi bajet kerajaan menjadi tidak seimbang dan dalam masa sama melebarkan lagi defisit fizikal negara.- Selangorkini


p/s : kita baca pula jawapan PAC

PAC akan bincang dengan syarikat konsesi pelabuhan tuna
2011/01/12

GEORGETOWN: Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) akan berbincang dengan syarikat konsesi Malaysian International Tuna Port Sdn Bhd (MITP) dan Bindforce Sdn Bhd, berhubung kegagalan pengurusan Pelabuhan Antarabangsa Tuna Malaysia di Batu Maung.

Pengerusi PAC, Datuk Seri Azmi Khalid berkata, pihaknya akan berjumpa dengan syarikat konsesi pelabuhan berkenaan untuk menyelesaikan masalah kegagalan projek tersebut secepat mungkin. "Siasatan itu kini dalam peringkat akhir dan kami akan berbincang dengan syarikat konsesi dalam tempoh terdekat bagi menyelesaikan masalah yang timbul ke atas pelabuhan berkenaan," katanya kepada pemberita selepas melawat ke kompleks itu di sini hari ini.

MITP, yang 40 peratus saham syarikat itu dimiliki Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) dan 60 peratus oleh Bindforce Sdn Bhd, ditubuhkan untuk membangunkan pelabuhan Batu Maung yang bernilai RM243 juta membabitkan tiga fasa dan dijangka siap sepenuhnya pada 2012.

Azmi berkata, pihaknya akan cuba mendapatkan gambaran sebenar kemudahan yang disediakan pelabuhan terbabit yang dilihat tidak mencapai apa yang dirancang.

"Selepas berbincang dengan syarikat konsesi pelabuhan berkenaan, baru kami dapat membuat keputusan hasil daripada siasatan berkenaan," katanya.

Beliau berkata, siasatan PAC juga akan melihat sama ada terdapat penyelewengan ke atas projek pelabuhan tersebut, yang kini dalam fasa ketiga.

"Kami mahu industri tuna ini berpangkalan di Malaysia dan kegagalan melaksanakannya akan membawa kerugian besar kepada negara," katanya.

Azmi berkata, berdasarkan laporan yang diterima, jumlah pendaratan tuna tidak mencapai sasaran kapasiti 50,000 tan setahun malah ia hanya mencatatkan purata sebulan sebanyak 100 tan membabitkan tuna segar dan beku.

Katanya, pelabuhan itu yang beroperasi sejak lima tahun lalu, turut mencatatkan pengeluaran hanya 32 lesen bot berbanding sasaran kuota yang disediakan untuk Malaysia sebanyak 130 kapal. - BERNAMA

Tiada ulasan:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...