12 Jun 2013

TERKINI: 30 WARTAWAN, EDITOR TINGGALKAN THE MALAYSIAN INSIDER....MENGAPA, SAPA KENA BELI?




SHAH ALAM: Pasangan adik beradik Leslie Lau dan Joan Lau akan mengetuai sekumpulan 30 kakitangan meninggalkan portal berita The Malaysian Insider (TMI) untuk menyertai Trinity Diligence Sdn Bhd, yang telah diberi kontrak bagi menguruskan portal The Malay Mail Online.
Menariknya, akhbar The Malay Mail juga mempunyai perjanjian perkongsian kandungan dengan satu lagi portal berita - Malaysiakini.

"Pasukan cetak dan pasukan online (The Malay Mail) akan diuruskan secara berasingan dan pasukan Insider yang akan datang tidak akan memberi kesan kepada perkongsian yang diadakan denganMalaysiakini," kata seorang sumber.

Menurut sumber, penyumbang dana TMI tidak berpuas hati dengan sidang redaksi portal itu yang dikatakan banyak menyimpang daripada apa yang dihajatkan mereka, terutamanya berhubung liputan sepanjang kempen pilihan raya 5 Mei lalu.

Sumber yang lain juga memberitahu Antarapos bahawa minggu ini adalah minggu terakhir bagi kumpulan yang akan ke Malay Mail itu.

Difahamkan hanya Ketua Pegawai Eksekutif TMI, Jahabar Sadiq tidak akan meninggalkan syarikat itu dan beliau ditugaskan meneruskan penerbitan dengan membawa masuk kakitangan baru. Penyumbang sedia ada juga akan terus menyuntik dana.

TMI dimulakan pada Disember 2007 oleh sekumpulan ahli perniagaan dan wartawan yang rapat dengan perdana menteri ketika itu Tun Abdullah Ahmad Badawi sebagai mengimbangi pengaruhMalaysiakini, yang disifatkan sebagai tidak mesra dengan Barisan Nasional (BN).

Tetapi selepas Abdullah dipaksa melepaskan jawatannya pada tahun 2009, kumpulan itu menghentikan dananya. Namun pihak pengurusan tertinggi TMI berjaya memujuk seorang ahli perniagaan dari Pulau Pinang yang rapat dengan kerajaan BN.

Akhbar The Malay Mail dimiliki oleh Datuk Siew Ka Wei melalui syarikat senarai awam Ancom Bhd yang memiliki Kumpulan Redberry.

Adalah difahamkan ketua pegawai eksekutif dan pengarah urusan syarikat insurans am Pacific & Orient Bhd, Chan Thye Seng, yang mempunyai kepentingan 18 peratus dalam Ancom menjadi orang tengah yang memujuk kakitangan TMI untuk meninggalkan portal mereka.

Siew juga dikatakan telah berjaya memujuk Editor Eksekutif The Star, Datuk Wong Sai Wan, untuk menjadi Pengarah Projek Khas untuk Kumpulan Redberry. Selain itu, seorang lagi pengarang kanan Datuk Syed Nadzri Syed Harun dari The News Straits Times Press juga dilaporkan akan menyertai mereka.

sumber

Tiada ulasan:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...