09 Jun 2013

Amirudin Dipilih Ketua Pembangkang PR Kedah

Mahfuz enggan campur pemilihan Ketua Pembangkang Dun Kedah


Mahfuz Omar

ALOR SETAR - Pesuruhjaya Pas Kedah, Datuk Mahfuz Omar tidak akan mencampuri urusan pemilihan calon PR sebagai Ketua Pembangkang Dun Kedah.

Beliau berkata, perkara itu diserahkan sepenuhnya kepada kebijaksanaan semua Adun PR untuk memilih calon layak dan sesuai menerajui PR selaku pembangkang setelah tewas dalam PRU13 lalu.

“Saya serahkan kepada Adun PR tentukan siapa paling layak,” katanya.

Mahfuz berkata, walaupun menerajui Pas Kedah, namun sebagai ahli parlimen, beliau tidak terlibat dalam persidangan Dun dan mengambil sikap berkecuali.

Sebelum ini, Adun Anak Bukit, Datuk Ir Amiruddin Hamzah yang juga Bendahari Pas Kedah disebut-sebut sebagai pemimpin paling layak untuk berdepan Menteri Besar, Datuk Mukhriz Mahathir setelah Timbalan Pesuruhjaya I, Datuk Ir Phahrolrazi Zawawi melepaskan jawatannya.

Berdasarkan kedudukan dalam parti, Amiruddin dilihat paling sesuai dan layak dilantik sebagai Ketua Pembangkang Dun Kedah, yang akan bersidang 23 Jun ini.

Sementara, Setiausaha Sekretariat Wakil Rakyat PR Kedah, Mohd Nasir Mustafa berkata, kedudukan kerusi dalam dewan akan menentukan Ketua Pembangkang Dun Kedah iaitu berdasarkan aturan senioriti dalam Dun.

Berdasarkan faktor itu, susunan kerusi dimulai Adun Sungai Limau, Adun Tokai, Adun Pengkalan Kundor dan Adun Anak Bukit.

“Memandangkan Tan Sri Azizan Abdul Razak tidak akan hadir atas faktor kesihatan, tidak mustahil Datuk Mohamed Taulan Mat Rasul memikul tugas itu,” katanya.

Bagaimanapun, Adun Kubang Rotan itu berkata, kesemua Adun PR sepakat memilih Amiruddin untuk mengetuai pakatan itu dalam dewan.

“Dalam mesyuarat awal Jun, kita putuskan Amiruddin mewakili PR dalam Dun Kedah, namun ia juga ditentukan oleh susun atur kerusi kelak. Kami harap Speaker Dun membenarkan Amiruddin bertindak selaku Ketua Pembangkang ekoran Azizan uzur,” katanya.

Tiada ulasan:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...