29 Oktober 2012

Kantoi ! UUM Diarah Bayar RM3.70 juta Kerana Langgar Perjanjian


PENGARAH Urusan KIC Management, Azahar Abdul Rahman (kanan) 

Permohonan UUM gantung pelaksanaan penghakiman ditolak, diarah bayar RM3.7j

ALOR SETAR: Mahkamah Tinggi di sini menolak permohonan Universiti Utara Malaysia (UUM) untuk menggantung suatu pelaksanaan penghakiman dan diarah membayar lebih RM3.7 juta kepada KIC Management kerana melanggar perjanjian khidmat luar bagi sebuah program sarjana dengan syarikat itu.

Peguam yang mewakili syarikat itu, C V Devan berkata, keputusan itu dibuat Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Zakiah Kassim di dalam kamar hari ini.
"Permohonan untuk menggantung pelaksanaan penghakiman itu ditolak dengan kos.

"Pada 17 Mei 2012, UUM diarah menjelaskan bayaran itu dalam tempoh 14 hari tapi mereka memohon menggantung pelaksanaan penghakiman itu sehingga kes rayuan mereka diputuskan Mahkamah Rayuan," katanya di sini, hari ini.

Dalam pernyataan tuntutan pada 8 Ogos 2010, KIC Management mendakwa UUM menamatkan memorandum perjanjian (MoA) dengan syarikat itu bagi menjalankan program pasca Siswazah Sarjana Pentadbiran Perniagaan (MBA) bermula 1 Jun 2009.

Syarikat itu mendakwa, mengikut MoA yang ditandatangani dengan UUM pada 1 September 2008, UUM bersetuju untuk memberi khidmat luar program MBA kepada syarikat itu, manakala syarikat itu akan menyediakan prasarana dan peserta program di satu fakulti yang dimiliki dan disediakan oleh syarikat itu dan/atau wakilnya di Kulim, Kedah.

Mengikut perjanjian itu, UUM bersetuju bahawa KIC Management akan terus mengendalikan program Eksekutif Sarjana Pentabdiran Perniagaan bagi tempoh lima tahun bermula 1 September 2008 hingga 31 Ogos 2013. 


Bagaimanapun, UUM melalui surat bertarikh 18 Mei 2009, menamatkan perjanjian itu berkuat kuasa 1 Jun tahun yang sama tanpa mematuhi terma-terma perjanjian itu.

KIC Management menyatakan bahawa penamatan kontrak itu adalah pramatang dan melanggar dua klausa perjanjian iaitu MoA boleh ditamatkan oleh mana-mana satu pihak dengan memberi notis bertulis sekurang-kurang enam bulan dan MoA hanya boleh ditamatkan sebaik penyelesaian pengambilan terbaharu pelajar program itu.

KIC Management berkata, tindakan UUM menyebabkan syarikat itu mengalami kerugian dan kehilangan besar iaitu RM424,860 bagi baki yuran pelajar yang masih belum menamatkan pengajian dan RM3.27 juta bagi kehilangan keuntungan/pendapatan untuk baki tempoh perjanjian dari 1 Jun 2009 hingga 31 Ogos 2013.

Syarikat itu menuntut RM424,860 bagi kehilangan baki yuran itu, RM3.27 juta bagi kehilangan keuntungan/pendapatan, faedah statutori pada kadar lapan peratus setahun atas jumlah dua tuntutan itu dan kos serta lain-lain relif yang diarahkan mahkamah. UUM diwakili oleh peguam Nadzarin Nordin.


Tiada ulasan:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...