08 Ogos 2012

Panas! IKHLAS peniaga depan rumah Ambiga, Protes DBKL ada penyelewengan tapak bazar

Peniaga desak SPRM siasat agihan tapak bazar


Satu kumpulan peniaga kecil mendesak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyiasat dakwaan berhubung pengagihan tapak bazar Ramadan di kawasan sekitar Masjid India di Kuala Lumpur.

Presidennya Pertubuhan Ikatan Usahawan Kecil dan Sederhana Malaysia (IKHLAS) Mohd Ridzuan Abdullah mendakwa, tapak bazar itu antara lainnya diberikan kepada persatuan golongan VIP tertentu yang bukan di kalangan golongan peniaga.

Beliau mendakwa, tapak bazar tersebut melibatkan kawasan sekitar Lorong Tunku Abdul Rahman dan Jalan Masjid India.

"Saya mengesyaki ada unsur rasuah berlaku. Sepatutnya tapak bazar Ramadan di sekitar Kuala Lumpur diundi. Tetapi hari ini peniaga diperbodohkan. Bukan semua tapak diundi.



"Kita kenal pasti ada lebih kurang 100 lebih tapak yang tak undi yang mana harga bagi satu petak mencecah RM30,000. Kenapa tak undi? Kenapa benda ini berlaku?," kata Ridzuan.

Beliau juga menuntut supaya lembaga penasihat SPRM memberi penjelasan bertulis kepada IKHLAS bagi menjawab segala dakwaan tersebut."Walaupun SPRM pantau (proses pengundian), tapi mengapa perkara ini boleh berlaku?

"Kita bagi tempoh masa tiga bulan pada SPRM untuk menyiasat. Lepas tiga bulan tak ada jawapan. Kita akan bawa ke Parlimen, peguam negara dan Suhakam," katanya lagi.

Beliau berkata demikian pada sidang media sebelum menyerahkan memorandum kepada SPRM di Putrajaya hari ini.Memorandum tersebut turut disertakan bukti termasuk senarai nama individu dan persatuan yang didakwa menerima tapak berkenaan, kata Ridzuan.

Beliau bagaimanapun enggan memberikan salinan memorandum tersebut kepada wartawan.

IKHLAS merupakan kumpulan peniaga yang mengadakan demonstrasi di hadapan kediaman pengerusi bersama BERSIH, Datuk S Ambiga 10 Mei lalu kerana mendakwa mengalami kerugian sewaktu perhimpunan 28 April.

Kumpulan itu juga terus meraih publisiti apabila mengemukakan tuntutan kepada perdana menteri untuk bertindak ke atas kebanjiran penjaja warga asing yang didakwa menjejaskan peluang perniagaan mereka.

Tiada ulasan:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...