01 Jun 2012

TS Khalid " Pegawai JAIS Bukan betul 100% "

Debat dengan hakim, kata Khalid kepada Zaid


Polemik ini tercetus berhubung tindakan Jais menahan anak Zaid, Ezra kerana menerbit dan mengedar buku kontroversi, "Allah, Kebebasan dan Cinta".
SHAH ALAM: Menteri Besar Selangor Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim menolak cabaran bekas menteri kabinet Datuk Zaid Ibrahim mengenai Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) yang mengambil tindakan undang-undang ke atas penerbit dan pengedaran buku kontroversi “Allah, Kebebasan dan Cinta”.
Zaid menyuarakan cabaran itu di laman sosial twitter semalam sambil menyifatkan Abdul Khalid sebagai takut kepada Jais.

Memetik tulisan Zaid, beliau berkata “MB Selangor berkata Jais bertindak ikut kuasa. Dia takut dengan mereka. Saya akan dilepaskan tak lama lagi. Adakah MB terima debat terbuka dengan saya mengenai isu ini?”

Abdul Khalid sambil berseloroh berkata Zaid boleh berdebat dengan hakim sekiranya tindakan Jais itu tidak mengikut undang-undang. “Berdebatlah dengan hakim jika tindakan Jais tidak betul. Bukan berdebat dengan saya.“Kalau benar (apa yang Zaid kata) maka saya terima keputusan hakim. Malah saya tidak kata pegawai Jais betul 100 peratus.

“Cuma saya kata pegawai Jais ikut panduan, enakmen dan ada kuasa untuk kes itu,” katanya dalam sidang media selepas majlis Konvensyen Pimpinan Pekerja Selangor 2012. ZI Publication yang dimiliki anak Zaid, Ezra ditahan dan siasat dibawah Seksyen 16 (1) (a) Enakmen Jenayah Syariah (Negeri Selangor) kerana menerbitkan buku tersebut yang bertentangan dengan hukum syara’ pada Isnin lalu.

Buku tersebut ditulis oleh penulis kontroversi dari Kanada Irshad Manji, malah Jais turut merampas 180 naskah buku berkenaan.

Projek komersial PKNS

MB: Tubuh Jawatankuasa Bebas Selesai Isu Padang PKNS


SHAH ALAM 31 MEI : Kerajaan Negeri akan menubuhkan satu jawatankuasa bebas bagi menyelesaikan isu padang kompleks Sukan Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS).Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata jawatankuasa itu akan diwakili panel bebas daripada kumpulan profesional.

Katanya, panel itu bukan terdiri daripada orang yang bekerja dengan Kerajaan Negeri atau negara bagi menyiasat percanggahan perkara itu.Sebelum ini, isu terbabit dibangkitkan apabila padang PKNS di SS7 Kelana Jaya berhampiran dengan Lebuhraya Damansara Puchong itu ingin dimajukan oleh PKNS dengan projek komersial.

Hal itu menyebabkan penduduk membantah pembangunan itu kerana kawasan itu diwartakan sebagai kawasan hijau.Bagaimanapun, semalam, Datuk Bandar Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), Datuk Mohamad Roslan mengakui terdapat kesilapan cetak oleh MBPJ dalam Rancangan Tempatan Petaling Jaya(RTPJ2). Oleh itu, Roslan memaklumkan pihaknya akan mengikut buku yang dicetak oleh Jabatan Perancangan Bandar dan Desa (JPBD).

Malah, Roslan memutuskan kawasan itu kekal sebagai kawasan rekreasi.Mengulas lanjut perkara itu, Abdul Khalid berkata, Kerajaan Negeri perlu mengadili perkara itu dengan adil sama ada ia benar atau tidak. “Kalau ia disalah cetak, Kerajaan Negeri mesti mengadilinya dengan baik dan JPBD dan MBPJ mesti mengemukakan perkara-perkara yang menyebabkan terdapatnya perbezaan itu.

“Saya tidak akan menghalang sekiranya mana-mana pihak yang betul dan saya juga tidak akan membetulkan benda yang salah tetapi ia mesti dibawa ke pengadilan serta perkara ini perlu dikaji semula,” katanya ketika ditemui di Himpunan Pekerja Selangor di Kompleks Belia, Seksyen 7, di sini.Beliau berkata, semua pihak perlu memberi peluang dan ruang kepada PKNS, JPBD dan MBPJ untuk menyelesaikan perkara itu.

Baru-baru ini, penduduk SS7 membuat laporan di Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM) Putrajaya berikutan penemuan dua buah buku RTPJ2 yang mempunyai fakta berbeza tetang status tanah kompleks berkenaan.Berhubung laporan itu, Abdul Khalid berkata penduduk boleh menghantar laporan itu kepada SPRM dan SPRM juga berhak untuk meneliti laporan itu.

“SPRM boleh melihat dan mencari perkara-perkara yang dianggap salah guna kuasa ataupun rasuah, saya juga sentiasa menggalakkannya dalam usaha kita membanteras rasuah dan salah guna kuasa dan maklumat yang diberikan itu adalah sangat penting,” katanya.

Sementara itu, Adun Seri Setia, Nik Nazmi Nik Ahmad mahu isu itu disiasat oleh Jawatankuasa Keupayaan, Kebertanggungjawapan dan Ketelusan Selangor (SELCAT)

Tiada ulasan:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...