02 Jun 2012

PENDEDAHAN! : 1,758 Anak Jagaan JKM TIADA STATUS WARGANEGARA ( Video Inside)

'Anak jagaan JKM tiada status warganegara'


Presiden Pertubuhan Kebajikan dan Sosial Malaysia (Perbak), Muhammad Khairul Hafiz Abdullah mendakwa seramai 1,758 individu yang keluar daripada pusat jagaan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) masih tidak mendapat status warganegara.

Beliau menyalahkan JKM yang didakwa tidak menjalankan tanggungjawab sehingga menyebabkan anak-anak bekas jagaan jabatan tersebut hanya mendapat status pemastautin sementara.Katanya, perkara itu juga terjadi kepadanya yang terpaksa "hidup merempat" selama enam tahun setelah keluar daripada salah sebuah pusat jagaan JKM di Durian Daun, Melaka, sehinggalah beliau mendapat taraf kewarganegaraan tahun lalu.

“Kami tidak ada keluarga. Lepas keluar dari rumah JKM, ke mana kami nak pergi? Dengan tak ada wang lagi. Jadi, JKM perlu bertanggungjawab ke atas budak-budak ini,” katanya dalam sidang media di Kota Damansara hari ini.Beliau menempuh kesukaran apabila keluar daripada Rumah Budak Laki-laki Tun Abdul Aziz kerana tidak memiliki kad pengenalan.

Malah, beliau sendiri pernah dimasukkan ke dalam penjara gara-gara kad pengenalan sementaranya tamat tempoh.

“Masa usia 12 tahun, sampai 6 Januari 2005, saya guna kad pengenalan hijau (pemastautin sementara). Pada Disember 2006, saya guna kad pengenalan merah (pemastautin tetap) dan tahun lepas saya baru dapat kad pengenalan biru (MyKad) dan jadi warganegara.

“Ramai budak yang dijaga Jabatan Kebajikan tidak mempunyai kerakyatan dan kad pengenalan. Malah, kami ini lebih teruk daripada pendatang sebab nak tunggu sampai lima hingga 10 tahun untuk dapat warganegara,” kata Muhammad Khairul, 25.

Atas sebab itulah beliau menubuhkan Pertubuhan Kebajikan dan Sosial Malaysia (Perbak), kata Muhammad Khairul yang mendakwa berjaya menyelesaikan sebanyak 14 kes melibatkan anak-anak terbiar itu melalui usaha pertubuhan itu.

Selain daripada 14 orang itu, seramai 1,744 orang lagi di bawah jagaannya di pusat komuniti Perbak di Melaka itu hanya memegang status pemastautin tetap tanpa kerakyatan sah.Katanya, anak-anak berkenaan seharusnya sudah mendapat taraf kerakyatan setelah mencapai umur 15 tahun di bawah jagaan JKM.“Jika benar anak-anak itu dibesarkan sampai umur 15 tahun (di JKM), dia harus jadi warganegara Malaysia," katanya.

Tambahnya, kerajaan juga perlu membantu anak-anak di bawah jagaan JKM dengan memberi bantuan kewangan, sekurang-kurangnya untuk tempoh setahun, selepas keluar daripada pusat jagaan tersebut."Bila seseorang sudah keluar daripada institusi, dia harus mendapat wang bulanan bagi dia menjalani kehidupan.

“Bila keluar dari institusi itu, kerajaan juga perlu carikan pekerjaan. Jangan biarkan mereka tak ada apa-apa (pekerjaan). Katanya, perkara itu pernah disuarakannya dalam pertemuan dengan Menteri Pembangunan Wanita dan Keluarga pada ketika itu, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil.

Perbak yang sebelum ini bernaung di bahawa Persatuan Pengguna Islam Malaysia, kini beroperasi secara bebas sejak April lalu.




Oleh :
Zulaikha Zulkifli-MK

Tiada ulasan:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...