31 Mei 2012

Jennifer Lopez suka ' Anak ikan ' , menteri kita ligan ' Anak Lembu ' ?

JLo tinggalkan American Idol kerana 'anak ikan' ?
Gambar JLo bersama Casper ketika bercuti.

Di Hollywood, situasi di mana selebriti wanita bercinta golongan lebih muda atau dikenali ‘anak ikan’ tidak asing lagi. Contohnya, Demi Moore pernah berkahwin dengan aktor, Ashton Kutcher yang 15 tahun lebih muda daripadanya.

Kini, aktres dan penyanyi seksi, Jennifer Lopez atau mesra disapa JLo ini pula mengikut jejak langkah rakan seperjuangannya itu dengan menjalin hubungan bersama pemuda berusia 25 tahun, Casper Smart.

Selepas mengumumkan bakal berpisah dengan bekas suaminya, Marc Anthony pada Julai tahun lalu, selebriti berketurunan Latin ini dikhabarkan sudah menemui pengganti yang jauh lebih muda daripada usianya. Malah, pemilik nama sebenar Jennifer Lynn Lopez ini dikatakan benar-benar sedang mabuk cinta dengan ‘anak ikan’nya itu.

Belum pun menjangkau setahun menjalinkan hubungan, JLo sudah menghebahkan kepada rakan-rakannya untuk mengahwini Casper.Menurut sumber terdekatnya, selebriti berusia 43 tahun ini berhasrat mengikat hubungan mereka ke alam perkahwinan. “Biarpun baru mengenali Casper, namun dia (JLo) sudah memberitahu rakan-rakan terdekatnya untuk mengahwini Casper.

“Kelihatannya seperti dia senang bersama lelaki itu. Dengan Casper, Jennifer hanya perlu menjadi diri sendiri. Casper banyak beri kelonggaran kepada Jennifer untuk melakukan apa yang dihajati dan setia menyokong wanita itu,” katanya.Terbaru, timbul desas-desus yang mengatakan kekasih barunya itu menjadi punca selebriti kelahiran The Bronx, New York ini meninggalkan tugasnya sebagai juri program realiti, American Idol.

Menurut sumber, tindakan JLo meninggalkan program realiti itu ialah bagi menggembirakan hati Casper. “Demi memastikan Casper gembira, Jennifer membuat keputusan untuk meninggalkan tugasnya sebagai juri dalam rancangan yang selama ini paling memberi keuntungan buatnya (American Idol).

“Malah, hubungan Jennifer bersama Casper juga membuatkan ramai rakanrakannya berkecil hati kerana dia sering melebih-lebihkan lelaki itu,” katanya lagi. Punca Fabian Herrera berhenti?

Dek kerana terlampau taksub dengan kekasih barunya, JLo juga khabarnya tergamak mengetepikan rakan baiknya yang juga merupakan pengurus projek jelajahnya, Fabian Herrera. Menurut sumber, pelantun lagu On The Floor ini melantik Casper sebagai koreografer barunya untuk program konsert jelajah bersama Enrique Iglesias yang bermula 14 Julai ini di Montreal.

“Tindakan Jennifer memilih Casper sebagai koreografer ternyata membuatkan rakan karibnya (Fabian) berkecil hati. Mustahil untuk Fabian yang mempunyai lebih banyak pengalaman menerima arahan daripada budak mentah.

“Fabian menganggap perbuatan Jennifer itu sebagai tindakan yang tidak matang dan boleh memberi kesan kepada kariernya. Maka, Fabian lebih senang untuk mengundur diri daripada terlibat dengan program jelajah itu.

“Lebih menyakitkan hati, Casper seperti naik minyak apabila mendesak kakitangan Jennifer untuk menggelarnya sebagai Mr Smart dan juga pernah mengarah setiausaha Jen, Gilly untuk membuatkannya minuman,” ujar sumber tersebut.

Sebelum ini, JLo dikatakan memberi elaun kepada kekasihnya itu sebanyak RM31,484 (USD10,000) seminggu bagi membiayai perbelanjaan Casper.

Selebriti seksi ini juga sanggup menghantar Casper ke kelas lakonan kerana ingin menjadikan buah hatinya sebagai bintang terkenal.

Ingin tambah anak? JLo baru-baru ini dianugerahkan selebriti paling berpengaruh di dunia oleh majalah Forbes dikatakan dalam perancangan mengambil anak angkat.

Bagaimanapun, aktres yang kini popular dengan filem What to Expect When You’re Expecting ini menafikan hal tersebut.“Kenyataan saya untuk mengambil anak angkat telah disalah ertikan. Memang saya ada menyatakan rasa senang melakonkan watak Holly, tapi tidaklah sampai teringin untuk mengambil anak angkat,” katanya.

Dalam filem terbarunya, What To Expect When You’re Expecting yang kini sedang ditayangkan, JLo memegang watak sebagai Holly, seorang ibu yang mengambil anak angkat dari luar negara.

Dalam kehidupan sebenar, JLo kini mempunyai dua anak kembar, Maximilian David Muniz dan Emme Maribel hasil perkongsian hidup dengan Marc Anthony.

Penjelasan JLo ini sekali gus melenyapkan spekulasi mengenai hasratnya yang ingin menambah cahaya mata bersama Casper.-SH

Tiada ulasan:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...