02 Mei 2012

WALAUPUN NAJIB NAFIKAN KEJAYAAN BERSIH 3.0, TAPI KESANYA AMAT PARAH



Kerajaan perlu diubah sebelum pilihanraya

— Apakah “significance” nya Bersih 3.0 pada hari Sabtu 28 April 2012 yang lepas? Sebenarnya himpunan Bersih 3.0 ini membawa banyak makna kepada politik negara dan “consequence” nya adalah sangat besar yang dialami oleh pemerintah (BN) pada hari ini.

Ia bukan setakat perhimpunan 200,000 orang rakyat tetapi ia merupakan satu lonjakan kepada usaha membawa perubahan kepada sistem pemilihan pimpinan dan kerajaan yang sangat nyata hasilnya. Kita akan melihat hasilnya secara beransur-ansur dan rakyat ramai sedang melalui perubahan tentang persepsi politik negara seperti yang dikehendaki oleh masa dan zamannya.

Perhimpunan ini menyaksikan pertambahan kesedaran rakyat yang sistem pemilihan dalam pilihanraya wajar berubah dan tidak boleh mana pihak untuk melakukannya dengan sewenang-wenangnya.

Dalam perhimpunan lepas, daripada jumlah peserta yang melebihi 200,000 orang rakyat, kita lihat dengan jelas penyertaan dari berbilang kaum dan yang lebih penting yang perlu kita fahami, ianya merupakan penyertaan daripada kumpulan kelas menengah yang begitu besar.

Selalunya kelas menengah ini akan mengikut sahaja apa yang dilakukan oleh pemerintah dan banyak negara bergantung kepada sokongan kelas menengah untuk mengekalkan kuasa. Seandainya kelas menengah mula melawan arus, maka tidak ada negara akan kekal dan tidak ada negara yang boleh mempertahankan sistem yang lazim mereka amalkan.

Di dalam perhimpunan Bersih yang lalu, kita melihat dan menyaksikan dengan jelas kumpulan kelas menengah begitu ramai tampil memberikan sokongan terhadap penganjur perhimpunan aman ini.

Maka tidak terkejut lagi jika kerajaan pada hari ini akan terpaksa menerima hakikat yang mereka terpaksa mengalah kerana waktu untuk melakukan “correction” terhadap siasah negara sudah sampai, dan ia tidak lagi dapat dihalang.

Itulah sebabnya penganjur perhimpunan Bersih ini berhak untuk mengisytiharkan yang Bersih 3.0 ini amat berjaya dan telah mencapai kejayaan yang melebihi jangkaan awal. Ini adalah kerana penganjuran Bersih kali ini telah berjaya mengetuk pintu hati mereka-mereka dalam golongan kelas menengah ini.


Kita mesti akui di dalam sesebuah negara, kelas menengahlah yang akan merasakan kebahagian atau keperitan hasil daripada sesuatu dasar kerajaan dan perlaksanaannya. Negara yang stabil politiknya seperti di England, kelas menengahlah yang menjadi benteng kepada kestabilan keadaan politik negara itu.

Golongan ini merupakan lebih daripada 80 peratus rakyat negara itu. Golongan yang terkaya hanya melibatkan kurang dari 10 peratus dan selebihnya daripada golongan yang miskin dan berpendapatan rendah.

Ini pun tujuan dan matlamat kewujudan DEB dahulu, iaitu untuk membina golongan kelas menengah yang besar bagi mencapai matlamat kestabilan negara yang menjadi laluan untuk pencapaian matlamat kita yang “ultimate”, iaitu perpaduan nasional.

Pelaksanaan matlamat ini pada awalnya telah mencapai kejayaan tetapi DEB itu sendiri telah diabaikan sejak pertengahan 80-an, maka setelah hampir tiga dekad kita sedang merasakan hangat radang hasil dari terbantutnya pembinaan kelas menengah yang kuat dan jitu.

Setelah kerajaan melaksanakan “express projects” yang raksaksa dengan cara runding terus pada zaman Mahathir, kita telah melihat elemen rasuah dan mengamalkan “profiteering” tanpa had. Maka wujudlah satu kumpulan kecil yang istimewa yang telah mengambil kesempatan untuk mengaut segala peluang dengan persetujuan pemimpin berkuasa yang juga bersama-sama mengambil kesempatan untuk melonggokkan kekayaan yang menggunung untuk keluarga masing-masing. Amalan itu berlanjutan sampai ke hari ini dan tidak mungkin dapat dikawal lagi percambahannya.

Rasuah dan salahguna kuasa berlarutan dan pimpinan kerajaan terlalu dipengaruhi oleh kumpulan kecil “warlords” yang berpengaruh. Itulah sebabnya saya selalu katakan yang pemimpin-pemimpin besar kita sekarang telah mengalami ketagih kepada amalan rasuah yang besar-besar.

Dasar untuk memberikan peluang yang “equitable” kepada rakyat sudah diabaikan buat selama-lamanya dan matlamat DEB untuk mencapai tahap 30 peratus kekayaan untuk bumiputra itu jatuh tersembam dan tidak akan dapat dicapai sehingga bila-bila
.

Dalam kegilaan membentuk kumpulan kecil “warlords” ini maka golongan menengahlah yang menjadi korban. Kesusahan yang dialami oleh golongan menengah ini bukan kepalang teruknya. Golongan menengah tidak mampu untuk mendapatkan peluang-peluang yang termampu oleh golongan kecil yang kaya-raya ini dan mereka juga tidak layak untuk mendapatkan kemudahan untuk golongan bawahan dengan rumah kos rendah dan keistimewaan yang lain.

“Pemberontakan” golongan menengah ini terhadap pemerintah sudah jelas setelah mereka bersabar menunggu pembetulan kepada dasar perlaksanaan kepada sistem “ultra-capitalist” yang dibentuk serta diwujudkan oleh dasar-dasar yang songsang dan tidak bermunafaat kepada rakyat dan negara.

Kerajaan hanya mendengar rintihan golongan ini dengan sambil lewa sahaja dan mereka (pemimpin) berpendapat bahawa mereka boleh memulihkan rintihan mereka dengan membeli perasaan mereka dengan BR1M sebanyak RM500 sahaja.

Di kalangan lebih dari 200,000 orang dalam perhimpunan Bersih 3.0 Sabtu lalu, adalah mereka yang kebanyakan telah menerima BR1M RM500 itu. Mereka tahu mereka sedang dicuba oleh kerajaan BN untuk membeli sokongan dan perasaan mereka dengan wang ringgit. Itu pun kerajaan masih lagi belum sedar yang rakyat tidak lagi boleh dibeli dengan wang ringgit.

Pengumuman Muhyiddin Yassin dan Najib Razak bahawa kerajaan akan sekali lagi memberikan BR1M berjumlah seribu ringgit seorang tidak akan menambahbaikan keadaan dan jika dianjurkan sekali lagi perhimpunan Bersih 4.0 nescaya lebih dari 300,000 rakyat akan keluar beramai-ramai untuk menyokong Bersih.

Sesungguhnya rakyat mahukan perubahan yang besar dan mutlak kali ini. Kejayaan terbesar “Bersih” Sabtu lalu ialah kejayaan mengumpulkan ratusan ribu rakyat berbilang kaum daripada kumpulan kelas menengah dan telah berjaya menunjukkan penyatuan dan kebulatan tekad untuk bersama-sama membawa perubahan terhadap kepimpinan negara yang mereka anggap tidak lagi sesuai untuk memperjuangkan nasib masa depan mereka.

Mereka merupakan kumpulan yang telah berputus asa untuk mengharapkan kerajaan hari ini untuk berubah kepada kebaikan. Kalau tidak, masakan mereka sanggup berhadapan dengan kepayahan menghadapi pihak polis yang tidak bertanggungjawab dengan mengadakan agen “provocateur” di kalangan peserta perhimpunan itu untuk membolehkan pihaknya (polis) bersikap dan bertindak tidak berperikemanusiaan terhadap mereka yang berhimpun secara aman itu.

Jika SPR masih tidak bertanggungjawab, tidak mustahil setengah juta manusia akan berkumpul sekali lagi dalam perhimpunan Bersih 4.0 pula. Dan semolek-moleknya elok kerajaan sekarang menyerahkan sahaja kuasa sementara kepada Yang diPertuan Agong untuk membentuk kerajaan sementara bagi memulakan pentadbiran negara yang baru. Kita tidak dapat mengetahui apa yang akan berlaku jika rakyat dan kerajaan terus menerus bertembung seperti yang kita lihat pada hari ini
.

Yang diPertuan Agong (dengan persetujuan Majlis Raja-Raja) boleh memberikan kuasa untuk memulakan pentadbiran dan politik baru kepada sesiapa yang Baginda berkenan, dan seelok-eloknya berikan kuasa menyususn semula negara ini kepada seseorang yang mempunyai “magnanimity” yang tinggi. Selepas segala-galanya diperbaiki dan diperkuatkan barulah dipindahkan kembali kepada rakyat untuk melaksanakan demokrasi yang sempurna.

Pandangan ini, walaupun datangnya dari seorang anak kampung yang “jembel” seperti saya, tetapi berikanlah perhatian untuk masa depan negara dan generasi kita yang akan datang. — aspanaliasnet.blogspot.com

Tiada ulasan:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...