14 Mei 2012

" Huru-hara" Bersih 3.0 : Jangan Tipu Pakcik & Makcik, Pakcik ada internet, FB dan tengok youtube.

‘Huru-hara’ Bersih 3.0 : Jawapan mudah untuk UMNO


“Sudah-sudahlah tu nak membodohkan orang… rumah pakcik ada internet, ada facebook… tengok youtube… segala paper pakcik baca.” – Pak Long Alias, 57, Kerinchi.

Pasukan Harimau Malaya menewaskan Sang Garuda pada sukan SEA 2011 di Palembang. Saat itu, jalan-jalan sekitar ibu kota Kuala Lumpur dipenuhi dengan orang awam yang memakai baju Harimau Malaya. Kuning di mana-mana saja. Perasaan bangga dan semangat mereka diluahkan dengan memakai baju pasukan kesayangan. Penuh di akhbar-akhbar kalungan pujian dan kata-kata harapan. Syabas!

Kalau sayang, tunjukkan. Tetapi, jauh pula bezanya dengan rakyat yang mahukan keadilan pada sistem pilihan raya negaranya yang lebih utama dari memenangi piala bola. Setakat hari ini, jalan-jalan sekitar Kuala Lumpur tidak lagi kelihatan mereka yang memakai baju-T Bersih, sekurang-kurangnya.

Bukan memakai baju kuning untuk tujuan jahat. Kita tetap berpegang teguh pada Perlembagaan Persekutuan. Tidak ada sebab untuk gulingkan kerajaan melalui himpunan Bersih 3.0. Ini kerja tak berbaloi.

Apa yang BERSIH 3.0 mahukan ialah agar kerjaan memenuhi lapan tuntutan Bersih 2.0 dan tiga tuntutan tambahan menerusi Bersih 3.0 – agar pilihan raya kita adil, bebas dan telus. Tidak lebih dari itu!

Kita patut berasa hairan. Kenapa baru sekarang keluar kenyataan bahawa Bersih nak “gulingkan kerajaan?” Bersih 1.0 dan Bersih 2.0 pula untuk apa?

Kenyataan Najib, Mahathir, dan media arus perdana yang mendakwa BERSIH 3.0 bertujuan untuk menggulingkan kerajaan adalah kenyataan terdesak dan pra-matang. Ia telah pun dikupas panjang lebar dalam artikel “Tun M dan Najib yang bijak laksana…” oleh saudara Mazir Ibrahim sebelum ini.

Pertama, kalaulah Dataran Merdeka tertawan sekalipun atau jika DBKL memberi kebenaran kepada BERSIH 3.0 untuk menggunakan Dataran Merdeka, BERSIH 3.0 tetap tidak mampu berkampung.

Seperti yang pernah dijelaskan. Cuaca Malaysia beriklim khatulistiwa, panas dan lembab sepanjang tahun. Tidak perlu ke Dataran Merdeka, duduk di khemah kenduri kahwin pun belum tentu tahan.

Kedua, kita andaikan BERSIH 3.0 tiba-tiba ubah fikiran untuk berkampung dan Dataran Merdeka dipenuhi orang ramai, tidakkah ‘masalah’ itu boleh diselesaikan? Jika kita amati, sedangkan di Jalan Tun Perak pun polis mampu ‘leraikan’ lebih 150,000 peserta yang berhimpun, inikan pula di tengah padang.

Atau mungkinkah Najib ragu-ragu kepada kecekapan polis kita menangani orang awam?

Perhimpunan aman yang ‘dirusuhkan…’

“Orang ramai datang beli air saya sampai ais-ais pun habis… buah-buah, nugget, keropok lekor, pisang goreng, karipap… semua ‘selesai’…” Abang Lan, 35, penjaja

Satu lagi tuduhan mendakwa peserta BERSIH 3.0 adalah “perusuh”. Kalaulah begitu tohmahannya, sudah pasti kita lihat kedai-kedai sekitar ‘dilanyak’ dulu, barang-barang dicuri, cermin kereta dipecahkan… Lihatlah jumlah peserta yang turun, sudah lebih dari cukup untuk buat ‘huru hara’. Tetapi, apa yang berlaku tidak seperti yang digambarkan.

Pada peringkat awal perhimpunan, kita dapat lihat dengan mata kepala kita sendiri bahawa ia berjalan dalam keadaan aman, ceria dan gembira.

Walau bagaimanapun, di pertengahan perhimpunan sekitar jam 3 petang, kita sendiri dapat melihat

bagaimana pihak polis mula bertindak dengan menembak gas pemedih mata dan menggunakan meriam air. Itu belum termasuk provokasi pihak polis sendiri sehingga menyebabkan kereta polis diserang di Jalan Raja Laut.

Bila keadaan menjadi kelam kabut; masing-masing, termasuk golongan tua dan OKU, terpaksalah menyelamatkan diri dan ketika itu apapun mungkin berlaku, termasuklah kecederaan.

Soalnya, siapa yang bertindak dahulu sehingga wartawan dan ada warga tua dibelasah? Apa pula dosa jika pihak polis membiarkan perhimpunan dijalankan sehingga jam 4 petang?

Kita ada contoh yang baik. Lihatlah perhimpunan anti-Lynas. Ia bermula dengan aman dan berakhir dengan aman. Begitu juga dengan perhimpunan sejuta belia pada Mei 2011 di Putrajaya. Yang penting, pihak keselamatan ditugaskan menjaga ketenteraman dan lalu-lintas.

Ternyata kenyataan Najib dan media arus perdana membuat tuduhan sewenang-wenang bahawa BERSIH 3.0 bertujuan menggulingkan kerajaan secara haram adalah satu tuduhan berat dan tidak munasabah.

Kekacauan yang berlaku akibat tindakan pihak polis cuma mencerminkan bahawa kerajaan takut terhadap tuntutan rakyat. Ia juga membawa erti Barisan Nasional terdesak dan tidak bersedia untuk berubah. Kenyataan negatif yang ditohmah kepada BERSIH 3.0 cuma sekadar kenyataan berhelah untuk lari dari isu sebenar iaitu mengenai lapan tuntutan BERSIH 3.0.

Tidak gunalah pilihan raya sekiranya sistem pilihan raya kita masih kotor. Atau Barisan Nasional sememangnya mahu mengekalkan sistem yang kotor agar mereka terus menang? Jika demikian, apakah erti keadilan dan ketelusan yang dibangga-banggakan kerajaan selama ini?

Oleh Hafiz Zainuddin

Tiada ulasan:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...