POLEMIK berkaitan dengan Hasan Ali ini nampak tidak akan ada penghujung - sekurang-kurangnya selagi PAS menggunakan pendekatan yang sama seperti sekarang untuk menanganinya.
Terbaru, bila Hasan Ali menyanggah kenyataan Tuan Guru Datuk Nik Aziz yang disiarkan di dalam Harakah 2 hari lepas berkenaan permohonan maaf pemimpin tersebut kepada kepimpinan tertinggi PAS kerana menyerang dasar parti tersebut berkaitan dengan Negara Kebajikan. Tidak cukup dengan itu, Hasan Ali juga menuduh Harakah memutar belit kenyataan TG Nik Aziz.
Sanggahan Hasan Ali itu mendorong Harakah untuk menyiarkan transkrip penuh temu bualnya dengan TG Nik Aziz dan memang jelas TG Nik Aziz ada menyebut Hasan Ali meminta maaf kepada PAS berhubung isu yang disebutkan di atas.
Kesempatan ini yang diambil oleh kebanyakkan media pro UMNO untuk menuduh TG Nik Aziz sebagai penipu, malah ada juga yang mengatakan TG Nik Aziz sudah nyanyuk kerana tidak mampu memahami percakapan Hasan Ali dengan jelas sehingga membuat kesimpulan yang Hasan Ali meminta maaf sedangkan hakikatnya tidak.
Natijahnya, daripada isu-isu yang berkisar dengan Hasan Ali, kini ia beralih kepada TG Nik Aziz pula.
Penulis dan laman ini dari awal lagi memang tidak menyokong Hasan Ali kerana seperti yang dinyatakan sebelumnya, Hasan Ali sudah membakar jambatan dengan PAS apabila mempersoalkan hala tuju perjuangan parti daripada negara Islam kepada Negara Berkebajikan.
Atas sebab itu penulis percaya, apa pun usaha yang dilakukan kepimpinan PAS pusat untuk ‘menyelamatkan’ Hasan Ali tidak akan berjaya dan polemik terbaru berkaitan dengan dirinya, yang turut sama menyeret TG Nik Aziz di dalamnya, adalah bukti kepada pandangan tersebut.
Penulis sudah biasa dengan jenis orang seperti Hasan Ali dan permainan politik seumpamanya. Justeru penulis tidak faham kenapa kepimpinan PAS pusat masih lagi mahu menghulur tali persahabatan dikala dia sendiri telah memutuskan untuk menolaknya?
Tidak sepertimana biasa, sanggahan Hasan Ali ini tidak mendapat respon segera dari TG Nik Aziz. Begitu juga dengan pemimpin lain yang berada dalam pertemuan tertutup itu seperti Datuk Seri Abdul Hadi Awang dan Ustaz Nasharudin Mat Isa.
Ia menguatkan lagi tohmahan yang mengatakan TG Nik Aziz menipu!! Penulis tidak rasa pandangan sedemikian baik untuk TG Nik Aziz, PAS dan Pakatan Rakyat.
Masih belum terlambat untuk kepimpinan pusat PAS memikirkan semula alternatif yang lebih drastik dalam menangani isu berkaitan dengan Hasan Ali ini setelah semua pendekatan diplomasi yang digunakan sekarang, tidak langsung memberi kesan.
Malah lebih teruk dari itu, ia menjadi senjata makan tuan pula.
Sumber: suarapakatanrakyat.com
Tiada ulasan:
Catat Ulasan