04 Januari 2012

ABU: Harga sebuah perubahan

Oleh: MSK


Ada orang komen…kalau tolak Umno, Pakatan naik pun bukan boleh harap. Aku setuju.
Kalau tumbangkan Umno pasai depa rasuah…Pakatan naik pun bila dah dapat kuasa pun rasuah jugak. Aku juga setuju.

Kalau tak ada Umno…tak adalah pembangkang. Bila tak ada pembangkang…lagi la Pakatan bermaharajalela. Yang ni aku lagi setuju.
Habih pasai apa nak buang Umno?
Seluruh kehidupan kita dikuasai oleh ketakutan. Fear. Kita takut Pakatan tak akan mampu mentadbir kerajaan kalau Umno tak ada. Kita takut Pakatan juga rasuah kalau berkuasa. Kita takut Pakatan juga akan menjadi diktator apabila mendapat kuasa.
Kita lebih takut kepada Pakatan yang belum mendapat kuasa, daripada Umno yang sedang berkuasa dan sedang menghancurkan sistem ekonomi dan sosial sekarang. Kita lebih takut Pakatan akan melakukan rasuah, daripada umno yang sememangnya sudah rasuah. Kita lebih takut kepada Pakatan yang akan bermaharajalela, daripada Umno yang sedang menghancurkan negara. Kita lebih takut kepada perkara yang belum berlaku daripada perkara yang sedang berlaku.

Fear got the best of you.
Aku akan cuba tulis sebanyak mana yang aku mampu, tapi seperti yang aku sebut sebelum ini, ABU bukan milik aku. Apa yang aku cakap bukan menggambarkan falsafah ABU. bukan dasar ABU. Aku menyokong ABU sebab aku mahukan perubahan.Aku tau, hangpa akan tanya..apakah perubahan akan menjanjikan kebaikan? Yang tu juga aku tak boleh nak janji. Malah aku berani kata, perubahan akan berpotensi membawa keburukan dan kehancuran lebih tinggi dari kebaikan.
Habih…pasai apa nak ubah? Yang ni kita bincang selepas ini. Sekarang aku nak kongsi tentang harga sebuah perubahan.

Satu masa dulu, coklat Van Houten cukup popular. Sapa yang kerja dengan Chocolate Products, memang seronok sebab gaji tinggi dan dapat bonus. Walaupun gaji pekerja masa tu cuma lebih kurang RM350.00 sebulan, tapi dengan overtime dan pelbagai elaun, boleh bawa balik lebih kurang RM800.00. Tapi lama kelamaan, kos pengeluaran semakin meningkat manakala pulangan jualan tidak siring dengan kos pengeluaran. Pengurusan cuba membuat perubahan dengan menghentikan pengeluaran coklat Van Houten dan digantikan dengan Vochelle.

Ramai yang membantah. Pasai apa nak buang benda yang sudah popular dan digantikan dengan yang baru? Ramai pekerja dan pengurusan tidak mahukan perubahan.Tahun pertama, hasil jualan merudum. Orang tak tau Vochelle. Orang cuma tahu Van Houten. Syarikat rugi, ramai pekerja terpaksa diberhentikan. Mereka yang telah bekerja bertahun-tahun, berkorban untuk syarikat terpaksa dikorbankan demi memastikan syarikat terus hidup.

Tahun kedua, jualan meningkat dan terus meningkat ditahun-tahun seterusnya. Sekarang, kalau tiba musim Christmas, Tahun Baru…malah orang Melayu kahwin pun beli coklat Vochelle. Van Houten semakin hilang.Siapakah yang menikmati kejayaan Vochelle? bukan mereka yang berkorban dengan gaji RM350.00 dulu. Bukan mereka yang taat kepada syarikat..tapi orang-orang lain.
Itu dalam bisnis. Dalam politik juga macam tu.

Indonesia menggulingkan Suharto. Apakah kehidupan rakyat Indonesia semakin baik selepas Suharto digulingkan? Tidak.Gus Dur gagal memimpin Indonesia dan hanya mampu bertahan dua tahun. Megawati juga gagal membangunkan Indonesia selepas Gus Dur. Cuma bila SBY menjadi Presiden, barulah Indonesia menampakkan kemajuan. Dan Indonesia sudah semakin jauh meninggalkan Malaysia dalam segenap sudut. Tetapi apakah mahasiswa Trisakti yang berperang dengan polis sehingga terbunuh itu yang mendapat ganjaran? Tidak.

Apakah kalau Umno dan BN tumbang, Pakatan akan secara otomatik akan membawa kesejahteraan? Tidak.Perkara pertama yang akan berlaku selepas Pakatan menang ialah berebut siapa Perdana Menteri, siapa nak jadi Menteri dan siapa nak jadi senator. Macam apa yang berlaku di Perak selepas mendapat kemenangan 2008. Ini berlaku kerana kemenangan itu tidak diduga dan Pakatan tidak bersedia untuk menang.

Apakah hangpa yang turun kejalanraya dan bermandi darah kerana melakukan perubahan akan mendapat pembalasan seribu dinar seorang? Jangan harap. Hangpa hanya lah daun kari yang hanya diperlukan semasa memasak. Bila kari dah siap..hangpa pun kena kuis ketepi. Yang akan berebut nanti ialah ahli politik. Yang menonjol sebagai hero nanti ialah ahli politik.
Revolusioner tidak mendapat apa-apa. Malah nama mereka juga hanya segelintir yang mengingatinya. Tapi mereka terkorban untuk kesejahteraan orang lain.

Apakah Buoazizi di Tunisia mendapat layanan pahlawan bila dia mati? Apakah penjual roti yang terkorban sebelum Revolusi Jasmin di Mesir mendapat ganjaran selepas kejatuhan Hosni Mubarak? Tidak. Mereka adalah pencetus perubahan demi kesejahteraan orang lain.
Mau atau tidak…perubahan sudah pasti tercetus di Malaysia. Ia bukan kerana perancangan rakyat…tetapi kerana evolusi politik yang terjadi apabila pemimpin politik sudah mula menyalahgunakan kuasa.Dan revolusi akan berlaku apabila rakyat sudah dapat menahan kemarahan.
Bagi sapa-sapa yang tak mahu berubah…tak mengapa. Aku bukan nak paksa. Aku cuma nak bagi tau, mereka yang melakukan perubahan akan terkorban dan mereka yang tidak mahu berubah juga akan terkorban. Yang terselamat adalah opportunis. Mereka yang bijak menggunakan keadaan.

Semua ini akan berlaku sekiranya sistem itu tidak kita runtuhkan. Umno/BN menjadi rosak kerana sistem yang sudah rosak. Perdana Menteri sudah menjadi orang yang paling berkuasa di negara ini. Pemimpin-pemimpin lebih rela mengampu Perdana Menteri daripada menjaga rakyat..kerana Perdana Menterilah yang menentukan sama ada perutnya boroi atau kempis.

Kalau setakat Umno ditumbangkan manakala sistem tersebut masih lagi digunapakai, sapa saja yang memerintah akan serupa saja. Kalau Anwar jadi Perdana Menteri pun, kalau sistem yang ada sekarang tidak diubah, Anwar pun akan jadi macam Najib atau Mahathir.

Setiap perubahan memerlukan masa transisi. Dalam masa transisi inilah, pelbagai perkara yang karut akan berlaku. Opportunis akan mengambil kesempatan. Conmen lebih ramai dari consultant. Yang bodoh akan berlagak pandai. Yang berkuasa juga akan lupa diri.

Masa transisi adalah masa pembersihan. Dan dalam masa ini jugalah kita perlu memperbetulkan sistem. Semua orang perlu terlibat…bukan dengan mewakafkan kuasa tersebut kepada orang lain. Hancur nanti.
Habis..apa kah keuntungan dari perubahan yang cuba dilakukan ini?
Keuntungan paling besar ialah setiap orang sudah berjaya menghapuskan perasaan takut untuk melakukan perubahan. Kalau Umno yang dikatakan kuat pun boleh diruntuhkan…apatahlagi Pakatan yang rapuh.

Revolution will teach us not to fear anyone.
Cukup mudah untuk menjatuhkan Pakatan daripada menjatuhkan BN. Kalau BN pun boleh diruntuhkan..kita hanya perlu menjentik Pakatan.

Tapi kalau hangpa ada anak kecik yang masih bersekolah, ada bini yang baru mengandung, Ada hutang kereta yang perlu dilangsaikan…hangpa takut nak berubah pun takpa. Aku tak marah…tapi jangan lemahkan semangat orang lain yang nak berubah.
Kalau hangpa takut..takpa. Tapi jangan takutkan orang lain. Hangpa tak mau buat takpa…tapi jangan perlekehkan orang lain yang buat. Sebab hasil dari perubahan ini bukan akan dinikmati oleh mereka yang berkorban dan terkorban…tapi hangpa yang tak buat apa-apa. Hangpa yang hanya pandai menjual air liur.

Revolusi bukan digerakkan oleh orang-orang tua. Revolusi bukan digerakkan oleh orang-orang yang banyak keluarga. Tapi revolusi digerakkan oleh anak-anak muda. Dunia akan digoncangkan oleh anak-anak muda.

bersambung…..

Tiada ulasan:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...