02 September 2011

MB KEDAH MASIH USTAZ AZIZAN

PAS tiada hasrat gugurkan Azizan sebagai MB

PAS menafikan kepimpinan parti itu berhasrat untuk menggurkan Datuk Seri Azizan Abdul Razak

sebagai menteri besar Kedah, sebagaimana yang dilaporkan oleh akhbar The Star, hari ini.

“PAS tiada hasrat untuk menukarkan Menteri Besar Kedah Datuk Seri Azizan Abdul Razak, dan dengan ini secara tegas menafikan berita sebagaimana yang dilaporkan oleh akhbar The Star, September 2 dalam satu berita bertajuk Azizan resists PAS leadership's moves to replace him tulisan Joceline Tan.

“Bahkan perkara ini tidak pernah dibincang dalam mana-mana mesyuarat di peringkat tertinggi parti, samada dalam mesyuarat Jawatankuasa Harian atau Mesyuarat Lujnah Politik parti,” kata Ketua Penerangan PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man (kiri) dalam satu kenyataan media.

Dalam laporan itu, akhbar milik MCA tersebut berkata presiden PAS Datuk Seri Hadi Awang dijadualkan menghadap Sultan Kedah berhubung langkah bagi menggantikan Azizan yang dikatakan tidak sihat akibat serangan sakit jantung, bulan lalu.

Menurut akhbar itu lagi, di sebalik tekanan daripada kepemimpinan pusat PAS, Azizan dikatakan cuba membantah dan mendakwa beliau masih sihat untuk meneruskan tugasnya sebagai menteri besar.

Antara nama-nama yang disebut-sebut oleh The Star sebagai bakal menggantikan Azizan, termasuk tiga ADUN kanan iaitu Datuk Phahrolrazi Mohd Zawawi (Pengkalan Kundor), Datuk Amiruddin Hamzah (Anak Bukit) dan Datuk Mohamad Taulan Mat Rasul (Tokai). Semua mereka adalah juga ahli exco kerajaan negeri.

Mengulas isu berkenaan, Tuan Ibrahim berkata PAS melihat tindakan berkenaan sebagai usaha melaga-lagakan kepimpinan PAS oleh pihak-pihak tertentu kerana melihat perpaduan yang kukuh dalam PAS.

“Menjelang pilihan raya umum akan banyak isu yang sengaja ditimbulkan oleh musuh bahkan akan ada pula perisytiharan keluar parti beramai-ramai sebagai petanda pilihan raya umum bertambah hampir.

“Sekiranya ada perkara penting sebagaimana yang dilaporkan, tentulah ia akan dibawa dalam mesyuarat penting parti,” katanya.

Sehubungan itu, Tuan Ibrahim menyeru seluruh ahli dan penyokong Pakatan Rakyat agar mendapatkan maklumat parti melalui saluran rasmi agar tidak terperangkap dengan mainan musuh.

Azizan pada 1 Ogos lalu dimasukkan ke Institut Jantung Negara (IJN) di Kuala Lumpur untuk menjalani rawatan serta pemeriksaan jantung.

Beliau dilaporkan tidak menjalani sebarang pembedahan tetapi melakukan imbasan MRI (Pengimejan Resonans Magnetik) serta saringan kesihatan yang lain.

Bagaimanapun, pegawai khas beliau, Muzaini Azizan berkata Azizan dikehendaki berehat di IJN bagi menstabilkan tekanan darah tingginya di samping mengawal paras gula dalam kandungan air kencing.-mk

Tiada ulasan:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...