Malaysia pilihan pelarian Iran, tapi bukan ‘utopia sempurna’ disangka
Oleh Melissa Chi
KUALA LUMPUR, 1 Sept — Beribu-ribu rakyat Iran kini tinggal di Malaysia untuk menghindari kepimpinan keras rejim Tehran dan mula melihat negara ini sebagai utopia bagi mereka. Bagaimanapun menurut mereka, negara pilihan ini juga menyaksikan beberapa kecacatan dan kekurangan.
Semalam, majalah Time melaporkan bahawa Malaysia menjadi lokasi “terkenal untuk terjun dari Iran, demikian menurut kata-kata hos GEM-TV Abed Randamiz.
Katanya, Malaysia merupakan salah satu daripada tiga negara yang memberi visa dengan mudah. Dua negara lain ialah Turki dan Turkmenistan.
GEM-TV, stesen satelit milik persendirian, berpejabat di Dubai, membawa dunia moden ke Iran dari sebuah stesen penyiaran di Malaysia.
Mengikut laporan Time, kira-kira 60 orang rakyat yang berada dalam buangan terlibat dalam stesen yang beroperasi dari Mont Kiara, dekat Kuala Lumpur, mengalih suara program seperti drama lipur lara Brazil, kartun-kartun Jepun dan muzik Amerika ke dalam bahasa Parsi.
Warga Iran masuk dalam kumpulan-kumpulan kecil tetapi mengalami pertumbuhan dengan cepat sejak kebelakangan ini.
Pada masa sekarang terdapat sekitar 60,000 rakyat Iran yang belajar, bekerja atau menunggu mendapatkan visa.
Malah terdapat juga sejumlah kelab yang mengkhususkan satu hari dalam seminggu dengan nama “Malam Iran” — menyajikan deejay dan muzik Iran.
“Rakyat Iran ada pegangan dalam 2,000 bisnes di Malaysia dan memiliki 15,000 tempat di universiti-universiti di Malaysia. Kedatangan pelancong dari Iran meningkat 14.3 peratus kepada 116,000 orang tahun lalu,” lapor Time.
Tambahan pula, perkataan-perkataan asal bahasa Parsi wujud dalam kamus Bahasa Melayu sejak dahulu lagi, antara dewan dan anggur.
“Kebanyakan rakyat Iran di Malaysia selesa dengan hidup, yang bebas daripada tekanan ideologi dan daripada, dalam satu perkataan mereka dalam buangan, memberi sogokan kepada polis setiap jika anda mahu mengadakan majlis keramaian.’ Malaysia menjadi pangkalan kepada kekerapan Disko Malam Parsi dan konsert-konsert menyerlah yang disampaikan oleh penyanyi-penyanyi terkenal — satu pada awal tahun ini termasuk yang menggambarkan perasaan menentang rejim semasa — ketika Tahun Baru Iran pada Mac lalu,” kata majalah itu.
Bagaimanapun Time menekankan kehidupan bagi rakyat Iran tidak bebas daripada halanagn dan kekangan.
Katanya, ramai termasuk Ali Manafi, seorang pengendali kanan sebuah radio yang meninggalkan negaranya dengan penuh risiko baru-baru ini, menyifatkan mereka juga “letih” dengan peraturan-peraturan agama.
“Aspek spiritual adalah (soal) peribadi seseorang,” katanya.
“Di sini ada begitu banyak masjid dan imam. Hanya beberapa sahaja mengalu-alukan Muslim Syiah,” katanya lagi.
Aktivis Iran juga berhadapan dengan layanan kasar ekoran protes politik mereka. Lima pemimpin pelajar Iran ditahan kerana membawa lilin memperingati penunjuk-penunjuk perasaan yang terbunuh di Iran. Pada 2009, protes ke atas pilihan raya Iran di pekarangan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu berakhir dengan gas pemedih mata. Bagaimanapun kebanyakan aktivis berkata mereka menjauhkan diri daripada perhimpunan Bersih 2.0 di Kuala Lumpur pada 9 Julai lalu, yang berlangsung pada ulang tahun ke-12 salah satu protes terbesar di Iran.
Beberapa rakyat Iran memberitahu majalah Time, penduduk tempatan memandang serong ke atas mereka, antara lain disebabkan oleh penangkapan 15 warga Iran berhubung kes menyeludup masuk dadah tahun lalu dan beberapa yang lain menyusul.
Bilangan rakyat Iran yang ditangkap berhubung isu dadah mengalami peningkatan ketara sejak itu. Seramai 138 orang ditahan sejak Januari hingga Oktober lalu berbanding 16 orang pada keseluruhan tahun 2009.
“Rakyat Iran berfikiran kotor, mereka datang ke sini untuk minum dan membawa dadah,” keluh seorang pemandu teksi Melayu dipetik Time.
“Sudah pasti prejudis wujud di kedua-dua sebelah,” tulis Time sementara Randamiz mendakwa Malaysia sebuah negara yang muda berbanding Iran yang mempunyai sejarah kebudayaan 2,500 tahun.
Safineh Motlaq, seorang wartawan foto, yang menjelaskan kebudayaan Malaysia kepada rakyat Iran dalam majalah tempatan Monograil, menganggap Malaysia sebagai “utopia paling rapat saya temui.”
Tiada ulasan:
Catat Ulasan