29 Ogos 2011

MERDEKA CENTRE : POPULARITI NAJIB MERUDUM

Merdeka Center: Populariti Najib terus susut
Majoriti mahu pembaharuan pilihan raya, 48% ‘kritik’ cara Putrajaya urus Bersih

KUALA LUMPUR, 29 Ogos — Populariti Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak menjunam ke paras 59 peratus — penurunan dari 72 peratus, paras paling tinggi, yang direkodkan pada Mei tahun lalu, dipercayai berhubung kait dengan perhimpunan Bersih 2.0 yang diadakan awal Julai.
Kajian terbaru Merdeka Center menunjukkan arah aliran populariti Najib terus mengalami penurunan daripada 72 peratus pada Mei 2010 kepada 69 peratus November lalu, 67 peratus pada Mac tahun ini dan seterusnya ke paras 65 peratus Mei lalu dan yang terbaru 59 peratus.

Kadar populariti Najib (gambar) pernah turun sehingga 56 peratus pada September 2009 — lima bulan selepas menjadi perdana menteri Malaysia yang keenam.

“Seramai 59 peratus rakyat Malaysia mengatakan bahawa mereka berpuas hati dengan prestasi Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak, dalam kajian (kali) ini enam peratus lebih rendah berbanding 65 peratus direkodkan pada Mei tahun ini,” kata firma kajian pandangan umum ini dalam satu kenyataan dikeluarkan tengah hari ini.

Kajian terbaru ini dikendalikan sebulan selepas perhimpunan Bersih 2.0 di ibu negara.

Pada Mei 2009, iaitu sebulan selepas menjadi perdana menteri, populariti Najib adalah 45 peratus dan ia melonjak kepada 65 peratus pada Jun 2009 sebelum menjunam ke aparas 56 peratus pada September tahun yang sama.

Pada Mac 2010, populariti meningkat semula kepada 66 peratus, 66 peratus pada Disember 2009, 69 peratus (Mac 2010) dan 72 peratus (Mei 2010).

Dari segi pecahan kaum, katanya, kajian menunjukkan 69 peratus responden masing-masing orang Melayu dan India dan 38 peratus kaum Cina melahirkan rasa puas hati dengan prestasi Najib, yang mengambil alih jawatan perdana menteri daripada Tun Abdullah Ahmad Badawi.

Kajian kali ini, menurut Merdeka Center dikendalikan melibatkan 1,027 respoden, membabitkan pengundi berdaftar, antara 11 hingga 27 Ogos lalu.

Majoriti mahu pembaharuan pilihan raya, 48% ‘kritik’ cara Putrajaya urus Bersih

KUALA LUMPUR, 29 Ogos — Hampir separuh daripada rakyat negara ini tidak berpuas hati dengan cara Putrajaya mengendalikan perhimpunan Bersih 2.0 di ibu negara awal bulan lalu, demikian menurut kajian terbaru kendalian Merdeka Center.
Hasil kajian firma itu yang dikeluarkan hari ini menunjukkan 48 peratus tidak bersetuju dengan cara digunakan oleh pentadbiran Najib manakala 39 peratus melahirkan pendirian bersetuju.

Mengikut pecahan kaum, pendirian tidak berpuas hati sangat tinggi di kalangan masyarakat Cina iaitu 68 peratus, diikuti 55 peratus melibatkan orang India dan 37 peratus kalangan Melayu.

Bagaimanapun dari segi puas hati, responden kalangan Melayu merekodkan 53 peratus, 28 peratus di pihak kaum India dan 17 peratus orang Cina.

“Hampir 49 peratus responden mengatakan bahawa mereka memahami tuntutan-tuntutan Bersih 2.0, gabungan pertubuhan bukan kerajaan yang telah diharamkan, yang menuntut pembaharuan bagi pilihan raya yang adil dan bersih di Malaysia.

“(Hanya) seramai 39 peratus responden melahirkan rasa puas hati dengan cara kerajaan mengendalikan isu-isu berkaitan dengan Bersih sementara 48 peratus responden tidak berpuas hati,” kata Merdeka Center.

Kajian itu menunjukkan bahawa seramai 33 peratus responden faham tentang lapan tuntutan dibawa oleh Bersih 2.0 manakala 29 peratus faham sedikit dan baki 19 peratus tidak tahu atau tidak faham langsung.

Kajian kali ini, menurut Merdeka Center dikendalikan melibatkan 1,027 respoden, membabitkan pengundi berdaftar, antara 11 hingga 27 Ogos lalu.

Berkaitan dengan pembaharuan pilihan raya kajian kali ini turut mengemukakan soalan khusus berkaitan dengan keperluan mengkaji dan membersihkan daftar pemilih, penggunaan dakwa kekal, membenarkan pembangkang menggunakan media arus perdana dan mengundang pemantau asing dan tempatan.

Seramai 88 peratus responden bersetuju dengan soalan mengenai keperluan mengkaji dan membersihkan daftar pemilih.

Peratus itu juga agak tinggi iaitu antara 85 dan 89 peratus mengikut setiap kaum yang ditemui.

Seramai 70 peratus bersetuju agar pilihan raya di negara ini menggunakan dakwat kekal dan 19 peratus tidak bersetuju.

Dalam pada itu, seramai 68 peratus bersetuju dengan cadangan membenarkan pembangkang akses kepada media arus perdana dan 70 peratus mahu kerajaan membenarkan pemerhati asing dan tempatan memantau perjalanan pilihan raya negara ini. -sumber TMI

Tiada ulasan:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...