Oleh: MSK
Riuh rendah tentang PRN Sarawak sudah habis. Sekarang, masing-masing sudah mula bercakap tentang PRU 13. Tak habis-habis dengan pilihanraya. Itu lah politik. semuanya tentang kuasa dan kuasa hanya boleh diperolehi melalui pilihanraya selagi rakyat percaya bahawa pilihanraya mampu mengubah kerajaan.
Aku tak percaya bahawa pilihanraya mampu mengubah kerajaan. Dan dalam pilihanraya umum ke 13 yang akan datang juga tidak akan mampu mengubah kerajaan kalau mengharapkan struktur Pakatan Rakyat yang ada hari ini.Aku percaya, pilihanraya tidak akan mampu mengubah kerajaan, tetapia apa yang akan berlaku selepas pilihanraya akan membantu mengubah kerajaan.
Dalam satu artikel di Malaysian Insider, Raja Petra bercakap tentang ‘hung parliament’. Teori ini lebih menarik kerana ikut perkiraan aku, ianya besar kemungkinan akan berlaku.
Semasa pilihanraya Sarawak, aku tidak berminat dengan keputusan pilihanraya. Dari awal aku sudah meramalkan bahawa Pakatan Rakyat hanya mampu memenangi tidak lebih dari 20 kerusi. Dan ramalan itu betul. Bahkan Pakatan Rakyat mendapat lebih sedikit, dengan hanya memenangi 15 kerusi.
Dalam tulisan awal, aku lebih berminat dengan penyertaan begitu ramai calon bebas, dan juga perlawanan tiga penjuru dengan SNAP, yang mana akhirnya, PKR bukan saja bermusuh dengan BN, malah bermusuh dengan SNAP. Hasilnya, BN menang besar.
Aku tidak melihat kejayaan mendapat 15 kerusi itu sebagai kejayaan Pakatan, sebaliknya kejayaan DAP. Pas dan PKR akan terus merudum sekiranya politik mereka masih lagi politik lama, dan enggan berubah.
Setahun selepas PRU 12, Merdeka Center membuat kajian tentang sokongan pengundi dan membentangkan hasil kajian di Caring Society Complex, Pulau Pinang. Dalam pembentangan tersebut, Suffian Ibrahim memberitahu bahawa 18% daripada mereka yang mengundi Pakatan semasa PRU12 telah meninggalkan PR kerana menganggap PR dan BN sama saja. Dari sejumlah 18% ini, 5% kembali menyokong BN, manakala 13% lagi duduk atas pagar.
Tiga tahun selepas PRU 12, jumlah yang duduk atas pagar ini semakin lama semakin membesar. Mereka yang tidak puashati dengan Pakatan dan BN semakin ramai. Kesan daripada rasa tak puashati ini menyebabkan tumbuhnya parti-parti kecil. SNAP, SAPP, HRP, KITA, PRM, PSM, UBF. Ini adalah parti-parti yang anti-BN dan pro-PR. Setakat mana kekuatan mereka belum dipastikan, tetapi sekiranya mereka bergabung, sudah tentu ia akan menghasilkan kekuatan ketiga selepas BN dan PR.
Dalam satu kajian yang dibuat tahun lepas, jumlah mereka yang tidak puashati terhadap BN dan PR ini sudah meningkat kepada 28%. Dan dengan tertubuhnya MCLM, maka usaha-usaha untuk menyatukan parti-parti kecil ini bermula.
Panggillah apa nama pun terhadap mereka ini, tetapi aku lebih suka menamakan mereka sebagai kuasa ketiga. Dan kemungkinan mereka akan menjadi kuasa penentu tentang siapakah yang akan memerintah negara selepas PRU 13 nanti.
Katakanlah, PR mampu meningkatkan jumlah kerusinya dari 81 yang dimenangi pada 2008 kepada 100. Apabila ini berlaku, bermakna BN juga akan kehilangan beberapa kerusi dan katakanlah BN juga menang 100. Manakala sebanyak 22 kerusi lagi dimenangi oleh parti-parti nyamuk ini. Siapakah yang akan berkuasa?
Kearah manakah Kuasa Ketiga ini akan pergi? BN atau PR?
Walaupun setakat ini Kuasa Ketiga ini masih lagi Pro-PR, tetapi tindak-tanduk pemimpin dan penyokong Pakatan Rakyat semakin hari semakin meminggirkan kumpulan ketiga ini. Siapa saja yang mengkritik pemimpin Pakatan Rakyat akan dianggap sebagai musuh. ejen Umno, dibeli oleh Umno…malah digalakkan menyertai Umno. Pakatan Rakyat mengambil sikap untuk bermusuh, bukan mencari kawan.
Semasa di Sarawak, PKR mengambil sikap bermusuh dengan SNAP dengan menuduh SNAP ditaja oleh Umno. Sebaik saja selesai PRN Sarawak, DAP menghulurkan tangan untuk bersatu dengan SNAP. Apakah DAP tidak tau SNAP ditaja oleh Umno?
Sikap DAP inilah yang menyebabkan mengapa DAP semakin lama semakin diminati, manakala sikap bermusuh yang dilakukan oleh Pas dan PKR hanya merugikan mereka.
Walaubagaimanapun, kekuatan DAP ini tidak akan menguntungkan Pakatan sebaliknya menjadi liabiliti. DAP akan menjadi parti dominan dalam Pakatan dan apa yang berlaku di Perak, akan berlaku diperingkat nasional. Umno akan memainkan isu rasis yang mana akhirnya akan menyebabkan kacau bilau.
Rasisma yang berlaku dalam BN akan menyebabkan parti-parti lain dalam BN akan meninggalkan BN. Gerakan, MCA dan MIC akan meninggalkan BN lantas menyertai PR. Tetapi dalam masa yang sama, akan ada pemimpin-pemimpin dari Pakatan yang lebih Melayu dari Islam akan meninggalkan Pakatan untuk menyertai Umno. Dan apa yang terhasil ialah Melayu lawan bukan Melayu.
Keadaan inilah yang cuba dielakkan oleh Raja Petra dan Haris Ibrahim melalui MCLM. MCLM telah cuba untuk menyatukan keseluruhan parti-parti anti-BN untuk duduk berbincang bagi memastikan bahawa BN dapat ditewaskan dengan majoriti yang kuat dan memastikan tidak berlaku kacau bilau selepas pilihanraya. Tetapi malangnya, Pas dan PKR menolak jemputan tersebut. Mungkin Pas dan PKR sudah merasakan bahawa parti-parti lain hanyalah nyamuk yang tidak mampu menyengat. Mungkin juga Pas dan PKR sudah merasakan diri mereka sudah cukup kuat untuk menandingi BN.
Rekod penyertaan calon-calon Bebas semasa Pilihanraya Sarawak dan pertandingan sehingga enam penjuru akan berlaku dalam PRU 13 ini. Pertandingan satu lawan satu tidak mungkin berlaku sekiranya Pakatan tidak memulakan perbincangan dari awal.
Human Rights Party (HRP) telah pun memulakan perbincangan dengan PKR dengan meminta sebanyak 40 kerusi untuk ditandingi. Tuntuan tersebut ditolak mentah-mentah oleh PKR. Parti KITA juga sudah menyatakan untuk bertanding di 30 kawasan Parlimen. Manakala MCLM juga bersedia meletakkan 30 calon-calon untuk bertanding.
Parti yang akan menerima kesan teruk ialah PKR kerana enggan berkompromi dengan Kuasa Ketiga. Pas akan tewas kerana sikap Melayu yang lebih dari Islam. Yang berjaya ialah DAP.
BN akan tewas dibandar-bandar. Yang tinggal hanyalah kawasan luarbandar. Apabila ini berlaku, ia akan memberikan kesan ekonomi yang teruk kepada UMNO. Sudah pasti Umno tidak akan rela perkara ini berlaku. Persiapan sudahpun dibuat untuk memastikan mereka tidak akan kehilangan kuasa. PERKASA, RELA, Tentera dan polis sudah dipersiapkan untuk memastikan BN akan terus berkuasa. Tetapi mampukah BN menahan kuasa rakyat?
Apa yang berlaku adalah anarki. Pesta katak akan berlangsung. Ada yang dari BN akn melompat kedalam Pakatan dan ada yang dari Pakatan akan melompat kedalam BN. Tapi jangan takut..kerana ia hanyalah sebahagian daripada evolusi.
Ingat 2012? Akhir zaman akan berlaku pada 2012. Ia bukan kiamat, tetapi melangkan ke zaman baru. Di Malaysia, pemangkin kepada perubahan zaman ini ialah PRU 13.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan