25 April 2011

Naib Canselor UUM Hina MB Kedah Hanya Layak Urus Sekolah Pondok, Katanya



Alor Setar - Naib Canselor Universiti Utara Malaysia (UUM), Profesor Datuk Dr Mohamed Mustafa Ishak (gambar) digesa memohon maaf terhadap Menteri Besar, Datuk Seri Azizan Abdul Razak berikutan kenyataannya kelmarin, yang dianggap tidak menghormati pemimpin tertinggi negeri.

Desakan itu dibuat oleh Dewan Pemuda Pas Negeri Kedah (DPPNK) berikutan kenyataan lantang Dr Mohamed Mustafa yang menyifatkan Azizan hanya layak mengurus sekolah pondok, setelah Azizan mencabar Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) menyerahkan UUM untuk diambil alih Kerajaan Negeri apabila universiti itu mempertikai pembayaran cukai tanah bernilai RM1.7 juta setahun.

Timbalan Ketua Pemuda Pas Kedah, Muhammad Sanusi Md Nor berkata, DPPNK memandang pandang serius perkara ini kerana selaku pegawai kerajaan, beliau tidak sepatutnya bertindak seperti itu,” katanya.

Muhammad Sanusi yang juga Setiausaha Politik Menteri Besar berkata, Kerajaan Negeri berhak terima atau tolak permohonan rebat cukai tanah.

“Ia tidak terkecuali pada mana-mana tuan tanah, sama ada golongan berada atau petani sekalipun. Tiada yang merungut pun kecuali UUM, mungkin kerana mereka faham tanggung jawab sebagai pemilik tanah,” katanya.

Mengulas mengenai kenyataan Dr Mohamed Mustafa yang mempertikai kemampuan Kerajaan Negeri untuk mengurus UUM kerana memerlukan bajet yang tinggi, mencecah RM300 juta setahun untuk mengurus 15,000 pelajarnya, Muhammad Sanusi berkata, Kerajaan Negeri mampu mengurus 2 juta penduduk hanya dengan pendapatan RM500 juta.

“Cukai tanah yang perlu dibayar UUM cuma 0.6 peratus daripada bajet berkenaan,” katanya.

Muhammad Sanusi turut mempertikai tujuan isu cukai tanah dan bekalan air di UUM dibangkitkan oleh Dr Mohamed Mustafa, memandangkan KPT sebelum ini tidak pernah mempersoal pembayaran cukai tanah terbabit.

Menurutnya, kewibawaan Azizan untuk mentadbir sebuah pusat pengajian tidak harus dipertikaikan, berikutan beliau berpengalaman selama 21 tahun dalam bidang IPT.

“Azizan pernah menjadi Ketua Jabatan di UKM, selain antara pengasas UIA dan menubuhkan fakulti syariah dan undang-undang di Universiti Mindanao, Filipina. Beliau juga yang memperluas program Kolej Universiti Insaniah daripada tujuh program kepada 42, malah membina kampus induk di Kuala Ketil dengan sumber terhad tanpa bantuan kewangan Pusat,” katanya.

Muhammad Sanusi berkata, UUM tidak perlu memandang rendah terhadap pengurusan sekolah pondok, kerana pentadbiran pondok sekarang lebih baik. -SH

Tiada ulasan:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...