Oleh: ZULKIFLI YAHAYA
Seronok menulis politik apabila sering diasak oleh para pembaca supaya menghentam pihak-pihak tertentu berhubung isu berbangkit. Kali ini desakan bertubi-tubi datang dari rakan-rakan yang ‘naik angin’ terhadap kenyataan demi kenyataan dibuat oleh Naib Canselor Universiti Utara Malaysia, Dato’ Prof. Dr. Mohamed Mustafa Ishak yang mengkritik kerajaan negeri berhubung isu cukai tanah dan air.
“Belasah VC UUM cukup-cukup!”. Antara pesanan diterima yang membuatkan saya tersenyum sendirian. Memikir bagaimana sukarnya hendak membelasah rakan lama yang saling mengenali, pernah belajar satu sekolah dan satu kampus.
UUM bukan sebuah syarikat perniagaan. Ia sebuah institusi pengajian yang dibiayai kerajaan Pusat. Peruntukan untuk UUM dikatakan RM300 juta setahun. Siapa pun yang memimpin dan mengurus UUM tidak perlu berniaga mencari duit untuk menjelaskan segala utiliti yang ada. Naib Canselor tidak perlu begolok bergadai berhutang jika terdapat kekangan kewangan dalam mentadbir universiti. Kerja utama mereka ialah memajukan bidang pembelajaran, kajian dan penyelidikan. Masalah kewangan, jika ada, maklumkan saja pada kerajaan Pusat yang kekayaannya sangatlah sukar untuk diceritakan. Itu berdasarkan ‘cakap besar’ yang sering diucapkan oleh Perdana Menteri. Duit kerajaan BN sangat banyak, sana sini umum peruntukan berjuta-juta. Jika bapa (Pusat) orang kaya, maka anak (UUM) pun kayalah juga.
Apabila Menteri Besar Kedah Ustaz Azizan Abdul Razak menyatakan kesediaan mengambil-alih Universiti Utara Malaysia (UUM) ekoran ketidakmampuan IPTA itu menjelaskan cukai tanah sebanyak RM1.74 juta setahun mengikut taksiran piawai tanpa rebat; ia tidak lebih dari sebuah kenyataan politik semata-mata.
Ia tidak perlu diulas dengan ‘fakta dan angka’ sebab semua orang tahu kenyataan itu tidak lebih dari sendaloka politik yang bertujuan menyerang balas tindakan pemimpin politik kerajaan Pusat yang menyalahkan kerajaan negeri kerana enggan memberi rebat cukai kepada UUM sebanyak RM1.64 juta.
Kerajaan Negeri perlukan sumber kewangan untuk menguruskan negeri. Sewaktu Kedah di bawah BN dulupun hingga kini hasil negeri tidak banyak berbanding Pusat. Hasil utama negeri ialah tanah, air dan balak, di samping beberapa cukai yang dikutip oleh kerajaan tempatan.
Siapapun pemimpin kerajaan yang waras tidak terfikir untuk mengorbankan hasil negeri sebanyak RM1.64 juta dengan memberi rebat kepada ‘orang kaya’ UUM. Lebih munasabah untuk beri rebat kepada rakyat jelata yang miskin. Namun tiada seorang pun rakyat miskin di Kedah yang menghantar surat kepada kerajaan negeri sebanyak enam kali seperti yang dilakukan oleh Naib Canselor meminta rebat cukai tanah. Maknanya jika kerajaan negeri luluskan rebat RM1.64 juta kepada UUM yang kaya itu, ia semacam kerja orang tidak waras. Menteri Besar Kedah tidak peduli jika kerajaan BN dulu dianggap tidak waras, yang penting biarlah kerajaan pimpinannya sentiasa waras.
Isu bekalan air di kampus UUM juga turut mengundang polemik. Menteri Besar dan para Exco memberitahu bekalan yang disalur hingga ke pintu pagar UUM sudah mencukupi. Masalah yang berlaku ialah di dalam kampus. Saluran paip masih 27 tahun lalu, sempit dan bocor di sana sini. Kebocoran dianggarkan 43 peratus.
UUM menafikan. Kata mereka, infrastruktur yang ada mencukupi. Kebocoran kononnya tidak sampai 30 peratus. Punca keputusan bekalan ialah kerana bekalan dari paip utama masuk ke UUM tidak mencukupi.
Exco kerajaan menjelaskan pula, UUM gagal membesarkan stok air dengan menambah tangki seperti yang dilakukan UKM. Jika tangki penyimpanan air ditambah maka stok air sentiasa ada, tidak putus. Waktu malam semua orang tidur, hampir tiada orang menggunakan air tetapi bekalan air ke dalam tangki penyimpanan ‘tidak tidur’. Ia mengalir terus menerus. Keesokannya stok air yang ada dalam tangki mampu membekalkan air dari pagi hingga ke malam. Menurut Exco, tangki yang ada sekarang adalah sama seperti tangki 27 tahun lalu. Membina tangki baru bukan kerja kerajaan negeri. Ia tanggungjawab Kementerian Pengajian Tinggi.
Puncak kepada perang isu tanah dan air ini ialah apabila Naib Canselor menawarkan untuk mengambilalih pengurusan air ke UUM dan sekitarnya dari SADA. Orang ramai tidak nampak bahawa cakap Naib Canselor itu professional dan ikhlas. Ia berbaur politik BN yang mahu menyindir kerajaan negeri.
“Eleh, nak ambil alih SADA konon, nak bayar cukai tanah pun tak mampu.” Begitulah cakap politik dibalas dengan jawapan politik juga.
ADUN Bukit Lada Ahmad Izzat Shauki mendesak Prof. Dato’ Dr Mohamed Mustafa meletakkan jawatan, menyertai parti politik dan bertanding dalam pilihanraya umum akan datang.
“Professor berkenaan sengaja menjadikan cukai tanah sebagai isu bagi memburuk-burukkan kerajaan negeri dan perilaku begitu bukanlah datangnya dari seorang ahli akademik yang memegang amanah di menara gading.
“Oleh kerana beliau bertindak sebagai pentadbir tertinggi UUM dan berpegang kepada niat tidak mahu membayar cukai dengan harga asal maka beliau telah memutar belitkan fakta sebenar,” katanya.
Bahasa orang politik agak kasar. Jika Naib Canselor UUM memilih untuk terus berpolemik beliau menjerumuskan dirinya menjadi sasaran kecaman yang tiada sudahnya. Saya tidak sanggup melihat seorang rakan menjadi ‘beg sasaran peninju’ pihak tertentu, sedangkan pemimpin politik BN di atas sana bersenang lenang memerhati tanpa melakukan pembelaan yang sewajarnya ke arah penyelesaian masalah UUM.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan