01 Mac 2011

SELANGOR SELEPAS 3 TAHUN

Pentadbiran Selangor di bawah Pakatan Rakyat lebih bertumpu kepada kebajikan rakyat - Khalid

(Free Malaysia Today) - Menteri Besar Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim yakin Pakatan Rakyat dapat mempertahan Selangor pada pilihan raya umum (PRU) akan datang berdasarkan pencapaian dan prestasi tiga tahun mentadbir negeri itu.

“Saya yakin dapat mengekalkan Selangor kerana pentadbiran kita lebih tertumpu kepada kebajikan untuk rakyat berbanding pentadbiran sebelum ini,” katanya pada sesi minum petang bersama para editor media cetak dan elektronik di sini semalam.

Beliau berkata, berbeza dengan kerajaan terdahulu (Barisan Nasional), pentadbiran Pakatan telah melakukan banyak perubahan walaupun dalam tempoh yang singkat, seperti program “Merakyatkan Ekonomi Selangor”.

Khalid melahirkan keyakinan ini kerana hasil satu tinjauan, di antara 50 hingga 55 peratus rakyat Selangor akan mengundi Pakatan Rakyat dan lebih 60 peratus penduduk bandar-bandar di Selangor akan menyokong Pakatan PRU ke 13.

Apabila ditanya tidakkah beliau bimbang apa yang berlaku di Terengganu apabila pentadbiran yang diterajui oleh PAS hanya dapat bertahan satu penggal sahaja, beliau menjelaskan,

“Keadaan di Terengganu adalah berbeza berbanding dengan Selangor kerana perdana menteri pada ketika itu, Dr Mahathir Mohamad menyekat bayaran hasil royalti minyak berjumlah RM800 juta untuk melumpuhkan negeri itu.

Selangor banyak hasil

Di Selangor katanya, kita tidak bergantung kepada hasil minyak, kita mempunyai banyak peluang perniagaan dan pelaburan yang boleh menjana pendapatan dan malahan memberi sumbangan yang besar kepada persekutuan dari segi ekonomi dan dalam bentuk cukai.

Kepada persoalan bahawa Pakatan didakwa menghadapi masalah kepimpinan kerana terdapat pergeseran di antara ahli-ahli exco, Khalid menjelaskan bahawa Pakatan (yang terdiri dari PKR, PAS dan DAP) kini lebih mantap berbanding dahulu.

“Sudah pasti terdapat perbezaan pendapat dan pandangan di antara komponen-komponen parti. Barisan Nasional (BN) juga mempunyai masalah dalamnya sendiri.

“Tetapi yang berbeza di antara Pakatan dengan BN ialah dari segi kepimpinan…….Umno lebih dominan dalam pakatan itu,” jelas beliau

Tiada ulasan:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...