01 Mac 2011

AS halang Gaddafi akses aset RM90 bilion

March 01, 2011

WASHINGTON, 1 Mac — Amerika Syarikat telah membekukan aset bernilai AS$30 bilion (RM90 bilion) milik Libya di negaranya daripada diakses oleh Muammar Gaddafi dan keluarganya susulan keputusan Majlis Keselamatan hujung minggu.

David Cohen, pemangku setiausaha bagi risikan keganasan dan kewangan berkata ia merupakan jumlah yang terbanyak ditahan oleh pihaknya setakat ini.

Presiden Barack Obama menandatangani arahan eksekutif untuk membekukan aset Jumaat lalu sebagai langkah balas ke atas tindakan kekerasan diambil Muammar ke atas penunjuk perasaan sejak pertengahan bulan lalu.

Majlis Keselamatan meluluskan sekatan perjalanan dan membekukan aset Muammar dan anggota keluarga dan orang rapatnya hujung minggu lalu.

Dalam pada itu, laporan Reuters juga berkata, langkah buang negara juga akan menjadi salah satu opsyen bagi Muammar memenuhi permintaan antarabangsa yang mahukan beliau tidak lagi memimpin Libya.

Jurucakap White House Jay Carney berkata demikian ketika ditanya sama ada Amerika Syarikat akan mengaturkan langkah buang negara ke atas Muammar.

Amerika Syarikat dan sekutunya juga sedang mengadakan perbincangan untuk menguatkuasakan zon penerbangan di ruang udara Libya. — Reuters

Tiada ulasan:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...