27 Mac 2009


Permohonan Sivakumar Di Dengar 28 Mei Ini


KUALA LUMPUR - Mahkamah Tinggi di sini menetapkan 28 Mei depan untuk mendengar permohonan Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak, V. Sivakumar (foto) dan enam yang lain dalam usaha mendapatkan kebenaran mengisytiharkan kekosongan DUN Beharang, Changkat Jering dan Jelapang bagi memberi laluan kepada pilihanraya kecil. Tarikh itu ditetapkan Hakim Mahkamah Tinggi (Bahagian Rayuan dan Kuasa-Kuasa Khas), Lau Bee Lan di dalam kamar beliau pada pukul 9.50 pagi dengan kehadiran Peguam Kanan Persekutuan, Azizah Nawawi mewakili Jabatan Peguam Negara manakala barisan peguam yang diketuai Sulaiman Abdullah mewakili empat responden. Sementara itu, sejurus prosiding selesai, Azizah ketika ditanya memberitahu bahawa pada tarikh perbicaraan itu, pihaknya akan berhujah mengenai locus standi (hak di sisi undang-undang) untuk mengemukakan permohonan tersebut dan tidak ada kes untuk dipertikaikan. Pada 10 Mac lalu, Sivakumar telah memfailkan permohonan itu di Mahkamah Tinggi di sini untuk mendapatkan perintah seperti yang dimohon iaitu Dewan Undangan Negeri (DUN) Behrang, Changkat Jering dan Jelapang diisytiharkan kosong agar pilihan raya kecil dapat diadakan.



Sulaiman turut mewakili ADUN Sungkai, A. Sivanesan; ADUN Kuala Sepetang, Tai Sing Ng; ADUN Keranji, Chen Fok Chye dan tiga lagi individu (pengundi) yang memfailkan permohonan sama seperti Sivakumar. Mereka memohon writ bersifat quo warranto (permohonan yang mencabar kesahihan perlantikan perjawatan) kepada Jamaluddin, Mohd. Osman dan Yit Foong untuk menjelaskan kuasa yang responden-responden ada bagi melaksanakan tanggungjawab dan tugas sebagai ADUN kawasan masing-masing. Mereka juga memohon perintah deklarasi bahawa DUN-DUN tersebut telah kosong berikutan perletakan jawatan tiga ADUN serta perintah injunksi bagi menghalang responden pertama, kedua dan ketiga daripada menjalankan tugas sebagai ADUN. Sementara bagi SPR pula, mereka memohon perintah certiorari (untuk batalkan keputusan kerajaan) kepada suruhanjaya bagi membatalkan keputusan dan tindakan mereka yang gagal melaksanakan pilihan raya kecil bagi DUN Behrang, Changkat Jering dan Jelapang. Begitu juga permohonan agar mahkamah mengeluarkan perintah mandamus (untuk memaksa) terhadap SPR supaya mengadakan pilihan raya kecil bagi ketiga-tiga DUN tersebut

Tiada ulasan:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...