29 Disember 2014

SOP BANTUAN BANJIR MKN DIKRITIK


PAS kritik SOP bantuan banjir MKN


Kerajaan perlu melihat secara holistik dan tidak perlu timbul mangsa perlu berdaftar atau tidak.



KUALA LUMPUR: Majlis Keselamatan Negara (MKN) dicadangkan tidak mengikut prosedur operasi standard (SOP) ketika memberi bantuan kepada mangsa banjir dalam keadaan semasa ini.

Naib Presiden PAS Salahudin Ayub mengulas dakwaan mengatakan ada mangsa banjir yang perlu mendaftarkan diri mereka dengan MKN untuk mendapatkan bantuan banjir.

“Saya ingin nyatakan dalam keadaan banjir biasa SOP itu mungkin boleh diikut dan itu tak boleh nafikan. Namun banjir kali ini, saya rasa MKN tak boleh guna ‘standard’ itu.

“Ini kerana air naik terlalu cepat. Jadi kalau ada mangsa banjir yang tidak sempat berdaftar atau dua, tiga, empat hari berada di atas bumbung, lari ke hutan atau bukit, adakah kita nak pakai SOP itu,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat PAS di sini.

Katanya, kerajaan perlu melihat secara holistik dan tidak perlu timbul mangsa perlu berdaftar atau tidak.

Beliau berkata, MKN perlu mendapatkan maklumat daripada pihak berkuasa tempatan dan pemimpin akar-umbi seperti penghulu atau ketua kampung dalam menilai kemusnahan yang ditanggung oleh mangsa.

“Itu bukan penyelesaian tahap banjir sebegini. Harap perkara ini diambil perhatian,” ujarnya. ~FMT



Mangsa banjir kini mencecah 225,731 orang


Banjir di Kelantan masih belum berkurangan apabila mangsa banjir di negeri paling terjejas teruk akibat bencana itu meningkat kepada 151,072 orang berbanding 134,139 malam tadi, kata Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat Kelantan Nik Omar Nik Abdul Rahman.

Beliau berkata, mangsa banjir daripada 36,128 keluarga ditempatkan di 309 pusat pemindahan melibatkan lapan daerah.

Jajahan Kota Baharu masih mencatatkan angka tertinggi mangsa banjir iaitu 44,061 orang, Tumpat (30,569), Pasir Mas (23,568), Kuala Krai (23,500), Gua Musang (17,327), Machang (8,289), Tanah Merah (3,546) dan Pasir Puteh (192).

Mangsa banjir turut bertambah di Pahang dan Perak pagi ini, dengan Pahang catat 33,225 orang berbanding 31,095 malam tadi sementara Perak 7,813 orang berbanding 7,539 malam tadi

Bagaimanapun, jumlah mangsa banjir di Terengganu dan Johor turun pagi ini, dengan Terengganu catat 33,292 orang berbanding 36,210 malam tadi, dan Johor 328 orang berbanding 332 malam tadi.

Jabatan Meteorologi semalam turut mengeluarkan amaran angin kencang dan laut bergelora kategori kedua melanda perairan Kelantan, Terengganu, Pahang dan timur Johor yang dijangka berterusan sehingga hari ini.

Angin kencang Timur Laut itu berkelajuan 50-60 kilometer sejam dengan ombak mencapai ketinggian 4.5 meter berbahaya kepada semua aktiviti pantai dan perkapalan.

Menurut kenyataan itu, kawasan pantai di Kelantan, Terengganu dan Pahang juga terdedah kepada kenaikan paras air laut sehingga hari ini.

Jumlah mangsa banjir di enam negeri terjejas, Kelantan, Pahang, Terengganu, Perak, Johor dan Selangor pagi ini adalah 225,731 orang.

Di Pahang, jumlah mangsa terus meningkat kepada 33,225 orang berbanding 31,095 mangsa semalam.

Menurut Jurucakap Bilik Gerakan Banjir Ibu Pejabat Polis Kontinjen Pahang, setakat 9 pagi ini, Temerloh kekal menjadi daerah mangsa banjir paling ramai iaitu 12,012 orang yang ditempatkan di 71 pusat pemindahan.

Enam daerah lain ialah Kuantan membabitkan 3,046 mangsa yang ditempatkan di 17 pusat pemindahan, Pekan (4,873 mangsa di 17 pusat pemindahan), Maran (3,479 mangsa di 33 pusat pemindahan), Jerantut (6,025 mangsa di 59 pusat pemindahan), Bera (1,491 mangsa di 14 pusat pemindahan) dan Lipis (2,299 mangsa di 31 pusat pemindahan).

Sehingga kini Lebuhraya Pantai Timur (LPT) bagi laluan kedua-dua arah Kuantan-Kuala Lumpur dan jalan lama masih ditutup kepada lalu lintas.

Orang ramai yang menuju ke Kuantan dari Kuala Lumpur diminta menggunakan jalan alternatif melalui Seremban-Kuala Pilah-Serting-Muadzam Shah-Kuantan dan sebaliknya.

Di Perak jumlah mangsa terus meingkat kepada 7,813 mangsa berbanding 7,539 mangsa malam tadi.

Menurut jurucakap Majlis Keselamatan Negara (MKN) Perak, semua mereka ditempatkan di 54 pusat pemindahan iaitu 22 di Kuala Kangsar, Perak Tengah (20), Hulu Perak (11) dan Kerian (satu).

Di Perak Tengah, bilangan mangsa banjir setakat ini adalah sebanyak 4,220 orang.

Kuala Kangsar yang merangkumi kawasan Sungai Siput mencatat jumlah mangsa banjir sebanyak 2,565 manakala di Hulu Perak sebanyak 738 dan Kerian (290) mangsa.

Di Terengganu, jumlah mangsa banjir menurun kepada 33,260 orang berbanding 36,210 malam tadi.

Di Kemaman masih tinggal 22,214 mangsa manakala hampir 3,000 mangsa dibenarkan pulang ke rumah masing-masing apabila keadaan air beransur surut.

Di Dungun masih terdapat 10,138 mangsa, Kuala Terengganu (759) orang dan Hulu Terengganu (149) mangsa.

Jumlah pusat pemindahan di Terengganu juga menurun daripada 88 malam tadi kepada 79 pagi ini, iaitu Dungun 34, Hulu Terengganu (empat), Kemaman (35) dan Kuala Terengganu (enam).

Sementara Johor mencatatkan sedikit penurunan mangsa banjir iaitu empat orang, dengan seramai 328 mangsa direkodkan pagi ini berbanding 332 mangsa malam tadi.

Menurut Pusat Kawalan Operasi Bencana Negeri Johor, sembilan pusat pemindahan menempatkan 85 keluarga masih dibuka iaitu di satu di Muar, Batu Pahat (dua) dan masing-masing tiga di Segamat dan Kluang.

Jalan Kampung Asli Sedohok di Kahang, Kluang masih belum boleh dilalui, menurut pusat kawalan terbabit.

Sementara di Selangor, hujan lebat berterusan pada Sabtu lepas menyebabkan beberapa kampung di Klang, antaranya Kampung Budiman, Meru dan Kampung Sementa, Kapar mengalami banjir kilat melibatkan 33 mangsa.

Semua mangsa daripada sembilan keluarga itu ditempatkan di pusat penempatan sementara Sekolah Kebangsaan Sungai Binjai lapor The Malaysian Insider

1 ulasan:

mamat berkata...

Tau kritik saja. Kerajaan PAS buat apa?

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...